Oleh Hayar Hassan
Semakin rancak parti-parti politik mengatur strategi-strategi mereka untuk turut serta dalam Pilihanraya Umum (PRU) 14 dan memenangi kerusi-kerusi Parlimen dan DUN yang ditandingi.
Dalam kontek Pakatan Harapan(PH), saya lebih tertarik untuk menghalusi strategi-strategi terkini parti Democratic Action Party(DAP). Strategi itu lebih dikenali sebagai “ DO OR DIE BATTLE”(DODB)(Pertandingan Antara Hidup dan Mati).
Beberapa hari lalu, DAP telah mengumumkan perihal dua orang Ahli Parlimen nya yang akan berhijrah ke parlimen-parlimen lain. YB Saudara Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Kluang dan Pengerusi DAP Johor akan dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Ayer Hitam Johor, dimana penyandang nya pada waktu ini adalah YB Dato’ Seri Wee Ka Siong, Timbalan Presiden Malaysian Chinese Association(MCA) dan Menteri Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
YB Saudara Nga Kor Meng, Ahli Parlimen Taiping dan Pengerusi DAP Perak pula akan dicalonkan untuk bertanding di Parlimen Teluk Intan, dimana penyandang nya pada waktu ini adalah YB Dato’ Seri Mah Siew Keong, Presiden Gerakan dan Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani 11 Malaysia.
Pengumuman-pengumuman DAP ini mendapat reaksi pantas oleh Presiden MCA, Dato’ Lee Tiong Lay. Beliau berkata DAP adalah “ arrogant”@ keras kepala kerana berhasrat untuk menghalang pemimpin-pemimpin utama MCA dan Gerakan menjadi Ahli Parlimen dan seterusnya berada dalam kabinet Barisan Nasional(BN), seandainya BN memenangi PRU 14 nanti.
Bukan itu sahaja, dikhabarkan juga DAP sedang mempertimbangkan lagi seorang tokoh nasional nya untuk dicalonkan menentang Presiden MCA di Parlimen Bentong ! Pastinya, strategi-strategi terkini DAP ini menjadi bualan seharian masyarakat Cina dan sebahagian besar pengundi-pengundi.
Saya masih ingat dalam dalam tahun 1986, YB Saudara Lim Kit Siang telah mengalahkan Tun Dr Lim Chong Eu, Presiden Gerakan dan Ketua Menteri Pulau Pinang pada waktu itu. Kekalahan Tun Dr Lim Chong Eu itu telah membuatkan beliau terus bersara daripada politik. Pada tahun 1990 pula, YB Saudara Lim Kit Siang telah mengalahkan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Ketua Menteri Pulau Pinang. Kekalahan ini juga membuatkan Tan Sri Koh Tsu Koon akhirnya berundur dari dunia politik tanah air.
Pada PRU 13 lalu YB Saudara Lim Kit Siang juga telah mengalahkan Dato’ Abdul Ghani Othman, mantan Menteri Besar dan Menteri Pusat UMNO di Parlimen Gelang Patah. Seperti nya strategi berlawan dengan tokoh utama BN oleh orang kuat DAP akan digunakan lagi untuk melonjakkan lagi sokongan pengundi-pengundi kepada DAP dan Pakatan Harapan(PH). Itu lah menariknya strategi DAP. Ahli-ahlinya sentiasa patuh kepada arahan pucuk pimpinan, walau pun risikonya amat besar terhadap karier poltik mereka.
Itu lah istimewanya DAP , ahli-ahli nya bersedia menerima arahan parti dan cukup bersedia menerima sebarang risiko. Dalam hal ini , jelasnya DAP lebih terkehadapan daripada parti-parti lain. Itu lah hebatnya DAP. Saya masih teringat akan serangkap pantun yang pernah diucapkan oleh Allahyarham Dato’ Asri Haji Muda, Presiden PAS suatu ketika dulu, dalam satu ceramah di Pekan Lenggong Perak.
“ Kalau takut dilambong ombak,
Jangan berumah ditepi pantai,
Kalau takut jatuh mendadak,
Diam saja, jangan banyak berandai-andai.”
Seandainya pertandingan-pertandingan “Do or Die “ ini benar-benar terjadi, PRU 14 akan menjadi terlalu menarik bagi seluroh rakyat dan juga pemerhati politik dalam dan luar Negara.
Suatu perkara menarik yang sedang diberikan perhatian sekarang ini adalah kes rasuah YAB Tuan Lim Guan Eng Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga merupakan Setiausaha Agung DAP. Tarikh 27 Mac 2018 lalu, adalah hari kedua perbicaraan. Perbicaraan dijangkakan mengambil masa selama 35 hari dan dijangka akan selesai akhir bulan Mei 2018.
Sekali pandang, kes rasuah ini akan menjejaskan prestasi DAP dan seterusnya Pakatan Harapan(PH) dalam PRU 14 nanti. Benar kah persepsi begitu ?
Sebelum ini, YAB Tuan Lim Guan Eng ada membayangkan bahawa dengan adanya kes rasuah ini berkemungkinan beliau akan hilang kelayakan untuk bertanding sebagai calon PH dalam PRU 14 nanti , walau pun keputusannya masih belum dibuat oleh Mahkamah.
Apa yang telah terjadi kepada YB Saudara Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan yang telah disabitkan kesalahannya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam dan telah dihukum penjara selama 30 bulan atas kesalahan mendedahkan akaun-akaun bank National Feedlot Corporation(NFC) boleh menjadi suatu precedent.
Walau pun YB Rafizi Ramli masih mempunyai peluang untuk membuat rayuan, tetapi pencalonannya dalam PRU 14 mungkin akan terbatal seandainya ada bantahan daripada pencabar-pencabarnya.
Oleh yang demikian, adalah lebih selamat bagi PH mencalonkan orang lain , daripada menghadapi kemungkinan kertas pencalonan mereka berdua ditolak pada hari penamaan calon nanti!
Rakyat Malaysia sebenarnya akan kehilangan seorang tokoh politik yang hebat. YB Rafizi Ramli bukan sebarangan orang. Beliau merupakan seorang yang pintar ,lulusan daripada luar Negara. YB Rafizi Ramli mempunyai 2 ijazah. Beliau mempunyai ijazah-ijazah B.SC in Electrical Engineering dan B.SC in Accounting daripada Universiti United Kingdom. Amat jarang anak-anak Malaysia yang mempunyai kelulusan akademik seperti beliau. Beliau adalah bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar.
Namun demikian, itu lah nasib Ahli Parlimen pembangkang Malaysia ketika ini. Mereka terpenjara bukan kerana rasuah dan salah guna kuasa, tetapi kerana mendedahkan kepincangan ekonomi Negara !
Atas alasan sabit kesalahan kes mahkamah dan telah terdakwa dimahkamah, berkemungkinan besar YAB Tuan Lim Guang Eng dan YB Rafizi Ramli tidak akan mencalonkan diri mereka dalam PRU 14.
Tindakan ini sememangnya akan meningkatkan lagi simpati rakyat kepada mereka berdua.
Berkemungkinan besar juga rasa marah rakyat kepada UMNO/BN akan bertambah. Namun demikian berapa ramai pengundi-pengundi kita akan dapat memahaminya.
Kalau kita lihat parlimen-parlimen negara maju , parlimen mereka cukup memberikan ruang yang luas dan kebebasan kepada Ahli-Ahli Parlimen mereka mendedahkan sebarang penyelewengan oleh pihak Kerajaan. Tiada akta-akta yang terlalu mengongkong kebebasan bersuara oleh rakyat jelata.
Akhirnya, sama-sama lah kita lihat nanti, sama ada strategi-strategi terkini DAP itu akan memberikan impak yang besar terhadap keputusan PRU 14.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan