Hishammuddin perlu jelaskan status Pengkalan Udara TUDM Sg. Besi

Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mendesak Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, menjelaskan statu Pengkalan Udara (PU) Sg. Besi sama ada ia telah ditamatkan operasinya atau sebaliknya.

Menurut Setiausaha Pengelola AMK, Syukri Razab, Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Najib Razak pada 16 Mac lalu telah merasmikan Pengkalan Udara (PU) Sendayan sebagai pengkalan baru Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), menggantikan Pengkalan Udara Sg. Besi.

“PU Sendayan merupakan sebahagian daripada projek yang dibangunkan oleh 1Malaysia Develeopment Berhad (1MDB) yang sepatutnya dijadualkan siap pada penghujung 2016.

“Sehari sebelum perasmian PU Sendayan oleh PM ini, pada 15 Mac telah diadakan Majlis Perbarisan Permulaan Perpindahan sebagai simbolik perpindahan operasi TUDM dari PU Sg. Besi ke PU Sendayan.

“Ada beberapa persoalan yang perlu dijelaskan oleh pihak TUDM dan Kerajaan Malaysia berhubung perpindahan PU Sg. Besi ke PU Sendayan ini,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Soalan pertama kata beliau ialah, apakah majlis Perbarisan Permulaan Perpindahan ini menandakan bahawa PU Sg. Besi telah menamatkan operasi sepenuhnya?.

Jika benar PU Sg. Besi telah menamatkan operasi sepenuhnya tambah beliau, bukankah acara yang sepatutnya dijalankan adalah acara Paluan Berundur?

Jika jawapannya ialah acara Paluan Berundur tidak boleh diadakan kerana operasi TUDM Sg. Besi masih belum tamat sepenuhnya, maka persoalan seterusnya ialah, apakah PU Sendayan yang dirasmikan PM pada 16 Mac belum siap sepenuhnya bagi menggantikan operasi TUDM Sg. Besi? soalnya.

“Seperti yang diketahui umum, operasi PU Sg. Besi ditutup secara berperingkat bermula November 2011 bagi membolehkan 1MDB memulakan kerja-kerja pembangunan Bandar Malaysia menerusi syarikat pemaju TRX City Sdn Bhd.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, semasa acara Perbarisan Permulaan Perpindahan di PU Sg. Besi dijalankan, jentera-jentera pembinaan seperti kren telah pun memenuhi ruang sekitar kem.
“Jika PU Sg. Besi masih beroperasi dalam keadaan jentera pembinaan sudah berada dalam kem tersebut, ini jelas sesuatu yang memperemehkan kedaulatan pertahanan negara,” jelas Pengarah Strategi Pemuda Pakatan Harapan Malaysia itu.

Jelas Syukri, pada 29 Januari lalu, salah satu elemen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di PU Sg. Besi iaitu Rejimen Artileri Diraja (RAD) telah mengadakan majlis Paluan Berundur sebagai simbolik perpindahan rejimen tersebut dari PU Sg. Besi ke Kem Tun Ibrahim di Kajang.

Acara yang dirakam dan dimuat naik ke internet itu katanya, menimbulkan respons dingin warga maya yang rata-ratanya kecewa dengan penamatan operasi PU Sg. Besi ini.

“Apakah TUDM mengelak daripada mengadakan acara Paluan Berundur bagi melindungi isu sensitif penjualan tapak pengkalan tersebut untuk tujuan komersil.

“Lebih menghairankan apabila menurut sumber, majlis yang dijalankan mirip dengan acara Paluan Berundur apabila acara pembacaan sejarah PU Sg. Besi serta pergerakan keluar aset dan keluarga anggota turut diadakan.

“Atau sememangnya operasi PU Sg. Besi masih belum boleh ditamatkan kerana PU Sendayan yang belum siap sepenuhnya, tetapi secara tergesa-gesa dirasmikan oleh PM sebagai gimik politik untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang bakal menjelang,” kata beliau.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan