KUALA LUMPUR: Kerjasama untuk membentuk kerajaan negeri campuran di Melaka jika tiada parti meraih majoriti hanya akan difikirkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) selesai.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini ini pihaknya mahu terus menggiatkan usaha fasa akhir kempen sebelum hari pengundian Sabtu ini.
Katanya, apa yang lebih penting ialah PRN berjalan lancar dan rakyat Melaka diberi peluang memilih kerajaan negeri yang bakal dibentuk.
"Apa kita nak kata sekiranya parti yang bertanding ada satu mendapat sebilangan kerusi dan satu parti lagi dapat sejumlah kerusi, saya fikir soal itu (tiada majoriti) kita akan melihat kemudian.
"Jangan jawapan saya diputar mengatakan saya bersedia (kerjasama). Saya tak kata begitu. Saya nak lihat apa keputusan pilihan raya dan selepas itu kita akan mengatur apa langkah strategi tertentu.
"Saya tidak katakan tak bersedia bekerjasama. I am non-committal," katanya.
Beliau yang Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perbincangan meja bulat dan Dialog Pemulihan Negara bersama Dewan Perniagaan British Malaysia, hari ini.
Semalam, Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata parti itu sedia merintis kerjasama dengan mana-mana pihak dan tidak terhad kepada PN jika hanya mampu mempertahankan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang.
Angka itu tidak cukup sebagai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri.
Sementara itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, berharap pengundi di Melaka memilih PN pada Sabtu ini dan perlu memahami pilihan raya itu amat penting untuk membentuk kerajaan negeri.
Katanya, ia berbeza dengan pilihan raya kecil (PRK) yang hanya memilih seorang wakil rakyat.
"Sewajarnya ada satu pandangan yang agak menyeluruh bahawa undi mereka adalah untuk bentuk kerajaan.
"Kuasa pemutus adalah pengundi. Mereka yang akan menilai setiap parti bertanding dan mereka yakin nak menyokong. Saya harap mereka menyokong PN.
"Apa pun soalan berbangkit selepas itu, kita akan lihat selepas daripada itu," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan