Apa di sebalik cadangan kerjasama Umno-Bersatu?


Oleh Amin Ishak

Cakap-cakap perpaduan ummah atau kerjasama antara parti mewakili Melayu tidak pernah sunyi sejak PRU15. Topik itu menjadi lebih hangat susulan kerjasama Umno dengan DAP menerusi plaftform kerajaan perpaduan.

Label UmDAP (frasa gabungan Umno dan DAP) kerap dilontarkan pembangkang untuk menggoyahkan kerjasama terjalin bukan sahaja di Putrajaya tetapi di negeri dikuasai Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

Mereka sering menggambarkan kerjasama itu merugikan Islam serta Melayu, sedangkan hakikat sebenarnya berbeza.

Pelbagai versi timbul berkait cadangan menyatukan parti Melayu seperti PAS, Umno dan Bersatu.

Ada juga mencadangkan penyatuan turut membabitkan NGO seperti digesa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menerusi payung besar atau sekretariat orang Melayu.

Malah, wakil daripada Umno seperti Ketua Pemuda Dr Akmal Saleh mencadangkan kerjasama parti itu dengan PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) di bawah blok pembangkang.

Namun, Presiden Zahid Hamidi telah menegaskan parti itu dan Barisan Nasional (BN) kekal dalam kerajaan perpaduan.

Terbaru, Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris semalam membangkitkan pula kerjasama parti itu dengan Umno.

Beliau menggesa presiden partinya Muhyiddin Yassin dan Zahid bertemu secara bersemuka bagi membincangkan kemungkinan kerjasama menghadapi PRU16.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu dilaporkan FMT berkata kerjasama dengan Umno bukan sesuatu yang mustahil memandangkan kedua-dua parti pernah bekerjasama sebelum ini di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Pendirian Razali itu dilatari dengan kenyataan Zahid sehari sebelumnya yang Umno mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ perkembangan Bersatu yang berdepan krisis dalaman serta dalam PN susulan kontroversi pelantikan pengerusi gabungan itu susulan peletakan jawatan Muhyiddin.

Pengerusi BN menjelaskan hanya selepas itu sebarang kemungkinan mengenai kerjasama dengan parti tersebut bakal dimuktamadkan kelak.

Namun, pada masa sama, Razali dalam laporan FMT yang berasingan menggesa semua pihak memberi laluan serta sokongan kepada PAS untuk menerajui Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai pengerusi gabungan itu.

Menurut exco Terengganu itu, sokongan wajar diberikan memandangkan PAS sebelum ini menyokong Bersatu ketika parti berkenaan menerajui PN.

Jika diamati kenyataan Razali, kesimpulan paling sesuai mungkin beliau mahu ‘semangat perpaduan ummah’ membabitkan tiga parti berkenaan walaupun ada sejarah hitam menjelang PRU15 lalu.

Malah, Zahid baru-baru ini menyatakan Umno mahu lebih berhati-hati kerana tidak ingin dipatuk kali kedua.

Namun, persoalan tersirat lebih menarik dilihat mengapa Razali secara terbuka berani membuat gesaan itu ketika ramai pemimpin dalam Bersatu mungkin masih marah dengan tindakan Umno menarik balik sokongan menyebabkan pentadbiran Muhyiddin jatuh pada 2021?

Kedua, apakah beliau telah mendapat restu daripada pimpinan atasan Bersatu untuk membuat gesaan supaya Muhyiddin dan Zahid bersemuka?

Perkembangan ini menjadikan gesaan Razali bukan sekadar kenyataan bersifat peribadi sebaliknya cerminan kegelisahan lebih besar dalam PN khususnya Bersatu.

Ketika hubungan Bersatu–PAS dilihat belum benar-benar pulih susulan episod pelantikan pengerusi PN, kenyataan terbuka sedemikian berpotensi menambah jurang atau mencetuskan rundingan baharu yang lebih pragmatik.

Masa depan PN yang berusia enam tahun pada bulan depan turut jadi persoalan.

Pada masa sama, pergolakan dalaman Bersatu yang berlarutan sejak tahun lalu termasuk desakan supaya Muhyiddin berundur serta pemecatan beberapa tokoh kanan seperti Wan Saiful Wan Jan dan Saifuddin Abdullah menimbulkan persoalan sama ada parti itu masih memiliki kekuatan dan kesepaduan untuk menjadi teras utama pembangkang.

Justeru, sama ada gesaan ‘perpaduan ummah’ ini bakal diterjemahkan kepada kerjasama politik sebenar atau sekadar retorik bermusim, banyak bergantung kepada kesediaan pimpinan parti-parti terbabit untuk menutup luka lama dan mengutamakan realiti politik semasa menjelang PRU16.

Bersediakah mereka? Dalam politik tiada yang mustahil.

Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan