KUALA LUMPUR: Penganalisis politik, Prof. Wong Chin Huat berpendapat Ahli Parlimen yang terlibat dalam kes salah laku tidak boleh menyertai Kabinet jika kerajaan benar-benar serius untuk tidak berkompromi dalam isu integriti.
Katanya, jika individu yang berdepan kes mahkamah diturut sertakan dalam pentadbiran, rakyat akan marah dan pembangkang akan menggunakannya sebagai senjata untuk menyerang kerajaan.
“Kalau kemudian kes mereka digugurkan kerana Peguam Negara kita masih belum direformasikan, rakyat akan melihat keadilan itu digadai atas pertimbangan politik - jadi itu tak boleh berlaku.
“Secara terus terang, saya rasa ada empat orang Ahli Parlimen dalam kerajaan campuran ini yang tak boleh jadi ahli Kabinet - Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Lim Guan Eng, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Datuk Seri Bung Mokhtar Radin,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Isnin.
Keempat-empat individu tersebut masih menjalani perbicaraan di mahkamah atas dakwaan salah guna kuasa dan korupsi.
Beberapa penganalisis sebelum ini juga menyatakan perkara sama, walaupun seseorang itu masih tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah, tumpuan mereka nanti akan lebih terarah kepada mahkamah dan mustahil untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Secara kolektifnya, kata Chin Huat, jika individu terbabit dan mereka yang tidak mempunyai reputasi bersih dilantik menjadi anggota pentadbiran, kerajaan nanti akan sentiasa dalam posisi defensif lantas tidak dapat berfungsi sepertimana diharapkan.
0 comments:
Catat Ulasan