Untungnya KJ duduk ‘di luar pagar’


Oleh Razak Rashid Ghows

Semua orang secara umumnya kenal pada perwatakan ini. Beliau muncul pada era Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi, menjadi menantu perdana menteri ,alaysia keempat itu sebelum menerajui jawatan Pemuda Umno Malaysia.

Hidupnya amat gemilang, bak kata pepatah Inggeris, A Colourful Life. Malah apabila beliau jatuh dari basikal pun boleh menjadi cerita. Beliau terjatuh ketika basikalnya terlanggar lubang. Oleh kerana Khairy yang jatuh dan cerita mengenainya menjadi gah, maka pihak berkuasa tempatan di tempat beliau terjatuh segera baiki jalan itu.

Naik turun kariernya dalam politik amat menarik dan beliau dianggap sebagai ‘performer’ atau orang yang keberhasilan dalam menjalankan tugasnya terutama apabila dilantik menteri kesihatan ketika dunia dilanda wabak Covid-19.

Atas sebab demikian sejak akhir-akhir ini nama beliau disebut-sebut lagi dalam media.

Tidak lama dahulu, apabila ada desas-desus mengenai rombakan Kabinet, ada spekulasi meramalkan Khairy mungkin dilantik menteri selepas berada di luar kerajaan buat satu tempoh yang lama.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri pun terkejut dengan spekulasi itu. Sebenarnya ketika spekulasi rombakan itu hangat diperkatakan, bekas Ahli Parlimen DAP Ong Kian Ming membuat kenyataan Khairy dijangka menjadi PM satu hari nanti dan beliau bersedia berkhidmat di bawah pentadbiran Khairy.

Kemudian baru-baru ini apabila timbul cerita mengenai pilihan raya Datuk Bandar KL, nama beliau dikaitkan sekali lagi sebagai antara tokoh yang layak diketengahkan supaya beliau berada pada arus perdana yang membolehkannya menjadi PM.

Dari segi logik tiada kaitan antara jawatan Datuk Bandar KL dengan jawatan perdana menteri.

Apa yang mungkin boleh mengaitkan beliau dengan jawatan itu ialah kemenangan Datuk Bandar KL, jika diadakan pilihan raya, boleh menjadi pendorong untuk menaikkan semula namanya di arena politik.

Khairy sendiri mungkin tergelak dengan cadangan itu. Sebagai orang yang berpengalaman dalam politik, Khairy tahu di negara ini platform yang membolehkan beliau menjadi PM ialah parti politik.

Parti politik pula bukan calang-calang yang menjadi pilihannya. Bagi Khairy, sudah tentunya Umno menjadi pilihannya. Bukan Pas mahupun PKR.

Itu sebabnya beliau duduk terperam lama tanpa parti bagaikan haiwan yang duduk terperam di habitatnya sementara menanti berlalunya musim sejuk. Beliau ini tokoh politik yang tidak menjadi ahli mana-mana parti ibaratkan berada ‘di luar pagar’ (seperti program audio siarnya yang diberi nama ‘Keluar Sekejap’).

Selepas tewas kepada P Ramanan dari PKR pada PRU15 di Parlimen Sungai Buloh, Khairy mengambil keputusan untuk berehat daripada politik seketika berikutan pemecatannya daripada Umno.

Namun baginya tidak ada parti yang menjadi pilihannya selain Umno, walaupun terdapat pelawaan kepada beliau supaya menyertai parti lain.

Bagi membolehkan beliau terus membincang isu semasa di peringkat arus perdana dan dengan secara terang-terangan dan lantang, Khairy dan rakannya yang juga bekas anggota Pemuda Umno, Shahril Hamdan mempopularkan ‘Keluar Sekejap’.

Nama program audio siar itupun dengan sendirinya menyatakan beliau bukannya ingin terus meninggalkan Umno.

Kini ramai lagi tokoh politik, korporat dan bekas wartawan turut mempunyai audio siar mereka tersendiri, termasuk bekas menteri Rafizi Ramli menerusi ‘Yang Berhenti Menteri’.

Sifat pembaca kini yang berubah daripada media cetak kepada media digital menggalakkan lagi percambahan platform itu.

Kecenderungan beliau kepada Umno boleh dilihat baru-baru ini apabila beliau ‘pulang’ semula dan muncul pada Perhimpunan Agung parti itu sebagai pemerhati.

Justeru jika benarlah hakikat ini bahawa Khairy memang berjiwa Umno dan boleh hanya diangkat sebagai PM menerusi partinya, mengapakah nama beliau sering disebut-sebut apabila ada perkembangan tertentu?

Rupa-rupanya ramai yang mahukan beliau kembali tanpa mengambil kira apa jawatannya! Tidak hairanlah setiap bila timbul spekulasi kabinet, nama beiau disebut-sebut sebagai antara calon.

Share on Google Plus

About Editor Bebas

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan