BN ‘panas’ kerajaan negeri Selangor berjaya selesaikan isu peneroka Ijok

Oleh Arif Atan

Pengerusi AMANAH Selangor, Ir Izham Hashim menyifatkan Umno-BN sebenarnya ‘panas’ dengan kerajaan negeri apabila berjaya menyelesaikan masalah peneroka di Mukim Ijok yang berlarutan selama 18 tahun.

Menurutnya, BN sengaja mengheret isu peneroka di Ijok menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ketika langkah penyelesaian kerajaan negeri di bawah pentadbiran Datuk Seri Azmin Ali memberi faedah kepada peneroka terlibat.
“Umno-BN sebenarnya yang ‘panas’ bukan kerajaan negeri Selangor. Perkara ini sudah selesai dan peneroka sudah dapat hak mereka. Yang panasnya BN sebab dia punca sebenarnya segala masalah ini.

“Merekalah punca sebenar masalah ini berlarutan begitu lama. Syarikat kroni Umno-BN gagal melaksanakan amanah dalam membangunkan tanah peneroka seperti yang telah dijanjikan,” ujarnya


Sehubungan itu, Izham berpendapat Umno-BN berada dalam situasi tertekan kerana langkah penyelesaian isu di Ijok yang melibatkan ramai peneroka memberi lonjakan besar kepada imej positif Pakatan Harapan.
“Mereka (Umno-BN) cuba mahu kelentong bahawa kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan beri tanah pada syarikat lain. Walhal, syarikat itu bukan kroni mana-mana pihak.

“Datuk Seri Azmin pun tiada kepentingan dalam syarikat itu seperti yang dituduh.

“Syarikat itu memang betul-betul pemaju yang profesional dan mampu melaksanakan projek yang asalnya mereka (Umno-BN) gagal.

“Pakej yang dibawa oleh syarikat itu membetulkan keadaan dan dalam masa sama, rakyat dan kerajaan negeri masing-masing dapat bahagian,” ujarnya.

Beliau berkata, langkah penyelesaian kerajaan negeri di bawah pentadbiran Azmin membolehkan peneroka terbabit memperoleh rumah dan pampasan yang tidak mereka peroleh ketika BN menguasai Selangor sebelum ini.

“Daripada hilang semua (tanah), syarikat itu masuk dan pakejkan balik dengan bank. Hasilnya, hutang dengan bank selesai. Tanah penduduk tidak sangkut lagi dengan bank. Semua pihak dalam situasi menang-menang.

“Pada peringkat awal dulu, tanah peneroka terbabit dirampas sebab kerajaan negeri tidak dapat bayar tuntutan yang tinggi mencecah ratusan juta ringgit,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Izham berkata, kerajaan negeri Pakatan Harapan mewarisi kegagalan pentadbiran BN yang lebih mengutamakan kepentingan syarikat kroni mereka berbanding hak rakyat.

“Isu tanah di Ijok ini dulu masa zaman BN, peneroka ada perjanjian dengan syarikat-syarikat kroni Umno-BN. Jadi, ada janji tertentu, tanah ini kononnya akan dimajukan manakala peneroka dijanjikan dapat duit dan rumah.

“Tapi projek itu gagal bukan sahaja di Ijok bahkan banyak lagi projek berdepan masalah sama antaranya seperti di Sungai Buaya.

“Kes tanah yang sudah dicagar kepada bank ini, kerajaan negeri terpaksa warisi daripada BN memegang kuasa dulu,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan BN kononnya kerajaan negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Harapan bersikap lepas tangan dalam isu pampasan peneroka Ijok.

“Projek dilakukan selepas dapat persetujuan penduduk. Bukannya kerajaan negeri buat dulu, baru tawarkan pada penduduk. Mereka daripada awal sudah ditawarkan. Penduduk setuju baru boleh jalan projek ini.

“Lantaran dapat persetujuan semua pihak berkaitan iaitu bank dan penduduk, baru boleh jalan projek ini. Sudah lebih dua tahun pun.

“Sebahagian besar peneroka berpuas hati daripada hilang semua tapi sekarang mereka dapat juga bahagiannya masing-masing,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, masalah melibatkan 987 peneroka di Ijok berlarutan sejak pentadbiran BN apabila mereka menyerahkan hak milik tanah kepada syarikat kroni Umno-BN pada 2000 tetapi pampasan tidak dijelaskan.

Pada 2004, peneroka terbabit dijanjikan pampasan dan rumah bernilai RM180,000 tetapi tidak ditunaikan sebaliknya kroni Umno-BN mengggadai tanah itu kepada bank.

Bekas Menteri Besar, Tab Sri Abdul Khalid Ibrahim cuba untuk merampas tanah daripada kroni Umno-BN pada 2010 dan dibenarkan oleh pihak mahkamah.

Namun, kerajaan negeri perlu membayar pampasan ratusan juta ringgit pada bank. Akibatnya, 30 kes mahkamah difailkan antara kerajaan negeri, bank dan syarikat.

Ketika peneroka bimbang bank akan melelong tanah mereka, kroni Umno-BN meninggalkan syarikat tersebut dan diambil alih pengurusan baru.

Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Azmin kemudiannya berjaya menyelesaikan isu tersebut yang menyaksikan syarikat swasta membayar pampasan kepada setiap peneroka terbabit berjumlah RM180,000 dan rumah bernilai sekurang-kurangnya RM400,000.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan