Pertemuan misteri di Jalan Bellamy


Ada pertemuan luar daripada kebiasaan di kalangan pemimpin tertinggi kerajaan di Kuala Lumpur malam tadi, menjelang pertembungan antara Umno dan Perikatan Nasional (PN) yang dijangka berlaku minggu depan.

Pertemuan itu berlaku di sebuah banglo dekat Jalan Bellamy - sebuah kawasan hijau yang sunyi, dipenuhi bangunan milik kerajaan dan berdekatan Istana Negara lama.

Sejumlah kereta mewah, kebanyakannya Toyota Vellfire - antara kegemaran elit politik, dilihat dalam kawasan bangunan tersebut.

Dua kereta rasmi yang digunakan timbalan menteri juga dilihat di situ.

Malaysiakini mengenal pasti sekurang-kurangnya seorang timbalan menteri, seorang menteri dan seorang ahli Parlimen yang juga ketua GLC di situ.

Ketiga-tiganya dipercayai ahli Parlimen Umno yang tidak menyokong presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Kehadiran media tidak dialu-alukan semalam. Seorang polis pengiring kemudian memberitahu pemberita Malaysiakini untuk beredar.

Pertemuan ini dipercayai sebagai respons kepada spekulasi yang Zahid merancang untuk menarik balik sokongan Umno daripada PN minggu depan.

Permainan angka

Zahid diberi kuasa untuk berbuat demikian oleh perwakilan perhimpunan agung Umno - badan membuat keputusan tertinggi dalam parti - pada Mac lalu.

Sejumlah sumber memberitahu Malaysiakini yang Zahid mendapat sokongan majoriti ahli Majlis Tertinggi (MT) dan kini dalam usaha mendapatkan komitmen bertulis daripada ahli Parlimen Umno.

"Sebab rasmi" untuk menarik sokongan itu adalah keengganan PN mematuhi kata dua Umno - dengan tempoh 14 hari dan tamat Isnin ini - agar mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen kembali bersidang "secepat mungkin".

Ahmad Jazlan

Umno memiliki 38 ahli Parlimen. Kini hanya dua orang, iaitu Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), yang tidak lagi menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ini bermakna di atas kertas Muhyiddin memiliki sokongan 113 ahli Parlimen. Memandangkan dua kerusi kini kosong, dia hanya memerlukan 111 undi untuk meluluskan sebarang usul apabila Parlimen kembali bersidang.

Sumber membayangkan kira-kira 24 ahli Parlimen Umno - termasuk menteri dan timbalan menteri - ada dalam pertemuan semalam.

Siapa ketua?

Sementara identiti mereka tidak jelas sepenuhnya, perkembangan mutakhir membayangkan dua tokoh Umno memainkan peranan sebagai "ketua tidak rasmi".

Pada 23 Jun lalu, Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) mendakwa Hishammuddin Hussein (Sembrong) mendapat sokongan 25 ahli Parlimen BN untuk menjadi wakil mereka bagi menghadap Agong.

Ini bermakna sekurang-kurangnya 21 ahli Parlimen Umno menyokong Hishammuddin yang juga bendahari BN, pada masa sama mengetepikan Zahid yang merupakan pengerusi gabungan itu.

Hishammuddin tidak menafikan dia mewakili 25 ahli Parlimen tersebut.

Satu lagi suara tidak rasmi yang bertentangan dengan Zahid adalah Ismail Sabri Yaakob, naib presiden Umno. Pada 22 Jun, dia menjarakkan diri daripada kata dua yang dikeluarkan MT.

Sehari kemudian, dia dikaitkan dengan satu kenyataan yang mendakwa "semua ahli Parlimen BN" tidak akan menyokong usul tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Pasukannya kemudian menarik balik kenyataan itu. Satu kenyataan baru dikeluarkan dengan kandungan hampir serupa, tetapi mensabitkan "semua ahli Parlimen BN".

Hishammuddin dan Ismail adalah dua daripada tujuh menteri Umno. Dipercayai tiada seorang pun di kalangan mereka bersekutu dengan Zahid.

Tambahan pula, dipercayai pertemuan semalam berlaku di banglo milik kerajaan dan dapat diakses oleh seorang menteri kabinet.

Turut menyumbang: Annabelle Lee, Hariz Mohd dan Andrew Ong.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan