KUALA LUMPUR: Layanan Umno terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad akan
memakan diri, kata bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz
Mahathir, yang mengajukan perkara itu sebagai antara sebab Barisan
Nasional (BN) tewas di Kedah di tangan PAS pada 2008.
Timbalan presiden PPBM teringat ketika itu bapanya tidak terpilih
sebagai perwakilan Kubang Pasu ke Perhimpunan Agung Umno 2006, walaupun
selepas mewakili kawasan Parlimen itu selama 3 dekad termasuk ketika
menjadi perdana menteri.
Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri dari 1981 hingga 2003, dan juga presiden Umno dalam tempoh yang sama.
Mukhriz berkata Dr Mahathir mahu menimbulkan isu tentang penggantinya
di perhimpunan Umno, tetapi “disekat” daripada memenangi kerusi itu
selepas perwakilan “dibeli” oleh pihak yang bersepakat dengan Tun
Abdullah Badawi.
“Umno Kubang Pasu dianggap sebagai ‘pariah’,” kata Mukhriz, seorang
timbalan menteri ketika Dr Mahathir secara terbuka mengkritik kerajaan
pimpinan Umno bawah pentadbiran Abdullah selepas pilihan raya 2008.
Mukhriz berkata langkah itu memakan diri, dan ramai tidak faham mengapa Dr Mahathir yang pernah memimpin parti itu diketepikan.
Bedah siasat kekalahan BN di Kedah pada pilihan raya 2008 menunjukkan
episod Kubang Pasu antara faktor yang menyumbang kepada prestasi buruk
gabungan itu.
PRU12 menyaksikan BN kalah di Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor di samping gagal mendapat 2/3 majoriti di Parlimen.
“Satu negeri terkesan dengan apa yang berlaku,” kata Mukhriz, bekas bendahari Umno Kedah.
“Kita semua tercengang bila tengok laporan itu. Bila rakan-rakan saya
di Perak, Pulau Pinang dengar mengenai laporan itu mereka pun mengaku
benda yang sama.”
Mukhriz mendakwa kesan yang membawa kepada kegagalan BN mempertahankan Kedah masih dirasai.
Beliau yakin faktor Dr Mahathir akan membantu Pakatan Harapan memenangi Kedah.
“Faktor Tun masih ada lagi. Jangan orang ingat dia dah nyanyuk, dah
lama tinggalkan politik dan sebagainya. Dia masih mempunyai pengaruhnya
termasuk dalam kalangan ahli-ahli Umno,” katanya.
Mukhriz berkata serangan pemimpin Umno terhadap Dr Mahathir baru-baru
ini juga boleh memakan diri kerana orang Melayu tidak suka melihat
pemipin tua dikecam, terutama yang membawa gelaran “ayahanda”.
“Mereka mungkin tidak bersetuju dengannya, tetapi itu bukan sebab untuk menggunakan kata-kata kesat,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan