Tun M beri amaran: PRU14 paling kotor

TUN Dr Mahathir Mohamad dengan nada yang keras berkata Pilihan Raya Umum ke - 14 (PRU 14) akan datang bakal menjadi pilihan raya yang terkotor dalam sejarah negara dan di mata dunia.

Ini berikutan kegagalan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mendaftarkan Pakatan Harapan (PH) sedangkan dalam masa yang sama membenarkan Umno walaupun gagal mengadakan pemilihannya.

Beliau berkata RoS adalah usaha terakhir kerajaan Umno-BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menghalang kemaraan PH yang dianggotai PKR, AMANAH, DAP dan Bersatu itu untuk menang besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

“Kita sendiri dapat maklumat RoS tidak akan meluluskan penubuhan Pakatan Harapan.
“Ini adalah cara-caranya dia nak menang selain mengubah senarai pengundi dan persempadanan kawasan pilihan raya.

“Selain untuk menangkap calon-calon berpotensi Pakatan Harapan untuk tidak bertanding dan terakhir tidak mendaftarkan Pakatan Harapan dan mengambil tindakan untuk membatalkan kelulusan PPBM.

“Dengan cara ini Najib harap dia boleh menang. Ini menunjukkan penipuan yang sedang dan akan berlaku.

“Pilihan raya diadakan kali ini tidak bersih sama sekali. Ia akan jadi pilihan raya yang terkotor dalam sejarah Malaysia dan mungkin juga dalam sejarah dunia,” ujarnya dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat mingguan Majlis Presiden PH yang diadakan di pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Parlimen 13 Mac lalu.

Namun Pengerusi Bersatu ini juga berkata, segala rintangan itu bukan menjadi halangan kepada PH untuk meneruskan perjuangan bagi memastikan Umno-BN tumbang pada PRU ke-14 ini.
“Kami akan teruskan persiapan untuk menghadapi PRU ini dan kami ada rancangan untuk menidakkan segala tindakan Umno-BN.

“Kami menerima banyak ide bagaimana kita boleh melawan penipuan Datuk Seri Najib.
“Ini kerana beliau takut dikalahkan kerana takut masuk penjara, Ini perkara amat penting sekali.

Beliau boleh masukkan (penjara) orang lain, tetapi beliau sendiri tak sanggup nak masuk ke situ,” katanya.

Beliau turut berkata, sama ada RoS meluluskan ataupun tidak PH akan terus kekal bersama dalam menghadapi pilihan raya dan ketika berada dalam Parlimen selepas pilihan raya.

“Jika ada usaha untuk memecahkan kami tetapi dalam parlimen kami akan bertindak bersama.

“Jika didapati ada percubaan melantik perdana menteri yang tidak layak kami akan adakan undi tidak percaya serta merta.

“Kami percaya empat parti akan memberikan undi majoriti untuk lantikan perdana menteri kelak,” ujarnya.

Bahkan Dr Mahathir mendakwa seluruh rakyat Malaysia menyokong usaha PH untuk menukar kerajaan Umno-BN.

Tun Mahathir juga mendakwa, rakyat negara ini perlu malu mempunyai perdana menteri macam Najib.

“Malang bagi negara kita mempunyai pemimpin seperti ini. Kita amat malu dengan laporan kapal mewah yang dirampas di Indonesia.

“Laporan yang disiarkan jelas berkata Najib adalah ëpencurií. Patut dia ambil tindakan pada orang ini. Jika tak betul samanlah. “Tetapi sama macam Wall Street Journal (WSJ), sampai sekarang kerajaan tak saman pun,” ujarnya.


















Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan