Buat pekak buka Parlimen, kerajaan Melayu Islam derhaka titah Raja-Raja

 


Rakyat menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong supaya sidang Parlimen diadakan secepat mungkin dan darurat tidak disambung lagi.

Semua yang membaca pasti dapat memahami serta menghayati maksud serta roh titah perutusan Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja Melayu semalam kecuali mereka yang mempunyai kepentingan diri.

Tindakan Menteri Undang-undang yang juga merupakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, yang cuba ‘meremehkan’ saranan dalam titah tersebut amat mendukacitakan dan biadab.

Titah Agong untuk diadakan sidang Parlimen ‘secepat mungkin’ terang dan jelas tujuannya betapa seriusnya pandangan Majlis Raja-Raja Melayu isu untuk perbahasan krisis penting Covid-19 ini diadakan.

Dengan nada yang sinis dan ketawa kecil Takiyuddin menyatakan bulan September hingga Oktober cadangan Mahiaddin sudah cukup dekat. Seolah-olah tidak penting untuk mempercepatkan sidang Parlimen seperti titah Agong untuk mengadakan ‘secepat mungkin’. Beliau juga menambah Agong tidak sebut tarikh pun.

Kalau Agong dan Majlis Raja-Raja memandang berat ramainya kematian harian rakyat dan jangkitan tinggi dari Covid-19, tidakkah Mahiaddin dan Takiyuddin sebagai ahli Parlimen turut menganggap serius isu ini? Mereka berdua terus memberi pelbagai helah.

Jelas Mahiaddin dan Takiyuddin memandang survival mereka lebih penting dan serius dari survival dan keselamatan rakyat. Biarlah Mak Cik Kiah dan rakyat terus menderita lemas tercungap-cungap dan meninggal dunia kerana Covid-19 asalkan mereka terus kekal Perdana Menteri dan Menteri.

Inilah mentaliti sikap ‘golongan kayangan’ yang hidup di awang-awangan persada Putrajaya yang empuk.

Mahiaddin dahulu menobatkan sendiri kerajaan PN sebuah kerajaan Melayu Islam.  Tetapi beliau sendiri tidak menghormati saranan Agong yang telah beberapa bulan dahulu menyatakan bahawa darurat tidak menghalang Parlimen bersidang.

Di manakah kemelayuan  dan hormatnya seorang Perdana Menteri kepada Rajanya kalau titah baginda tidak diendahkan dan diremehkan begitu sahaja.

Kalau Mahiaddin, Presiden Bersatu berlakon pekak kepada perintah Agong yang terdahulu, masih pekak dan tulikah Perdana Menteri pada suara titah dari sembilan Raja-Raja Melayu untuk Parlimen bersidang ‘secepat mungkin’ ?

Adakah kini giliran hulubalang Menteri Undang-undang Mahiaddin dari Pas pula untuk  berpura-pura masih tidak memahami maksud yang sudah jelas pada semua untuk Parlimen bersidang ‘secepat mungkin’ ?

Beberapa hari lepas, Presiden Pas sendiri telah mengeluarkan teguran betapa penting dan wajibnya rakyat taat pada Rajanya.

Adakah kerana Takiyuddin dari sebuah parti Islam beliau mempunyai kekebalan untuk ingkar derhaka pada titah Raja sendiri.

Itulah istimewanya Pas yang kaya dengan pelbagai ‘fatwa’ nya dan mempunyai kekebalan untuk ahlinya baik dalam isu kuarantin Covid-19 Menterinya atau tindakan derhaka terhadap titah Agong.

Baru-baru ini Presiden Pas semasa berada di rumah sakit menyarankan rakyat mesti beristiqamah dengan Perdana Menteri sebagai ketua.

Tetapi anehnya sekarang dibolehkan pula menteri menderhaka dan tidak istiqamah taat pada titah Agong, yang menjadi ketua agama Islam, apabila mempunyai kepentingan peribadi.

Nampaknya sangat kurang bererti kalau kerajaan PN ini digelar kerajaan Melayu Islam.

Dimanakah ke Melayuan dan Islamnya kerajaan yang meremehkan dan tidak taat serta hormat kepada Raja sendiri dalam masa Raja-Raja ingin membela keselamatan kesihatan rakyat dan mengembalikan demokrasi berparlimen ke bumi Malaysia.

*SENATOR DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD BAHARUDDIN SHAH merupakan Pengerusi AMANAH Terengganu.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan