Oleh ZULQARNAIN LUKMAN
Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018 yang
dibentangkan di Parlimen telah mendapat liputan meluas kerana kesan
sabitan terhadap kesalahan menerbitkan atau menawarkan berita tidak
benar adalah sangat berat iaitu boleh didenda tidak melebihi RM500 ribu
atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 6 tahun.
Selain itu, jika kesalahan itu dibuat secara berterusan denda tidak
lebih RM3,000 boleh dikenakan bagi tiap-tiap hari kesalahan itu
dilakukan selepas sabitan.
RUU tersebut yang mengandungi 14 seksyen adalah bertujuan untuk
memperkatakan tentang berita tidak benar dan perkara berkaitan. Mengikut
huraian kepada RUU ini, perkembangan pesat teknologi telah menjadi
kebimbangan global dan semakin serius sehingga menyentuh orang awam
sehingga memerlukan kawal selia yang lebih tegas.
‘Berita tidak benar’ telah ditafsirkan sebagai apa-apa berita,
maklumat, data dan laporan, yang sebahagiannya atau keseluruhannya
adalah palsu, sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio
atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau
idea.
“Penerbitan” pula ditafsirkan sebagai termasuk apa-apa penerbitan
bertulis atau yang serupa dengan penerbitan bertulis atau salinan atau
penghasilan semula secara substansial penerbitan itu dan apa-apa
penerbitan yang dihasilkan secara digital, elektronik, magnetik atau
mekanikal atau replikasi substansial penerbitan itu.
Ini bermakna apa-apa penerbitan melalui media sosial seperti facebook dan aplikasi whatsapp juga boleh dikenakan pendakwaan.
RUU ini memperuntukkan bahawa sesiapa yang mengadakan, menawarkan,
menerbitkan, mencetak, mengedarkan, mengelilingkan atau menyebarkan
apa-apa berita tidak benar atau penerbitan yang mengandungi berita tidak
benar boleh disabitkan atas kesalahan tersebut.
Selain itu, Mahkamah juga diberikan kuasa untuk memaksa pesalah itu
untuk memohon maaf terhadap orang yang disentuh itu dan jika enggan maka
boleh dikenakan hukuman menghina Mahkamah.
Selain itu, RUU ini juga memperuntukkan kesalahan bagi orang yang
bersubahat dalam membuat penerbitan itu dengan memberikan bantuan
kewangan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
RUU ini juga meletakkan kewajipan kepada mana-mana orang yang
mempunyai milikan, jagaan atau kawalan terhadap penerbitan tidak benar
itu untuk menghapuskan penerbitan itu secara serta-merta dan sesiapa
yang tidak melaksanakannya boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100
ribu dan denda tidak lebih RM3000 sehari selepas sabitan selama
kesalahan itu berterusan.
Menariknya juga RUU ini membenarkan mana-mana orang yang disentuh
dengan penerbitan tidak benar itu boleh memohon di Mahkamah untuk
penghapusan penerbitan itu.
Pesalah di bawah RUU ini bukan sahaja boleh didakwa kerana penerbitan
berita tidak benar itu disiarkan di Malaysia. Pesalah itu boleh juga
didakwa jika ianya diterbitkan di luar Malaysia dan tindakan pendakwaan
boleh dikenakan tanpa mengira apa jua kerakyatan pesalah itu asalkan
berita tidak benar itu adalah mengenai Malaysia atau orang yang disentuh
itu adalah warganegara Malaysia.
Secara umumnya RUU ini nampaknya adalah baik untuk rakyat Malaysia
khasnya bagi mengekang penyebaran berita palsu. Ini kerana dengan adanya
RUU ini rakyat Malaysia mempunyai tempat untuk mengadu sekiranya mereka
menjadi mangsa berita tidak benar.
Namun, kerisauan rakyat Malaysia keseluruhannya adalah peruntukan
dalam RUU ini adalah terlalu umum dan mudah untuk disalahgunakan. Jika
dilihat kepada takrifan ‘berita tidak benar’ itu ianya adalah terlalu
longgar.
Jika dibandingkan dengan Anti-Fake News Act of 2017 (Philipphines),
definisi berita tidak benar itu adalah lebih ketat kerana berita tidak
benar itu mestilah telah menyebabkan atau mempunyai kecenderungan untuk
menyebabkan perasaan panik, pecah belah, huru-hara, keganasan, kebencian
atau menjadikannya sebagai satu propaganda untuk menjatuhkan reputasi
seseorang.
Manakala undang-undang yang hampir sama di Jerman iaitu
(Netzwerkdurchsetzungsgesetz) telah diberikan definisi yang lebih
spesifik iaitu berita tidak benar itu hendaklah berkaitan dengan seksyen
yang khusus dalam undang-undang jenayah seperti menyebarkan propaganda
Nazi, aktiviti terorisme, fitnah terhadap Presiden atau negara,
penderhakaan, penipuan, keganasan dan pornografi.
RUU ini juga gagal untuk menentukan siapakah yang boleh mengatakan
sesuatu berita itu adalah ‘berita tidak benar’. Dalam hal ini,
undang-undang Malaysia memberikan kuasa kepada pihak polis selaku pihak
yang bertanggungjawab untuk membuat siasatan dan kepada Peguam Negara
untuk membuat pendakwaan.
Ini bermakna kuasa untuk memutuskan sesuatu berita itu tidak benar
adalah terletak kepada kedua-dua badan ini dan ini boleh menyebabkan
keadilan terjejas. Walaupun kemudiannya Mahkamah yang akan membuat
penentuan tetapi pada peringkat awal ianya diputuskan oleh PDRM dan
Peguam Negara untuk tujuan pendakwaan. Sehubungan itu, berkemungkinan
wujud kekhuatiran orang ramai mengenai ketelusan sesuatu penyiasatan dan
pendakwaan.
Selain itu, kekhuatiran orang ramai juga adalah bahawa RUU ini akan
mengekang kebebasan bercakap dan mengeluarkan fikiran seperti mana yang
dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Kewujudan internet dan media sosial pada hari banyak mengubah lanskap
pemikiran orang ramai. Orang ramai lebih mudah untuk mendapatkan
maklumat dan ini terbukti dengan isu 1MDB yang mula diketahui ramai
dengan meluas dan mendalam.
Justeru, kebimbangan orang ramai ini adalah berasas kerana kandungan
RUU ini yang longgar dan tidak jelas menyebabkan kemungkinan berlaku
ketidakadilan dalam perlaksanaannya. Lagipun, undang-undang yang sedia
ada sudah lebih daripada mencukupi untuk menangani fitnah dan berita
tidak benar yang berlegar di media sosial.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan