Pemakaian tudung tidak membataskan gerak kerja
SHAH ALAM - Kesejahteraan dan keharmonian beragama di Malaysia sekali lagi digugat dengan polisi diskriminasi agama, kali ini melibatkan hotel antarabangsa.
Pengarah Ameerah Malaysia, Husna Hashim berkata, larangan pekerja yang bekerja di bahagian hadapan kaunter hotel tidak dibenarkan memakai tudung merupakan satu polisi ketinggalan zaman serta menindas hak wanita yang mahu mengamalkan agamanya.
Katanya, amalan bertudung bukan lagi satu praktis yang janggal kerana sudah diamalkan di seluruh dunia sama ada negara-negara majoriti muslim atau sebaliknya.
"Ia dipakai di pertandingan sukan antarabangsa, dipakai oleh pemimpin-pemimpin utama negara serata dunia , bahkan oleh artis-artis popular di Malaysia sendiri mahupun luar negara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.Baru-baru ini Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mempertahankan tindakan operator hotel yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline).
Isu ini tercetus apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) mendedahkan kakitangan hotel mengadu pekerja wanita Islam diarahkan menanggalkan tudung mereka.
Katanya lagi, pemakaian tudung jelas tidak langsung membataskan gerak kerja mahupun menjadi halangan dalam apa jua aktiviti pekerjaan sebagaimana dibuktikan oleh wanita -wanita Malaysia yang berkerja di seantero negara.
Justeru katanya, menjadikan pemakaian tudung sebagai satu larangan dalam polisi pekerjaan adalah tidak relevan dan munasabah.
Katanya lagi, kebebasan mengamalkan agama dijamin Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
"Apa-apa sahaja peraturan mahupun polisi yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan seharusnya terbatal," katanya.
Oleh itu katanya, kerajaan digesa membuat pemantauan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas ke atas hotel-hotel yang masih lagi mengenakan polisi diskriminasi agama seperti ini.
"Kegagalan bertindak tegas di pihak Kerajaan hanya mencetuskan kebimbangan berterusan di kalangan rakyat bahawa hak kebebasan beragama mereka tidak terbela," katanya.
0 comments:
Catat Ulasan