Hari mengundi 25 Mac ini?

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh setahun dua sebelum tempoh parlimen matang, atau ertikatanya mencapai tempoh maksimum lima tahun, pasti akan timbul telahan atau jangkaan pihak-pihak tertentu mengenai bila Perdana Menteri akan membuarkan parlimen.

Kali ini, tular lagi tarikh baharu, sehingga menimbulkan persepsi di kalangan masyarakat serta pihak berkepentingan bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan pada 25 Mac 2018, iaitu hari terakhir cuti sekolah penggal pertama.

Mesej itu berbunyi “Pembubaran Parlimen - 11 Feb, Hari Penamaan Calon – 11 Mac, Hari Mengundi – 25 Mac. Sebarkan!”.

Namun, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, pihaknya sendiri tidak mengetahui bilakah tarikh yang sebenar kerana ia merupakan prerogatif Perdana Menteri untuk mencadangkan tarikah pembubaran parlimen.

“Semua pihak boleh membuat ramalan dan andaian mengenai tarikh pembubaran Parlimen dan jangkaan berlakunya pilihan raya. Namun SPR juga tidak mengetahui bila tarikh Parlimen akan dibubarkan kerana ia merupakan kuasa prerogatif Perdana Menteri untuk mencadangkan tarikh pembubaran parlimen dan pembubaran hanya boleh dibuat dengan perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“SPR akan berperanan dalam mengurus dan menentukan tarikh-tarikh penting berkaitan pilihan raya apabila Parlimen dibubarkan,” katanya ketika dihubungi Astro Awani hari ini.

Turut tular, ialah tarikh Sidang Khas Parlimen iaitu 26 dan 27 Januari, kononnya sebagai laluan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkan tarikh pembubaran parlimen.

Bagaimanapun, sumber dari pihak kerajaan memberitahu, perkara itu tidak dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu lepas, ekoran ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sewaktu itu berada di Arab Saudi.

“Dalam mesyuarat kabinet sebelumnya, memang ada dibincangkan tarikh untuk memanggil sidang khas parlimen, namun perkara itu akan dibawa ke mesyuarat seterusnya (10 Jan lepas). Tetapi pada mesyuarat itu, perkara ini langsung tidak dibincangkan ekoran ketiadaan Perdana Menteri.

“Bagaimanapun kebiasaannya, selepas perkara itu dibincangkan dalam kabinet, Perdana Menteri akan menghadap Yang Dipertuan Agong sebagai amalan biasa, sebelum memaklumkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memanggil kesemua ahli pada tarikh-tarikh yang dipersetujui,” jelasnya lagi.

Menurut Peraturan Mesyuarat 11(3) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, sewaktu Majlis dalam tangguhan, Perdana Menteri perlu memaklumkan kepada Speaker untuk mengadakan tarikh mesyuarat dahulu sekiranya ia membawa mustahak dan membawa faedah kepada orang ramai.

Speaker kemudiannya dengan serta-merta akan mengeluarkan notis pemberitahuan tarikh sebenar sidang khas itu diadakan dan segala urusan mesyuarat harus ditetapkan Perdana Menteri sendiri.

Untuk rekod, tarikh matang Parlimen ialah 24 Jun 2018, dan PRU14 boleh berlangsung dalam tempoh 60 hari kemudian iaitu Ogos 2018.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan