OLEH Muhaimin Sulam
Semasa pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, saya berkempen dengan mendeklamasikan puisi di Sungai Panjang di Selangor, Permatang Pasir di Pulau Pinang dan Kuala Nerang di Kedah.
Berdasarkan kepada keputusan PRN di ketiga-tiga tempat tersebut, ternyata tidak mudah untuk merayu undi dengan hanya sepotong puisi.
Pun begitu bagi saya secara peribadi, puisi adalah santapan buat jiwa manusia yang inginkan keindahan dan ketenangan dalam kehidupan.
Puisi yang saya deklamasikan itu bertajuk Kaum Beragama Negeri Ini karya ulama terkenal Indonesia, Kiai HA Mustofa Bisri ataupun dikenali dengan panggilan Gus Mus.
Sebagai ulama, dia memerhatikan masalah yang dihadapi oleh masyarakatnya lalu menukangi puisi sebagai renungan buat kita semua.
Pada perenggan pertama puisi itu, Gus Mus menulis:
Demi mendapatkan redamu
mereka rela mengorbankan
saudara-saudara mereka
untuk merebut tempat
terdekat di sisi-Mu.
Secara sinis, Gus Mus menyatakan bahawa golongan beragama dengan mudah menghukum masyarakat yang tidak sehaluan dengan perjuangan mereka. Tindakan itu dilakukan kerana mereka percaya Tuhan akan memberi tempat yang hampir di sisi-Nya.
Seterusnya, perenggan kedua Gus Mus lebih keras menyatakan bentuk tindakan golongan agama terhadap kelompok yang tidak sehaluan. Gus Mus menulis lagi:
mereka bahkan tega menyodok
dan menikam hamba-hamba-Mu sendiri
demi memperoleh Rahmat-Mu.
Ternyata selepas tamatnya PRN dan keputusan diketahui, gelagat kaum beragama meraikan kemenangan wajar difikirkan bersama. Pada minggu pertama pembentukan kerajaan negeri di Kelantan, menteri besar barunya menyifatkan parti yang melawan PAS sebagai pihak yang menentang perjuangan Islam.
Ada pihak yang agak 'lembut' menyarankan agar sesiapa yang menentang PAS agar kembali kepada parti itu. Kenyataan tersebut tentu sekali ditujukan kepada ahli Umno yang pernah berkawan dengan PAS suatu ketika dahulu serta ahli Amanah yang kebanyakannya merupakan bekas ahli PAS.
Ungkapan "kembali kepada perjuangan Islam" dirujuk sebagai "kembali kepada PAS". Ini kerana, Amanah lahir daripada pergolakan dalam PAS, maka wajar untuk Amanah kembali ke lubuk asalnya.
Sebahagian daripada pengasas PAS ialah agamawan yang berjuang sejak sebelum merdeka. Bahkan jika merujuk kenyataan mereka tentang sejarah perjuangan parti itu, Tok Janggut, Datuk Maharajalela, Mat Kilau mewariskan perjuangan kepada mereka.
Faktor agama memang boleh menguntungkan. Kerana itu ada karyawan yang sedar bahawa sentimen keagamaan boleh membuatkan sesebuah filem rekaan bukan sekadar menguntungkan puluhan juta ringgit malah meniupkan sentimen identiti kelompok.
Cuma belum menang
popular untuk meraih keuntungan. Artis, selebriti dan seniman menumpang keinginan beragama secara pop dan pada masa yang sama memenuhi keperluan rohani mereka.
Ini bukan soal siapa menunggang siapa. Ini adalah kerangka perhubungan timbal balik antara mereka dalam pengisian keperluan masing-masing terutama dalam mendapat sokongan orang ramai.
Dalam surah al-An’am ayat 116, Allah SWT berfirman (bermaksud): “Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya persangkaan belaka dan mereka hanyalah membuat kebohongan."
Istilah "kebanyakan" dalam istilah politik demokrasi adalah suara majoriti. Itu merupakan ayat Makkiyah iaitu tempoh pemantapan akidah kerana majoriti masyarakat Quraish Mekah adalah jahiliah.
Syed Qutb pernah menyebutkan bahawa abad ini adalah zaman jahiliyah moden. Bagaimana tafsiran ayat tersebut dalam konteks suasana politik tanah air masa kini?
Sedangkan untuk mendapatkan kuasa dalam sistem demokrasi, suara majoriti itu satu keperluan.
Semasa era PAS hilang wang pertaruhan dalam pilihan raya dan tiada bayangan kemenangan, para pengikutnya diajar akan ayat tadi. Mereka juga didodoikan bahawa "kita tidak kalah, cuma belum menang."
Keyakinan kepada kesabaran dan janji Tuhan akan datang mengisi kekuatan untuk menempuh cabaran mendatang.
Tatkala kemenangan diberikan, lalu disebutkan "sesungguhnya pertolongan Allah sudah datang" atau "para malaikat turun membantu."
Agamawan sering mengikat agamanya untuk mengikut fahaman dan keinginannya. Bukan itu sahaja, agamawan juga mengikat segala kejadian alam dengan tafsirannya.
Pada ketika itu, agamawan sentiasa berada pada jalan 'kebenaran' meski itu hakikatnya adalah ilusi dan kepalsuan. Mereka menjadikan agama dan Tuhan sebagai hak persendirian.
Lalu siapakah yang sepatutnya memperbetul atau menentang kemungkaran tersebut?
Tentulah dalam kalangan agamawan juga, iaitu agamawan yang bebas daripada ikatan ketaasuban, ketakjuban, kerakusan dan kesombongan diri sendiri.
Menjual agama demi mendapatkan keuntungan dunia adalah sebahagian kerjaya para pemuka dalm semua agama. Dosa dihapuskan dengan wang (dan juga undi). Syurga dibeli dengan harta.
Ia juga dilakukan oleh pemuka kaum, ideologi, kelompok yang ada beriman kepada wujudnya kehidupan selepas kematian.
Mencari titik temu
Dalam konteks Islam, pemuka agama yang mempunyai kreativiti boleh menjadikan agama sebagai modal mendapatkan kekayaan dan kekuasaan. Istilah dan konsep agama seperti dosa, pahala, syurga, neraka, afdal, tayyiban, halal, mubah dan sebagainya diperguna sebagai modal perdagangan agama.
Seiring dengan kesedaran beragama, produk-produk agama akan turut mendapat permintaan dalam pasaran. Permintaan meningkat menyebabkan penawaran menjadi sangat bernilai.
Pendosa-pendosa yang ingin mencari jalan singkat ke syurga memilih pemuka agama yang menawarkan pakej mudah.
Hal ini juga disentuh oleh Gus Mus dalam puisi tadi. Katanya:
Mereka bukan saja ikut
menentukan ibadah
tetapi juga menetapkan
siapa ke sorga siapa ke neraka.
Hakikatnya bukan agama yang berkembang tetapi kocek pemuka agama yang kembung. Agama yang berkembang pada simbol dan syiar semata-mata.
Kubah besar, menara tinggi dan permaidani ala Raudah yang tebal hingga sang miskin segan untuk mendekati tangga masjid dan musolla.
Agama sebagai sebuah nilai kebenaran, kesederhanaan, keadilan, kesejahteraan ummah hilang sedikit demi sedikit. Agama sebagai rahmat Allah hanya pada nama dan iklan di papan tanda.
Al-Quran di langit tinggi dan al-Quran di bumi mencari titik pertemuan.
Pada penghujung puisi itu, Gus Mus mempertegaskan lagi tindakan-tindakan mereka yang dilakukan dalam menguasai agama untuk kepentingan mereka sahaja:
Mereka sakralkan pendapat mereka
dan mereka akbarkan
semua yang mereka lakukan
hingga takbir
dan ikrar mereka yang kosong
bagai perut bedug.
Allahhu akbar wa lillahil hamd.
MUHAIMIN SULAM ialah anggota Jawatankuasa Amanah Nasional.
0 comments:
Catat Ulasan