Anwar mungkin tak dapat bertahan jika kembali ke penjara

Oleh Amin Iskandar 

NAIB Presiden PKR Nurul Izzah menggesa rakyat mendesak pembebasan Anwar Ibrahim dengan kadar segera kerana bimbang bapanya tidak dapat sembuh daripada kecederaan sekiranya kembali ke penjara.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, tambahan pula Anwar diperakui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai seorang tahanan politik dan perlu dibebaskan segera.

“Dalam keadaan sebegini tolonglah kita ambil peluang desak beliau dibebaskan secepat mungkin.

“Tiada cara untuk beliau ‘survive’ di penjara dengan kesakitan seperti itu,” kata Nurul Izzah semasa program Majlis Bacaan Yasin Solat Hajat Khas Untuk Kesihatan Anwar Ibrahim di kediaman rasmi menteri besar Selangor di Shah Alam malam ini.

Anwar selamat menjalani pembedahan di bahagian bahu kanan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Sabtu.

Kini Anwar yang juga bekas timbalan perdana menteri berada di HKL untuk pemantauan doktor selepas menjalani pembedahan.

Anwar mula mengalami kecederaan itu selepas terlibat dalam kemalangan di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 2014.

Bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu menjalani pembedahan berikutan kecederaan di bahu kanan semakin teruk akibat kemalangan September lalu yang melibatkan kenderaan Jabatan Penjara.

Kenderaan pengiring itu dikatakan gagal berhenti sebelum merempuh kenderaan membawa Anwar yang berhenti untuk mengelak sebuah kenderaan yang datang dari arah bertentangan.

Anwar ketika itu sedang dibawa semula ke Penjara Sungai Buloh setelah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur selama empat hari berikutan tekanan darahnya yang tidak stabil serta kesakitan akibat kecederaan di bahunya.

Nurul Izzah berkata, kerajaan hanya bersetuju membenarkan Anwar dibedah selepas keputusan pemeriksaan imbasan magnetik resonan (MRI) keluar.

"Itupun selepas lapan bulan kami menunggu sebelum pihak berkuasa bersetuju melakukan pemeriksaan MRI.

“Walaupun tahu keadaannya begitu, beliau dilempar dalam lokap selama dua minggu atas lantai,” katanya sebak.

Nurul Izzah turut mengucapkan kasih kepada Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali kerana menganjurkan majlis bacaan Yasin dan sembahyang hajat untuk kesihatan Anwar.

“Segala dalam hidup mungkin berlaku yang penting kita mesti istiqamah.

“Saya amat bersyukur pada usianya 70 tahun saya masih dapat menemani ayah saya.
“Kita tak tahu bila orang yang kita kasihi akan dipanggil Allah,” katanya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan