Harum manis menjadi merah

Oleh Zin Mahmud

Adun PAS Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, menyertai Pakatan Harapan (PH) melalui PPBM. Beliau keluar PAS bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Apa yang menjadi tanda tanya ialah mengapa memilih PPBM, dan bukan Amanah.

Maka dalam sidang akhbar perisytiharan penyertaan beliau itu, tidak hairanlah soalan itu dikemukakan. Dijawabnya bahawa tidak semestinya seseorang yang keluar PAS itu menyertai Amanah. Kalaupun ada tanggapan bahawa bekas ahli PAS mesti menyertai Amanah, maka beliau adalah pengecualian.

Namun ketika berucap setelah perisytiharan masuk PPBM, Amiruddin lebih menekankan kepada keperluan pembangkang bersatu untuk menghadapi Barisan Nasional (BN). Beliau memetik kata-kata Pengerusi PH Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa parti kerajaan persekutuan itu bukanlah kuat sangat. Ia dapat sentiasa menang kerana pihak pembangkang tidak bersatu.

Untuk itu, Amiruddin percaya parti pembangkang perlu bersatu dan kali ini melalui PH. Beliau berkata, sebelum keputusannya menyertai PH, beliau berbincang dengan Pesuruhjaya PAS Kedah sama ada parti itu akan bersama dengan PH untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14.

Walaupun PAS tidak menyertai PH, sekurang-kurangnya bersama gabungan itu dalam bentuk PH Plus, iaitu PAS bekerjasama dengan PH, seperti mana kedudukan PPBM sebelum masuk PH.

Amiruddin juga menekankan keperluan kerjasama antara pelbagai kaum bagi pihak pembangkang. Maknanya perlu ada gabungan parti seperti PH yang boleh mewakili pelbagai kaum.

PPBM adalah parti yang dianggotai oleh Bumiputera, tanpa mengambil kira agama. Sementara parti lain dalam PH, DAP, PKR dan Amanah membuka keahlian kepada semua kaum dan agama.
Cumanya majoriti ahli DAP ialah dari kalangan kaum Cina. Sementara majoriti ahli PKR, PPBM dan Amanah adalah orang Melayu.

PAS pula dianggotai oleh orang Islam, tanpa mengira kaum. Tetapi tentulah majoriti ahlinya adalah orang Melayu. Jika seseorang hendak memilih pihak yang pelbagai kaum dan agama, maka mereka tentu memihak kepada PH.

Setelah didapati tiada kemungkinan PAS bekerjasama dengan PH, maka Amiruddin mengambil keputusan untuk keluar parti itu. Maka untuk memilih parti, beliau ada 4 pilihan. Tetapi jika hendak memilih parti bermajoritikan Melayu, maka beliau boleh memilih PKR, Amanah atau PPBM.

Dari segi fahaman politik, DAP dan PKR mempunyai persamaan kerana kedua-duanya adalah dalam jalur tengah kiri, iaitu demokrasi liberal dengan memiliki nilai demokrasi sosial. Fahaman rasmi DAP ialah sosialisme demokrasi sementara PKR adalah asalnya merupakan gabungan Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang berfahaman sosialisme.

Namun sebagai parti yang asalnya ditubuhkan oleh bekas ahli Umno, PKR adalah serupa dengan PPBM. Cuma PKR adalah asalnya parti menentang Dr Mahathir, yang kini bukan saja menjadi pengerusi PPBM tetapi juga Pengerusi PH.

Anwarisme

Tetapi dari segi asal usul idealisme perjuangan, oleh kerana PKR dihidupkan atas dokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka ia berkisar pada pemikiran beliau, atau boleh disebut sebagai Anwarisme.

Tetapi Anwarisme inilah, sejak kegiatan beliau dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada 1970-an, mewarnai satu generasi anak muda. Antara mereka kemudiannya menyertai Umno bersama beliau sementara sebahagian besar yang lain pula memilih untuk masuk PAS, bersama bekas timbalan kepada Anwar semasa dalam Abim, Datuk Fadzil Noor.

Anwar kemudian berganding dengan Dr Mahathir dalam Umno yang selepas diisytihar haram menjadi Umno Baru.

Gandingan Mahathir-Anwar merupakan barisan kuat bagi menentang PAS pimpinan Fadzil pada sepanjang 1980-an. Tetapi apabila Mahathir dan Anwar bertembung, Fadzil dan PAS berperanan membela bekas timbalan presiden Umno dan gerakan Reformasi hingga melahirkan Keadilan yang kemudian menjadi PKR, dan juga Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Antara sebab berlakunya krisis dalaman PAS ialah pengganti Fadzil iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak mahu lagi bekerjasama dengan DAP dan menolak pujukan Anwar dan PKR hingga membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, PAS bermesra dengan Umno.

Maka golongan yang menolak sikap Hadi itu beranggapan diri mereka berpegang pada dasar Fadzil dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dengan ketiadaannya membawa kepada perubahan dasar PAS.

Golongan ini bukan saja dipanggil sebagai profesional, progresif, “Erdogan”, tetapi juga Anwariyun atau Anwarista. Mereka inilah yang membentuk Amanah dan membawa kepada penubuhan PH.

Maka Amanah tentulah berfahaman politik Islam, iaitu serupa dengan PAS. Bezanya Amanah dilihat berfahaman progresif serta inklusif dan PAS adalah konservatif serta eksklusif.

Apabila PAS enggan bekerjasama hingga membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat, sebahagian ahlinya keluar dan Amanah dan menggerakkan usaha menubuhkan PH bagi menggantikan Pakatan Rakyat.

Mahathirisme

Sebagai parti yang dianggotai bekas ahli UMNO, PPBM mempunyai fahaman serupa dengan parti pemerintah. Iaitu nasionalis Melayu pragmatik berasaskan pemikiran Dr Mahathir atau boleh disebut sebagai Mahathirisme.

Perbezaan antara Umno dan PPBM terletak pada kaitan mereka dengan Datuk Seri Najib Razak. Umno diketuai Najib sementara PPBM menentang perdana menteri itu dengan isu terbesarnya adalah berkaitan 1MDB.

Sementara Amiruddin pula adalah sebahagian daripada generasi muda yang cenderung pada gerakan Islam pada tahun 1980-an. Tetapi beliau bukannya dari kalangan Abim. Beliau adalah dipercayai dari golongan apa yang dipanggil sebagai Islamic Representative Council atau IRC seperti mana banyak golongan profesional muda Melayu terutama jurutera yang cenderung pada Islam.

Sebahagian daripada aktivis IRC ini menubuhkan persatuan Jemaah Islah Malaysia (JIM) yang mana dilaporkan Amiruddin adalah anggotanya.

Sebahagian daripada ahli JIM turut menyertai PAS. Fadzil memberi ruang pada semua aliran gerakan Islam termasuk IRC atau JIM untuk menyertai PAS. Malah apabila Fadzil meninggal dunia, Amiruddin dipilih oleh parti untuk menggantikan Fadzil bagi kawasan DUN Anak Bukit yang merupakan kubu PAS.

JIM kemudian dibubarkan dengan sebahagian ahlinya mewujudkan Pertubuhan Ikram Malaysia. Apabila Amanah ditubuhkan adalah diperhatikan bahawa umumnya kalangan Ikram menyertai atau turut memberi sumbangan pada usaha menggerakkan Amanah.

Harum manis

Amiruddin yang dilihat sebagai golongan profesional dan progresif tidak pula terus menyertai Amanah. Namun beliau adalah antara pemimpin PAS negeri yang disebut sebagai harum manis.

Istilah harum manis digunakan untuk mereka yang masih merupakan ahli PAS tetapi jiwanya adalah pada Amanah. Buah mangga harum manis berkulit hijau tetapi isi oren. Hijau adalah warna PAS dan oren adalah Amanah.

Adalah dilaporkan juga bahawa Amiruddin turut hadir dalam program-program Amanah termasuk Konvensyen Nasional parti itu yang diadakan di Alor Setar tidak lama dahulu.

Tetapi mengapakah Amiruddin menyertai PPBM dan bukannya Amanah?

Apa yang dikatakan harum manis telah menjadi merah. Jawapan beliau dalam sidang akhbar itu hanyalah menyebut bekas PAS tidak semestinya masuk Amanah. Memang benar katanya tetapi ia bukan jawapan.

Adalah dipercayai langkah Amiruddin itu bukannya ideologikal tetapi taktikal. Sebelum sidang akhbar itu, mesyuarat PPBM adalah mengenai pembahagian kawasan antara parti-parti PH di Kedah.

Dalam sidang akhbar itu, Timbalan Presiden PPBM yang juga Naib Presiden PH, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan bahawa pembahagian kerusi di kalangan PH sudah diputuskan walaupun ia tidak boleh diumumkan lagi.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan