Bajet Pakatan Harapan Mengangkat Agenda Wanita


Bajet yang bertemakan ‘Belanja Berhemah, Potong Cukai, Pilih HARAPAN’ dilihat muncul tepat pada masanya di kala rakyat berdepan dengan masalah cukai yang menindas dan salah tadbir urus yang berleluasa oleh Kerajaan Barisan Nasional. Bajet Alternatif ini jelas memberi satu sinar baharu buat rakyat Malaysia

Dokumen Bajet Alternatif Pakatan Harapan jelas menunjukkan komitmen Pakatan Harapan dalam menyelesaikan isu rakyat yang gagal dibawa oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional terutamanya dalam topik gaji yang lebih baik dan juga pemberdayaan wanita. Antara intipati Bajet Alternatif Pakatan Harapan ialah memperkenalkan gaji minimum kepada RM 1,500, kadar gaji yang sama bagi pekerja wanita dan lelaki dan memperluaskan cuti bersalin serta cuti paternity.

GAJI DAN PEKERJAAN YANG LEBIH BAIK

Pakatan Harapan komited dalam meningkatkan paras gaji minimum kepada RM1,500 bagi menggantikan kadar gaji minimum semasa iaitu RM1,000. Pakatan Harapan akui perkara ini bakal membebankan para majikan namun dengan mekanisme yang disarankan menerusi dokumen bajet ini iaitu 50% dari peningkatan akan dibiayai oleh kerajaan Pakatan Harapan selama tempoh 3 tahun.

Pakatan Harapan juga mengiktiraf kenyataan MTUC yang meminta gaji minimum pada RM1,800. Hal ini jelas menunjukkan Pakatan Harapan memahami rakyat dibayar dibawah tahap sebenar dan dibebankan dengan isu kos sara hidup yang meningkat dan juga pengenalan cukai GST.

PEMBERDAYAAN WANITA

Masalah pembayaran gaji yang tidak sama diantara pekerja wanita dan lelaki dianggap sebagai salah satu halangan dan faktor dalam jurang di antara pekerja lelaki dan wanita. Menurut statistik, purata gaji lelaki bernilai RM2,500 manakala gaji wanita RM2,398. Hal ini jelas menunjukkan jurang ketara antara pekerja lelaki dan wanita, perkara ini juga membawa kepada kurangnya peluang kepada pekerja wanita untuk memegang jawatan di peringkat pegawai kanan dan juga professional.

Bajet Alternatif Pakatan Harapan menawarkan untuk merangka undang-undang baru bagi memastikan pekerja wanita bakal mendapat gaji yang sama bagi lelaki untuk kerja yang sama. Wujudnya undang-undang baru ini bakal menjaga kebajikan pekerja wanita khususnya memberi penyelesaian kepada diskriminasi yang berlaku ketika ini.

Antara initipati yang paling besar dalam dokumen Bajet Alternatif ialah memperluaskan cuti bersalin dari 90 hari kepada 120 hari dengan gaji penuh dan boleh dilanjutkan 60 hari dibayar dengan gaji separuh dalam sektor kerajaan. Kerajaan Pakatan Harapan sedar bagi mewujudkan keseimbangan dalam hak ini, kami menyediakan insentif kepada sektor swasta untuk menerima piawaian ini dalam tempoh 5 tahun pelaksanaan. Pakatan Harapan juga memberi pilihan kepada pekerja wanita untuk menukar separuh cuti mereka kepada cuti paternity bagi suami bagi menjaga anak kecil. Pendekatan ini selaras dengan negara-negara membangun seperti Singapura yang memberikan 2 minggu cuti paternity dan juga sektor swasta iaitu CIMB yang memberi 30 hari. Inisiatif ini mampu memberi sokongan moral kepada para isteri yang baru melahirkan anak.

Secara umumnya, Bajet Alternatif kali ini mewujudkan satu langkah-langkah proaktif Pakatan Harapan dan bukan hanya sekadar belanjawan populis yang sering diuar-uarkan oleh pihak yang gagal dalam membawa penyelesaian kepada masalah rakyat. Pakatan Harapan sentiasa komited dalam usaha memberdayakan wanita dan gaji yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.

YB Dr Siti Mariah
Ahli Parlimen Shah Alam
Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara
Pakatan Harapan
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan