Oleh Dr Abdul Khabir Rahmat dan Dr Mohd Hafiz Zulfakar -
Banjir terkini melanda negara tanpa sebarang amaran awal yang jelas. Ada kawasan tidak pernah dilanda banjir langsung tidak bersedia, malah kawasan yang pernah atau sering terkena turut tersentak akan skala yang dahsyat.
Apa tidaknya, jika selama ini banjir hanya naik ke paras bawah lutut, namun kali ini mengganas sehingga menenggelamkan ketinggian rumah setingkat. Natijahnya, bilangan mangsa terjejas terlalu tinggi, sama ada terperangkap di kawasan perumahan mahu pun terkandas di jalan raya.
Keadaan huru-hara yang meruncing ini mencetus inisiatif pelbagai pihak untuk menyelamatkan mangsa serta menghulurkan pelbagai bantuan kemanusiaan.
Bagi kawasan yang sebelum ini mungkin tidak pernah atau kurang pengalaman mengendalikan bantuan banjir, sudah tentu situasi baharu ini mengundang masalah untuk menguruskan mangsa banjir dalam jumlah yang ramai, begitu juga untuk mengendalikan bekalan makanan, pakaian, kebersihan dan lain lain keperluan demi keselesaan mangsa.
Aspek pengurusan tidak boleh dipandang enteng kerana dikhuatiri niat membantu tidak tercapai, sebaliknya lebih memburukkan keadaan.
Oleh itu pengetahuan dan kesedaran menghadapi krisis bencana perlu ada pada semua khususnya wakil pemimpin masyarakat atau ahli jawatankuasa komuniti setempat yang bertanggungjawab ke atas institusi yang menawarkan bantuan.
Penting dipastikan jumlah mangsa dibantu direkod dan dikemas kini, selain maklumat penting termasuk keperluan ubat-ubatan bagi warga tua atau wanita hamil dan menyusukan anak.
Ia bagi memastikan bekalan ubat mereka tidak terputus. Perlu juga diketahui kapasiti tampungan fasiliti untuk memastikan keselesaan serta mengambil kira keadaan penyebaran wabak, khususnya ketika kita masih berperang dengan COVID-9.
Keadaan lebih kapasiti akan meningkatkan risiko penyebaran wabak lain yang mudah berjangkit seperti batuk dan taun.
Bagi mengelak pembaziran makanan dan pelbagai bekalan lain, wakil institusi dan penderma perlu bekerjasama dan berkomunikasi mengenai inventori semasa, khususnya dari segi jumlah kuantiti dan menyimpan bahan yang benar-benar diperlukan sahaja.
Bahan mudah rosak seperti makanan yang siap dimasak serta sayur-sayuran yang tidak tahan lama serta mudah rosak perlu diatur dengan baik. Jika tidak ia bakal menyebabkan keadaan busuk di pusat bantuan, selain menjurus pembaziran dan pembuangan bahan mentah berharga seperti ayam, nasi dan sebagainya.
Komunikasi mengenai had batas ruang yang boleh digunakan juga perlu dijelaskan kepada mangsa bagi mengelakkan timbul salah faham. Khidmat nasihat dan pakar seperti polis dan pihak hospital juga penting bagi menilai keadaan fasiliti supaya selesa dan selamat buat mangsa.
Pihak penyedia fasiliti juga perlu faham keadaan mangsa dan berkomunikasi dengan baik bagi menenangkan mangsa yang mungkin resah dan berada dalam keadaan tertekan. Keperluan psikologi dan memberi semangat kepada mangsa amat penting bagi mereka menempuh cabaran mendatang.
Dalam pada itu, asas pengurusan bencana janganlah dibincangkan hanya tatkala bencana melanda atau sebagai tindakan responsif. Langkah proaktif perlu dimulakan sebagai persiapan awal kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana khususnya musibah alam semula jadi.
Semua ini penting supaya kita bersiap sedia, sekali gus dapat meminimumkan impak apabila bencana melanda.
Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM)
0 comments:
Catat Ulasan