Oleh Dr. Mohd Zuhdi Marsuki
Pendahuluan
Cetusan ringkas saya tengah malam tadi berjaya membongkarkan segala kekeliruan dan kekaburan di dalam PAS selama ini, tentang kedudukan Mursyidul Am. Memang benar rupanya, selama ini ramai ahli PAS melihat sosok Mursyidul Am itu sebagai simbol kerohanian sahaja, atau yang lebih baik sedikit menyebut Mursyidul Am adalah hanya penasihat. Saya sendiri terkejut bila dilaporkan ada Dewan Ulama PAS sebuah negeri pun berpendirian sedemikian.
Saya juga terpanggil menulis tulisan ini, apabila melihat sebuah video Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mengulas tentang wujud dikotomi kuasa Mursyidul Am dan kuasa Majlis Syura Ulama. Boleh jadi kefahaman saya tentang ulasan Setiausaha Agung PAS itu tidak tepat, tetapi berdasarkan isi kandungan ulasan beliau, itulah yang saya boleh fahami. Beliau menyebut seolah-olah pendirian Mursyidul Am itu adalah pandangan peribadi beliau.
Apakah Takrif Amir?
Perkataan amir berasal dari kata a-ma-ra yang bermaksud memerintahkan atau mengarahkan supaya dilakukan sesuatu. Di dalam pengertian yang lebih lengkap, amir bermaksud ketua bagi sesuatu kumpulan, sebagaimana Rasulullah SAW pernah melantik Abdullah bin Jubayr RA sebagai "amir" bagi kumpulan pemanah di Jabal Rummah semasa Perang Uhud. Demikian juga Umar bin al-Khattab RA memakai gelaran "amir al-mu'minin" selepas dilantik jadi khalifah, iaitu bermaksud ketua keseluruhan yang beriman.
Berdasarkan huraian ringkas tentang makna amir itu, maka bila disebut amir bagi PAS, bermaksud ketua bagi keseluruhan organisasi dan individu yang berada di bawah PAS. Apatah lagi PAS bukan sekadar sebuah parti politik, tetapi juga sebuah Harakah Islamiyah, penggunaan gelaran amir sememangnya menjadi kelaziman. Bagaimanapun, gelaran amir itu tidak ada di dalam Perlembagaan PAS, sebaliknya yang ada Mursyidul Am, Presiden, Ketua Perhubungan dan Yang Di Pertua Kawasan. Jadi siapakah amir PAS?
Kedudukan Mursyidul Am Di Dalam PAS
Di dalam Perlembagaan PAS menyebut peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am adalah pada Fasal 9(1)(a)(b) dan (c), yang secara keseluruhannya menggambarkan kuasanya yang cukup besar dan tidak ada mana-mana jawatan di dalam PAS yang punyai kuasai sebesar itu. Berikut adalah peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am:
a. Bertanggungjawab sebagai ketua Majlis Syura Ulama dalam melaksanakan kuasa-kuasa yang diperuntukan dalam Fasal 8(1)(a)(b) dan (c).
b. Menetap dan mempengerusikan mesyuarat-mesyuarat Majlis Syura Ulama.
c. Mengambil apa-apa langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara Perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi dalam kegiatan, gerakan dan pentadbiran PAS.
Peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am dalam mengetuai Majlis Syura Ulama untuk melaksanakan peranan majlis itu, bukanlah sekadar mempengerusikan mesyuarat atau muzakarah. Salah satu peranan yang beliau mainkan dalam mengetuai Majlis Syura Ulama ialah mengeluarkan arahan dan perintah agar apa-apa ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Syura Ulama tentang apa-apa yang berkaitan dengan Islam termasuklah hukum-hukumnya, dipatuhi dan dilaksanakan oleh organisasi dan individu di bawah PAS.
Kemudian pada Fasal 9(1)(c), secara lebih khusus dan tidak terikat dengan mesyuarat atau muzakarah Majlis Syura Ulama, Mursyidul Am berperanan dan bertanggungjawab atas kapasiti jawatannya untuk mengambil apa-apa jua langkah yang perlu bagi mengawasi dan memelihara Perlembagaan, dasar dan hukum PAS dipatuhi oleh semua pihak di dalam PAS. Jelas sekali peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am ini bukan sekadar pengerusi mesyuarat.
Sekiranya diteliti kepada keseluruhan Perlembagaan PAS, tidak ada mana-mana pemegang jawatan di dalam PAS yang mempunyai kuasa mengeluarkan arahan dan perintah, serta memantau dan mengawasi keseluruhan organisasi dan individu di bawah PAS, melainkan ada pada Mursyidul Am. Perlu diingat keseluruhan keputusan, kegiatan dan lain-lain di dalam PAS tidak sedikitpun terlepas daripada Islam dan hukum-hukumnya termasuklah dalam perkara yang berkaitan dengan pelantikan PM dan MB.
Malah sepatutnya menjadi amalan di dalam PAS untuk melantik seseorang PM, MB atau mana-mana jawatan utama yang berkaitan dengan amanah kepimpinan, ketetapan Majlis Syura Ulama diambil. Jika sekiranya, calon-calon yang bertanding di dalam pilihanraya pun perlu mendapat kelulusan Majlis Syura Ulama, sewajarnya di masa hadapan calon-calon untuk jawatan seumpama PM dan MB juga perlu mendapat kelulusan majlis tersebut. Calon-calon pemimpin mewakili PAS tidak terkecuali daripada ketetapan syarak.
Teladan daripada Rasulullah SAW sangatlah perlu diambil berat oleh PAS sebagai Harakah Islamiyah. Ketika Baginda SAW menghantar Muaz bin Jabal RA sebagai utusan ke Yaman, Baginda SAW telah memeriksa dan menemuduga potensi Muaz dalam perkara yang berkaitan merumuskan ketetapan berasaskan syarak. Panduan tersebut wajar diterima pakai oleh PAS, memeriksa calon-calon mereka yang diketengahkan sebagai pemimpin negeri dan negara, apakah mereka faham kaedah memutuskan sesuatu mengikut syarak.
Kemelut Perlis dan Peranan Mursyidul Am
Seorang sahabat saya pernah menyebut, sekiranya kemelut Perlis ini berlaku di Kelantan sewaktu almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat masih hidup, nescaya PAS akan menyerahkan mandat besar kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk menyelesaikannya. Demikianlah seharusnya juga di Perlis, ketika kemelut di Perlis ini berlaku, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin bermastautin di Perlis dan dihormati oleh semua pihak termasuk dari parti-parti lain. Malang sekali, apabila mandat tidak diberikan kepada beliau.
Kemelut berkaitan pertukaran MB Perlis bukan hanya berkaitan dengan konflik dalaman PAS Perlis, dan bukan hanya berkaitan dengan hubungan sesama parti komponen PN, tetapi yang lebih utamanya berkaitan dengan hasrat nasihat daripada payung rakyat Perlis dan Ketua Agama Negeri. Sebagai sebuah parti politik dan Harakah Islamiyah, kedudukan Raja Perlis di dalam politik Islam yang menjadi dasar pegangan PAS, adalah seorang Ketua Negeri yang wajib ditaati. Ketaatan kepada Raja dan Sultan adalah suatu ketetapan syarak.
Selama mana hasrat nasihat Raja dan Sultan tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Hadith, sayugia bagi PAS untuk menjunjungnya. Dalam konteks politik Malaysia, Raja dan Sultan adalah pihak yang apolitikal, malah menjadi faktor penting kepada kestabilan politik Malaysia. Seharusnya PAS menjunjung ketetapan syarak yang mengkehendaki semua kita mentaati pemerintah dalam keadaan kita suka atau tidak suka, dengan mendukung hasrat nasihat yang diberikan itu.
Setakat pemerhatian saya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Hashim Jasin, mempertimbangkan kesemua perkara tersebut. Pendekatan beliau adalah pendekatan yang bukan sahaja bertepatan dengan kepentingan PAS, malah membawa keuntungan kepada PAS. Lebih daripada itu pendekatan beliau adalah bertepatan dengan ketetapan syarak dalam mentaati pemerintah kerajaan yang lebih tinggi dan menjaga masalah umum rakyat Perlis. PAS akan lebih dihormati sekiranya pendekatan Mursyidul Am ini diterima.
Meneliti semula Fasal 15A Perlembagaan PAS
Baru-baru ini, Mursyidul Am PAS bersuara menyatakan bahawa keputusan memberhentikan keahlian tiga ADUN PAS Perlis belum muktamad. Sekonyong-konyong kenyataan beliau telah dibantah oleh pelbagai pihak di dalam PAS termasuklah oleh LUHAM. Tentera-tentera siber pihak tertentu di dalam PAS juga telah menyerang beliau sehingga ada yang sampai ke peringkat kurang ajar. Bagaimanapun, pendirian Mursyidul Am ini dipertahankan oleh ramai pihak dan saya salah seorang daripadanya.
Pindaan Perlembagaan PAS berkaitan dengan Fasal 15A dan beberapa fasal yang lain sebenarnya dilakukan secara "serang hendap". Pindaan Perlembagaan PAS lazimnya dibawa ke dalam Majlis Syura Ulama terlebih dahulu untuk menentukan ia tidak bertentangan dengan dasar PAS. Majlis Syura Ulama pula akan mengadakan muzakarah untuk membincangkannya secara mendalam. Demikianlah amalan cermat dan teliti golongan veteran PAS dahulu bila meminda Perlembagaan PAS.
Adapun pindaan Perlembagaan PAS yang dibawa ke dalam Muktamar PAS kali ke-70 di Temerloh, Pahang, dilakukan secara culas dan curang. Deraf pindaan Perlembagaan PAS itu tidak dibawa ke dalam perbincangan Majlis Syura Ulama secara mendalam. Deraf itu hanya dibentangkan di dalam mesyuarat bersama Majlis Syura Ulama secara atas talian. Dengan sebab itu, diyakini ia bukanlah seperti kelaziman yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama sebagaimana sebelum-sebelum ini.
Ketika pindaan itu dibentang kepada pewakilan-pewakilan Muktamar PAS, ia dilakukan ketika waktu Maghrib sudah hampir masuk menyebabkan para pewakilan tidak memberi tumpuan khusus terhadap pindaan yang penting itu. Saya sendiri yang berada di dalam dewan muktamar ketika itu mengharapkan pindaan itu tidak perlu perbahasan yang panjang. Jika dulu Tun Dr Mahathir pernah membentang "Bajet Asar", dalam Muktamar PAS kali ke-70 pula, Setiausaha Agung PAS membentangkan "Pindaan Maghrib".
Fasal 15A Perlembagaan PAS seperti yang dipertahankan oleh LUHAM mempunyai kelompongan besar. Kelompongan pertama ialah pihak manakah yang boleh memutuskan bahawa ahli-ahli badan perundangan itu telah melanggar perkara 15A(1)(a),(b),(c) dan (d). Adakah Jawatankuasa Disiplin, JK Kerja PAS Pusat atau Majlis Syura Ulama? Tiada ketetapanpun daripada Fasal 15A itu pihak mana yang boleh menentukan dan memutuskan mana-mana ahli badan perundangan telah sabit melanggar perkara-perkara itu.
Di dalam PAS pihak yang boleh menjatuhkan sesuatu tindakan tatatertib adalah Jawatankuasa Disiplin, JK Kerja PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama. Majlis Syura Ulama ada kuasa untuk menjatuhkan tindakan disiplin kerana majlis itu juga ada kuasa mengampunkan sesuatu kesalahan. Antara ketiga-tiga badan itu, keputusan Jawatankuasa Disiplin dan keputusan JK Kerja PAS Pusat tidak muktamad. Sebagaimana yang disebut pada Fasal 77, hanya keputusan Majlis Syura Ulama yang bersifat muktamad.
Disebabkan Fasal 15A tidak menyebutpun pihak mana yang boleh menentukan ahli-ahli badan perundangan itu telah melakukan kesalahan, sedangkan keputusan pihak yang menentukan itu adalah muktamad, maka yang paling layak memutuskan keberhentian seseorang ahli badan perundangan adalah Majlis Syura Ulama, bukan JK Kerja PAS Pusat. Ia disebabkan keputusan keberhentian itu adalah muktamad, iaitu sifat keputusan yang hanya boleh dibuat oleh Majlis Syura Ulama.
Kelompongan yang kedua ialah apakah maksud pendirian dan tindakan ahli badan perundangan yang menyalahi dan merugikan kepentingan parti. Jelas kelihatan perkara ini terlalu umum, dan pihak manakah yang boleh menafsirkan tindakan seseorang ahli badan perundangan itu menyalahi dan merugikan kepentingan parti. JK Kerja PAS Pusat mungkin boleh memutuskan perkara itu jika hanya berkaitan dengan politik, tetapi urusan yang lebih besar bagi PAS bukan hanya politik tetapi Islam dan hukum-hukumnya.
Kerugian dari segi politik adalah perkara biasa yang dilalui oleh PAS, tetapi kepentingan yang berkaitan dengan Islam dan hukum-hukumnya adalah sesuatu yang lebih besar. Yang boleh menentukan seseorang ahli badan perundangan bertindak menyalahi dan merugikan parti dari segi politik dan termasuk juga menyalahi dan merugikan dari segi dasar Islam dan hukum-hukumnya hanyalah Majlis Syura Ulama. Oleh sebab itu, pihak yang paling tepat boleh menjatuhkan hukuman pada Fasal 15A adalah Majlis Syura Ulama.
Kesimpulan
Berdasarkan penjelasan di atas, tanggapan yang melihat Mursyidul Am hanya sebagai simbol kerohanian bagi PAS atau penasihat adalah sangat tersasar. Peranan dan tanggungjawab Mursyidul Am sebagaimana yang ada pada ketetapan syarak dan juga di dalam Perlembagaan PAS adalah besar yang melayakkan posisi itu diiktiraf sebagai amir atau ketua. Sebagai seorang amir atau ketua, beliau boleh membuat keputusan di dalam Majlis Syura Ulama secara syura yang bersifat mu'limah atau mulzimah. Wallahu'alam.

0 comments:
Catat Ulasan