Masalah kewangan punca keluar parti?


GUA MUSANG - PKR Gua Musang mendakwa tindakan bekas Penyelia Dun Nenggiri, Syed Azhar Syed Alwi keluar parti dan menyertai Pas adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi beliau.

Ketua Cabang, Zulqarnain Zakaria berkata, mengenai hala tuju parti dan kemasukan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Pakatan Harapan (Harapan) tidak perlu dijadikan isu.
"Beliau sebenarnya berdepan masalah kewangan dan mungkin terdesak kerana selama ini hanya bergantung kepada elaun pentadbiran.

"Tidak perlu mengaitkan isu-isu lain kerana ia hanya rekaan untuk menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Setiausaha Cabang, Ismail Che Moh berkata, jumlah yang diumumkan dalam sidang media kelmarin juga tidak tepat kerana kurang 10 orang yang menyertai beliau.

"Setelah meneliti individu yang bersamanya, hanya dua ahli jawatankuasa (AJK) cabang yang mengikuti langkahnya.

"Dakwaan sehingga 80 orang itu tidak benar sama sekali, manakala nama-nama lain AJK cabang dan ranting yang disebutkan itu tidak wujud dalam senarai.

"Biarpun terkejut dengan tindakan beliau, kita di sini tidak gentar dengan tindakannya kerana kita yakin dan setia pada perjuangan parti," katanya.

Sementara itu, Syed Azhar ketika dihubungi berkata, beliau kekal dengan pendirian bahawa tindakan itu dibuat kerana hilang keyakinan terhadap parti.

Katanya, bukan sahaja hilang arah tuju selepas terputusnya tahaluf siyasi dengan Pas, malah parti berkenaan semakin hilang pegangan selepas kemasukan Tun Dr Mahathir.

"Saya menyangkal dakwaan kononnya saya kesempitan kerana Pas tidak menjanjikan apa-apa jawatan. Saya pilih jalan ini kerana banyak perkara yang bercanggah dari perjuangan asal.

"Dahulu, kita berjanji untuk mempertahankan pemerintahan di Kelantan namun bila berpecah, perjuangan itu berubah.

"Dengan keadaan parti yang terumbang-ambing, saya memilih Pas untuk terus mengekalkan pemerintahan sedia ada. Lagipun, hanya dua parti yang kuat di Kelantan iaitu Pas dan Umno," katanya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan