Dr M sertai peserta protes BERSIH di Tugu Negara


Parlimen bakal hangat - di dalam dan di luar Dewan hari ini, ketika kerajaan bersiap sedia untuk membentang, membahas dan meluluskan laporan Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan laporan itu di Dewan Rakyat pada pukul 11.30 pagi ini.

Di luar kawasan Parlimen, kumpulan reformasi pilihan raya BERSIH menggerakkan bantahan terhadap laporan SPR itu, yang didakwanya memberikan kelebihan kepada kerajaan BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Peserta bantahan BERSIH itu akan berkumpul di Tugu Negara pada pukul 8 pagi, dan telah berikrar untuk membuat antahan sehingga perbahasan berakhir.

Bagaimanapun, mereka dijangka tidak akan bersendirian - kerana Ketua Umno Sungai Besar Datuk Jamal Md Yunos telah berikrar untuk mengadakan bantahan balas dengan gerakan Baju Merahnya.
Polis tidak meluluskan kedua-dua bantahan itu, dan akan ditempatkan di luar Parlimen untuk mengekalkan ketenteraman.

Pada jam 8 pagi, di Persiaran Sultan Salahuddin, kira-kira 100 penyokong BERSIH berkumpul di jalan yang menuju dari Jalan Parlimen ke Tugu Negara, kebanyakannya berpakaian baju T-shirt kuning BERSIH.

Maria Chin Abdullah yang melepaskan jawatan pengerusi BERSIH baru-baru ini adalah di antara mereka, dan ramai yang mengambil peluang untuk bergambar dengannya.

Penyokong BERSIH yang lain juga dilihat di sekitar Pandang Merbok dan menuju ke Tugu Negara atau bersarapan di gerai berhampiran ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman.

Polis menyekat laluan memasuki Persiaran Sultan Salahuddin sejak ja 7 pagi, tetapi penyokong BERSIH yang berjalan kaki masih dibenarkan melaluinya.

Pada jam 8.15 pagi di jalan utama ke Parlimen, polis telah menyekat satu lorong di jalan utama ke Dewan Parlimen bagi kedua-dua arah sejak kira-kira pukul 7 pagi. Anggota polis memeriksa kenderaan satu demi satu untuk memastikan tiada orang luar masuk ke Parlimen.

Terdapat beberapa penyokong BERSIH yang duduk di tepi jalan, kira-kira 400 meter dari pintu pagar Parlimen.

Pada sekitar jam 8.52 pagi di Tugu Negara, seramai 300 peserta protes tidak dibenarkan sama ada berarak atau berjalan ke Dewan Parlimen.
Polis telah menyekat pintu masuk ke Tugu Negara dengan barisan anggota polis dan dua buah Land Rovers biru. Terdapat kira-kira 20 anggota anti-rusuhan dengan perisai plastik bersiap sedia di pintu masuk.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharudin Abdullah berunding dengan peserta protes dan mengarahkan mereka bersurai pada jam 10 pagi.

Kira-kira 20 anggota polis berada berhampiran peserta protes, dan sekumpulan anggota light strike force bersiap sedia tidak jauh dari situ.

Bekas pengerusi bersama BERSIH, Datuk Ambiga Sreenevasan dan penggantinya, Maria Chin Abdullah yang melepaskan jawatan pengerusi BERSIH baru-baru ini, berucap kepada hadirin.

Sementara itu, tidak kelihatan Datuk Jamal Yunos dan kumpulan Baju Merahnya, yang sebelum ini mahu mengadakan bantahan balas.

Pda kira-kira jam 9.45 pagi, di Tugu Negara, kelihatan tiga lapisan sekatan di laluan ke Tugu Negara. Ia terdiri daripada barisan 14 anggota light strike force, diikuti dengan dua barisan anggota polis.

Sekumpulan 40 penyokong AMANAH datang menaiki bas dari Melaka untuk menghadiri perhimpunan itu di Tugu Negara. Aniza Talib, 53, memberitahu Malaysiakini bahawa dia datang bersama lima adik beradiknya kerana membantah persempadanan semula itu.

Berdiri di tepi jalan, Jason Tan, seorang guru bersara berusia 66 tahun, memegang slogan buatan sendiri.

Katanya, beliau datang dari Johor dengan bas bersama lima rakannya. Beliau telah menjadi penyokong tegar BERSIH sejak 2011 dan telah menghadiri setiap perhimpunan BERSIH, bermula dengan BERSIH 2.0.

Sekitar jam 10.15 pagi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya tiba di Tugu Negara untuk bersama peserta protes BERSIH.

Para peserta melaungkan "Hidup Tun" apabila Dr Mahathir dan isterinya Dr Siti Hasmah Ali tiba.

Dr Mahathir berucap kepada hadirin dengan menyenaraikan apa yang didakwanya senarai salahlaku Perdana Menteri Najib Razak.

Mahathir menggesa rakyat supaya tidak takut untuk mengundi pembangkang bagi "menyelamatkan Malaysia dari kleptokrasi".

Turut hadir Timbalan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, naib presiden PKR Nurul Izzah dan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Walaupun sudah melepasi tempoh jam 10 pagi yang ditetapkan oleh polis untuk mereka bersurai, namun tidak ada arahan untuk peserta protes berbuat demikian.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan