Antilompat parti: Menempah kecewa pada politikus 'hauk'


Oleh Abror Mohd Yusuf 

 Pada suatu ketika dulu sebahagian daripada rakyat di negara ini amat mudah terhibur dengan jenaka-jenaka yang dipamerkan pelawak tempatan.

Mengikut piawaian yang sederhana, jenaka itu sebenarnya hambar. Malah dalam sesetengah kes, sangat hambar. Tetapi tetap ramai orang yang terasa mereka terhibur walaupun sedemikian hambar.

Hal itu kerana pada ketika itu dunia seni jenaka kita begitu malap dan menyedihkan. Dalam keadaan sebegitu, sebarang jenaka - waima yang membodohkan diri sendiri sehingga ke tahap amat rendah - mendapat sambutan ramai.

Orang ramai yang tertekan dengan tuntutan hidup perlukan sesuatu untuk ketawa.

Kemudian kita bernasib baik apabila dunia seni persembahan jenaka kembali hidup dan meriah dengan pengisian yang lebih bermakna. Dan sedikit demi sedikit dunia yang suram serta membosankan ini dapat diceriakan dengan jenaka yang berisi lagi cerdas.

Kemudian datang pula satu kecenderungan sesetengah orang untuk melayan individu yang 'kurang bernasib baik' sebagai sumber hiburan. Misalnya seseorang yang lembam diajak berbual tentang isu semasa. Ditanya mengenai politik, misalnya, dan aksi tersebut dirakam sebelum disebarkan.

Kemudian kita pun beramai-ramai mentertawakan kebodohan sendiri.

Malangnya itu bukanlah berita paling buruk. Khabar yang lebih buruk ialah kita percaya bahawa kebodohan itu dapat menyelamatkan kita semua daripada bencana yang sudah merata.

Berhujah untuk diri sendiri

Salah satu contoh perbuatan berharap kepada kebodohan untuk menjadi pandai dapat disaksikan di parlimen kelmarin. Orang politik yang dimenangkan untuk menjadi ahli parlimen tiba-tiba berhujah itu dan ini untuk menguruskan masalah lompat parti.

Ia berlaku ketika kita semua tahu sebahagian daripada mereka yang bercakap itulah yang melompat ke sana sini sebelum ini. Atau paling tidak, mendepangkan tangan untuk menyambut ahli parlimen yang membelot.

Mengharapkan mereka yang sebegitu menguruskan isu lompat parti adalah sama seperti menunggu sekumpulan penipu tegar untuk bercakap jujur.

Memang benar, ahli-ahli parlimen yang berbahas itu berkelakuan seperti seorang wakil rakyat. Mereka berbahas dengan petah dan agak meyakinkan. Tambahan pula dipercayai deria aib mereka sudah lama dimandulkan oleh keghairahan kepada kuasa, jawatan dan harta.

Mereka beraksi selayaknya selaku wakil rakyat, kecuali mereka bercakap dan berhujah bukanlah demi rakyat, sebaliknya untuk diri mereka sendiri saja.

Menggunakan susunan bahasa dan seni diplomasi tertentu, mereka menyokong atau membantah sesuatu dengan menyandarkan hujah tersebut kepada kita - rakyat biasa ini.

Sedangkan, dengan sedikit penelitian dan ketekunan berfikir saja, kita boleh membogelkan segala agenda yang dibawa - namun cuba disembunyikan mereka - di sebalik gaya percakapan masing-masing.

Tidak adalah apa-apa yang diinginkan oleh mereka itu kecuali kesenangan dan kelapangan hidup mereka sendiri saja. Kita rakyat yang biasa-biasa ini, merempat dan mati di tepi jalan pun tidaklah mengapa.

Keadaan itu mengingatkan kita kepada kata-kata Niccolo Machiavelli bahawa "politik itu tidak ada sebarang kaitan langsung dengan moral."

Suka atau tidak, nampaknya pandangan Machiavelli itu berada pada landasan yang betul. Pedulikanlah sama ada orang politik itu berkot dan bertali leher, atau berserban dan berjubah. Mereka semuanya sama saja.

Dan kebodohan kita ialah kerana berharap mereka itu bersikap jujur dan membawa faedah kepada kehidupan sehari-hari, sedangkan di dalam kepala orang politik terbabit tidaklah ada apa yang lain kecuali tembolok mereka sendiri.

Keladak dalam sistem

Ada yang bimbang disingkirkan dari kerusi kerana khianat, ada yang risau tidak lagi dapat layanan istimewa semasa melawat kawasan. Juga sudah tentu ada yang berasa ngeri apabila kereta yang dinaiki mereka tidak lagi diiringi anggota polis bersama siren yang membingitkan.

Bertahun-tahun dapat bersedap-sedapan menjalan di jalan raya tanpa perlu bersesak-sesak (walaupun pada waktu puncak kesesakan jalan raya) sangat nikmat.

Semua kesedapan itu mungkin akan lenyap jika tersilap langkah dalam menyokong penggubalan akta antilompat parti.

Dan di sana sudah tentu ada juga orang yang berdepan dengan mimpi ngeri kalau-kalau mereka terpaksa meringkuk di sebalik jeriji besi!

Negara ini sebenarnya memerlukan suatu proses overhaul yang segera. Kerosakan dan keladak yang ada dalam sistem bernegara ini sudah terlalu tebal serta membinasakan.

Mungkin ia suatu proses yang sangat panjang. Langkah menyelamatkan keadaan sepatutnya sudah bermula 10 atau 20 tahun lalu. Malangnya sehingga kini ia sentiasa tergendala, terkandas dan terkhianati.

Orang politik bukanlah manusia yang mesti ditakuti, dimuliakan, apatah lagi untuk disembah. Mereka ialah khadam yang mesti menjadikan siang dan malam mereka berfikir untuk kita, bukan sebaliknya.

Jika tidak, maka selamanya kita akan melihat wayang menjengkelkan seperti yang terpamer di Dewan Rakyat kelmarin. Mereka berbahas dan berhujah begitu dan begini seolah-olah memikirkan kepentingan kita, sedangkan di dalam hati, hanya diri kesenangan sendirilah yang dimahukan.

Diulang sekali lagi: mengharapkan isu melompat parti dan mengkhianati mandat rakyat diuruskan oleh orang yang sama yang melompat dan berkhianat sama seperti berharap kepada penipu tegar untuk berkata benar.

Atau sebenarnya kita sudah berada di tahap yang jauh lebih teruk daripada 'hauk-hauk' itu.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang tidak menyalahkan pelitup muka hauk kerana terpaksa menjalani kuarantin kendiri untuk hari kelima hari ini.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan