Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, terus melancarkan serangan terbuka terhadap Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, dengan mempersoalkan keberkesanan dan kesungguhannya dalam menerajui Perikatan Nasional (PN).
Bekas anggota Bersatu yang dipecat itu membangkitkan persoalan kritikal mengenai kegagalan Muhyiddin untuk memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN di sebalik dakwaan penyokongnya bahawa dia masih pengerusi gabungan tersebut.
“Saya ada soalan yang mudah. Kalau Muhyiddin masih pengerusi PN, sebab apa dia tak segera panggil mesyuarat MT PN untuk bincangkan siapa pengganti selepas dia letak jawatan?
“Bukankah pengerusi PN yang bertanggungjawab akan segera menyelesaikan isu yang penting ini?” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.
Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu mengulas kenyataan ketua penerangan part itu, Tun Faisal Ismail Aziz yang mendakwa Muhyiddin masih pengerusi PN berdasarkan perlembagaan gabungan itu.
Menurut Wan Saiful, kenyataan Tun Faisal itu hanya mencetuskan pelbagai tanda tanya dan juga jelas menunjukkan Muhyiddin tidak berminat untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengerusi PN lagi.
“Kalau nak kata Muhyiddin tak ada masa, ramai yang tahu dia ada masa pula untuk buat macam-macam perjumpaan lain. Malahan, tiba-tiba sekarang ini rajin pula dia (Muhyiddin) panggil nak jumpa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu.
“Ada orang beritahu, Februari nanti dia panggil mereka berjumpa. Nak melobi pengaruh ke tu? Sepatutnya, kalau nak bawa hujah bahawa Muhyiddin masih kekal pengerusi PN, suruhlah Muhyiddin buat kerja dulu,” katanya lagi.
Ketidaktentuan kepimpinan ini menurut Wan Saiful, telah menyebabkan presiden parti-parti komponen lain dalam PN terpaksa mengambil tindakan drastik dengan menghantar surat secara rasmi bagi menuntut satu mesyuarat MT PN luar biasa diadakan.
Semalam, Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan, memaklumkan bahawa mesyuarat MT akan berlangsung pada Khamis, jam 8.30 malam di ibu pejabat Parti Gerakan di Cheras.
Selain mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin dan melantik penggantinya, agenda mesyuarat itu adalah untuk memilih pengerusi mesyuarat daripada kalangan timbalan pengerusi PN, sebagaimana diperuntukkan di bawah Fasal 8.3(II)(b) perlembagaan gabungan berkenaan.
Menutup kenyataannya, Wan Saiful melabelkan apa yang belaku dalam PN ini sebagai bukti kepimpinan yang gagal atau "failed leader".
"Sekiranya sudah tidak berdaya buat kerja, jangan susahkan orang lain yang nak bekerja. Itu namanya 'failed leader'," tegasnya.

0 comments:
Catat Ulasan