18 kerusi Parlimen di Selangor berubah selepas persempadanan

PETALING JAYA: 18 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor akan berubah, kesan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disyorkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Daripada jumlah itu, hanya 2 kerusi Barisan Nasional manakala selebihnya 9 kerusi PKR, 4 kerusi DAP, 2 kerusi Amanah dan 1 kerusi PAS.

Parlimen terkesan hampir kesemuanya dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu. Dua kerusi BN ialah Tanjong Karang dan Kuala Selangor.

Kerusi PKR yang akan menerima kesan ialah Selayang, Gombak, Ampang, Pandan, Subang, Kelana Jaya, Kapar, Kuala Langat dan Petaling Jaya Selatan.

Kerusi DAP pula ialah Petaling Jaya Utara, Puchong, Klang dan Serdang, dan Hulu Langat yang diwakili PAS. Dua kerusi yang pernah dimenangi PAS dan kini disandang Amanah, Shah Alam dan Kota Raja, turut mengalami perubahan.

Di Parlimen Tanjong Karang, DUN Permatang bakal menerima 1,245 pengundi dari DUN Sungai Burong dan 81 pengundi dari DUN Bukit Melawati (Parlimen Kuala Selangor).

Para PRU13, BN memenangi Permatang dengan majoriti 1,026 undi, Sungai Burong 3,013 undi dan Bukit Melawati 806 undi. Tanjong Karang merupakan kerusi Pengerusi BN Selangor Tan Sri Noh Omar.

Di Parlimen Subang, DUN Paya Jaras bakal menerima 3,117 pengundi dari DUN Jeram (Parlimen Kuala Selangor).

Pada PRU13, PAS memenangi Paya Jaras dengan majoriti 5,522 undi dan BN memenangi Jeram dengan majoriti 2,834 undi.

Di Parlimen Ampang, DUN Bukit Antarabangsa bakal menerima 4,901 pengundi dari DUN Hulu Kelang (Parlimen Gombak). DUN itu juga akan menerima 3,768 pengundi lagi dari DUN Chempaka (Parlimen Pandan).

Pada PRU13, PKR memenangi Bukit Antarabangsa dengan majoriti 4,044 undi dan Amanah (ketika itu PAS) memenangi Hulu Kelang dengan majoriti 2,881 undi.

Di Gombak yang disandang Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, kawasan itu bakal menerima 5,288 pengundi dari 2 daerah mengundi di DUN Bukit Antarabangsa, yang turut disandang Azmin.

Di Parlimen Pandan, DUN Teratai bakal menerima 4,299 pengundi dari DUN Lembah Jaya (Parlimen Ampang) dan 5,573 pengundi dari DUN Chempaka.

Pada PRU13, DAP memenangi Teratai dengan majoriti 13,646 undi dan PAS memenangi Lembah Jaya dan Chempaka dengan majoriti 8,713 dan 9,608 undi.

Di Parlimen Hulu Langat, DUN Kajang bakal menerima 16,672 pengundi dari 7 daerah mengundi di DUN Bangi (Parlimen Serdang).

Pada PRU13, PKR memenangi Kajang dengan majoriti 5,379 undi manakala PAS memenangi Bangi dengan majoriti 11,838 undi. Kajang merupakan kerusi negeri yang disandang Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Di Parlimen Serdang, DUN Dusun Tua bakal menerima 3,704 pengundi dari DUN Kajang.
Pada PRU13, PAS memenangi Dusun Tua dengan majoriti 4,071 undi.

Di Puchong, DUN Kinrara bakal menerima 2 daerah mengundi dari DUN Seri Serdang.
Pada PRU13, DAP memenangi Kinrara dengan majoriti 14,604 undi dan PAS memenangi Seri Serdang dengan 16,251 undi.

Di Parlimen Kuala Langat, DUN Teluk Datuk bakal menerima 2 daerah mengundi dari DUN Morib dan 2 daerah mengundi dari DUN Sijangkang.

Pada PRU13, DAP memenangi Teluk Datuk dengan majoriti 5,391 undi dan Amanah (ketika itu PAS) memenangi DUN Morib dengan majoriti 766 undi dan PAS memenangi DUN Sijangkang dengan majoriti 2,942 undi.

Selain keluar-masuk pengundi dan daerah mengundi, SPR turut mengesyorkan perubahan nama bagi 5 kawasan Parlimen dan 9 DUN.

Parlimen terkesan adalah Serdang yang dinamakan kepada Bangi, Kelana Jaya (nama ditukar kepada Subang), Petaling Jaya Selatan (Petaling Jaya), Petaling Jaya Utara (Damansara) dan Subang (Sungai Buloh).

Manakala DUN Batu Caves kini dinamakan Sungai Tua, Chempaka (nama ditukar kepada Pandan Indah), Bangi (Sungai Ramal), Damansara Utama (Bandar Utama), Sungai Pinang (Bandar Baru Klang), Kota Alam Shah (Sentosa), Seri Andalas (Sungai Kandis), Sri Muda (Kota Kemuning) dan Teluk Datuk (Banting).
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan