Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menyelar ahli politik beragama Islam yang mengkritik gabungan itu ketika mereka memperjuangkan isu penukaran agama Islam tiga orang anak mualaf, Muhammad Nagahswaran Muniandy.
Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Loh Siew Hong yang juga ibu kepada tiga kanak-kanak berkenaan untuk meneruskan permohonan bagi membatalkan penukaran agama Islam tiga orang anaknya yang dibuat oleh bekas suaminya.
Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahya, menyoal apakah pemimpin politik Islam masih mahu berlembut dalam isu itu.
"Kita mahu soal ahli-ahli politik beragama Islam, terutamanya yang teruk mengecam kami dahulu. Di manakah anda dalam hal ini?
"Apakah masih nak 'berlemah lembut' tak tentu pasal lagi? Atau apakah nak kena tunggu anak-anak ini betul-betul dimurtadkan baru nak tersedar?
"Ketika itu sudah sangat terlambat. Itu pun kalau tersedarlah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Loh berhubung penukaran agama yang dibuat bekas suaminya yang juga seorang mualaf.
Nagahswaran didakwa melarikan tiga anaknya dan menukar agama mereka tanpa pengetahuan dan kebenaran Loh, dua tahun lalu.
Dengan keputusan itu, mahkamah akan menetapkan tarikh bagi mendengar merit semakan kehakiman tersebut.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata ketika pihaknya menyuarakan kebimbangkan, mereka diserang bertali arus, malah dilabel sebagai ekstremis.
"Mereka kata ini sekadar isu hak penjagaan anak dan ancaman akidah hanyalah rekaan kami untuk menakut-nakutkan masyarakat.
"Kononnya Loh yang didokong oleh wakil-wakil rakyat dan peguam-peguam DAP itulah pejuang sebenar yang membela seorang ibu yang ditindas dan dinafikan hak.
"Seolah-olah merekalah yang terpaling harmoni dan 'innocent' walaupun telah banyak kenyataan yang agak celupar dikeluarkan," katanya lagi.
0 comments:
Catat Ulasan