Persempadanan semula bukan penentu kemenangan di Kedah

Oleh Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Persempadanan semula kawasan pilihan raya di Kedah tidak semestinya memihak kepada kemenangan Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14, kerana ia bukanlah penentu utama kemenangan.

Pengerusi Harapan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, setiap aspek perlu dilihat secara terperinci, terutama kepada lokaliti dan kawasan pengundi.

“Jika ada yang dakwa persempadanan itu beri manfaat kepada pembangkang di Kedah, tak juga! Kita perlu lihat terperinci setiap kawasan satu persatu, ini kerana terdapat kawasan lokalitinya berubah selain pengundi dipindahkan ke lokaliti lain tanpa pengetahuan,” katanya.

Menurutnya, agak meragukan apabila sesuatu lokaliti itu diubah terlalu jauh daripada kedudukan asalnya sebelum ini.

“Kita faham dan agak rasional jika kedudukan dua lokaliti yang diubah itu berdekatan, namun semakan mendapati terdapat pengundi diubah ke kawasan terlalu jauh. Kami akan kemukakan isu ini termasuk bukti kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah supaya lakukan siasatan,” katanya.

Mukhriz berkata, walaupun tidak melibatkan banyak kawasan namun ia sesuatu yang serius.

“Paling ketara apabila satu kawasan mengundi itu majoritinya adalah Melayu, kemudian ditambah lagi pengundi Melayu di situ. Ada pula kawasan di mana peratusan pengundi Cina majoriti, tetapi pengundi Cina ditambah lagi, bagi wujudkan pola kaum,” katanya.

Tambahnya, ia merupakan pendekatan tidak sihat, seolah sesuatu kawasan mengundi itu bergantung kepada sesuatu kaum.

Mukhriz turut mendedahkan antara kawasan terlibat antaranya Merbok, Kuala Kedah, Alor Setar dan Pokok Sena, terutama kawasan bercampur.

“Persempadanan peringkat Parlimen tak berubah, cuma sebahagian Dun terlibat termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM). Sepatutnya sesiapa yang juga penduduk di kawasan itu mengundi di situ, bukan dipindahkan jauh,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut bimbang sekiranya terdapat pengundi yang tidak menyedari nama mereka dipindahkan ke PDM baharu.

“Kita mahu elak berlakunya undi rosak atau pengundi tidak tunai tanggung jawab atas kekeliruan ini. Sebab itu kita kenal pasti awal supaya dapat atasi masalah seumpama ini,” katanya.

Mukhriz berkata, aduan rasmi akan dikemukakan kepada SPR Kedah dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara dibangkitkan.

Terdahulu, Majlis Pengerusi Harapan Kedah diketuai Mukhriz mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Pengarah SPR Kedah, Zuhri Ismail.

Antara tujuan lawatan termasuk mendapatkan penjelasan berhubung undi pos, senarai pengundi meragukan serta lokaliti mengundi.

“SPR turut mencadangkan supaya diadakan taklimat bersama jentera pilihan raya Harapan untuk kelancaran perjalanan hari mengundi,” katanya.

Mukhriz berkata, semua pihak tiada pilihan selain akur pada ketetapan kerajaan kelak untuk mengguna pakai senarai persempadanan yang diluluskan Parlimen, yang akan bersidang 5 Mac depan.














Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan