Mahathir, Siti Hasmah pulangkan pingat kebesaran Selangor

Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali memulangkan dua pingat yang diterimanya daripada sultan Selangor, termasuk satu daripadanya yang tertinggi di negeri itu.

Hal itu disahkan seorang pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kepada Malaysiakini hari ini.

"Betul," kata Pengerusi Biro Strategi dan Dasar BERSATU Datuk Rais Hussin mengesahkan tindakan Dr Mahathir itu.

Seorang pembantu Dr Mahathir pula mengesahkan Dr Siti Hasmah melakukan tindakan sama.
"Beliau menyerahkan semula pingat berkenaan pada hari yang sama," katanya.

Menurut Rais keputusan memulangkan pingat kebesaran negeri itu dibuat Dr Mahathir atas pertimbangannya sendiri.

Rais bagaimanapun enggan memberi penjelasan muktamad mengenai alasan pemulangan pingat berkenaan. Sebaliknya beliau memilih untuk berkias.

"Sudah gaharu cendana pula...," katanya memetik sebahagian daripada peribahasa Melayu yang menyatakan mengenai sesuatu hal yang jelas nyata.

Difahamkan dua pingat yang dikembalikan pengerusi BERSATU itu masing-masing diterima daripada sultan Selangor pada 1978 dan 2003.

Ia diserahkan kepada seorang pegawai kanan di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada Khamis lalu.

Anugerah tertinggi negeri

Pingat yang dikembalikan Dr Siti Hasmah itu ialah anugerah yang diterimanya daripada sultan Selangor pada 1983 dan1994.

Ia membabitkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor.

Malaysiakini sudah menghubungi Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.
Pada awal Nov lalu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan semua pihak supaya tidak mempersendakan isu bangsa dan keturunan sebagai modal politik.

Merujuk kepada ucapan Dr Mahathir ada himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi di Petaling Jaya pada 14 Oktober lalu, baginda bertitah tindakan itu boleh mengugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

Sultan Sharafuddin juga menyatakan rasa kecewa dan murkanya atas ucapan Dr Mahathir itu yang dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

Dr Mahathir menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama pada 22 Jun 1978 dan ia hanya dianugerahkan kepada dua individu pada sesuatu masa.

Beliau juga menerima Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) sebulan sebelum bersara sebagai perdana menteri pada Okt 2003.

Dr Mahathir menerima penghargaan itu pada majlis Jasamu Dikenang di Istana Alam Shah di Kelang.

Penganugerahan pingat itu dihadkan hanya kepada 25 orang pada sesuatu masa sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap sumbangan individu yang terpilih.

Sultan Sharafuddin turut memberi pandangan mengenai Dr Mahathir dalam temu bual baginda dengan akhbar The Star beberapa hari lalu.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan