Maszlee tuntut bersemuka, mahu saman Asyraf Wajdi


 BEKAS menteri pelajaran Maszlee Malik menuntut untuk bersemuka dengan pemimpin Pemuda yang menimbulkan fitnah ke atasnya berkaitan penyediaan kandungan buku teks sekolah.

Maszlee yang mengumumkan akan mengemukakan saman atas fitnah itu mengundang ketua pergerakan tersebut Asyraf Wajdi Dusuki untuk bersemuka dalam dialog terbuka.

“Sudah sampai masanya budaya fitnah jahat dan tidak berasaskan fakta begini kita hentikan dan gantikan dengan budaya dialog terbuka.

“Biar rakyat menilai secara adil dan seimbang,” kata Maszlee dalam kenyataan di Facebook.

Beliau kesal kerana tidak dijemput menyertai forum dianjurkan Pemuda Umno pada malam tadi yang sekali lagi membangkitkan fitnah mengenai penyediaan buku teks Sejarah Tingkatan Empat.

Isu utama diketengahkan dalam forum itu berhubung dakwaan bahawa pergerakan komunis diagung-agungkan sebagai pejuang kemerdekaan dalam sukatan buku teks tersebut.

Asyraf dalam kenyataan lebih awal mendakwa, kandungan itu sebagai usaha terancang dan sengaja dilakukan semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Dakwanya, ia bagi menanamkan ideologi Malaysian Malaysia dalam pemikiran pelajar.

Dakwaan itu dibangkitkan Asyraf dalam program bual bicara bersama pengkaji sejarah Ramlah Adam yang disiarkan langsung di Facebook pada malam tadi.

Maszlee menafikan perkara itu dan sedia menjelaskannya bersama pakar yang terlibat dengan penyediaan buku teks Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

“Sesi dialog ini juga boleh dihadiri okeh Panel Pakar Rujuk Kurikulum serta wakil dari KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) untuk memberikan pandangan mereka berkaitan tatacara dan prosedur penerbitan buku teks KSSM.”

Maszlee berkata, surat tuntutan permohonan maaf dan saman sudah dikemukakannya kepada Asyraf.

“Saya memberi arahan kepada peguam supaya surat tersebut menuntut Dr Asyraf Wajdi membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana memfitnah.

“Sepatutnya sekarang ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan menfitnah sesuka hati,” katanya di Twitter. 

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan