Harapan Sinema Malaysia

Oleh Daniyal Kadir

PERTARUNGAN menentang rasuah, penyalahgunaan kuasa dan segala bentuk dakwaan penyelewengan sedang berlangsung dengan cukup sengit. Pihak kerajaan terus konsisten melakukan siasatan rapi, manakala pihak pembangkang pula secara berterusan melawan dengan kata-kata serta ucapan.

Inilah rupa negara kita di awal pembentukan pentadbiran baru. Segala-galanya masih belum tenang, ada kecamuk yang perlu diuruskan supaya beberapa bulan yang mendatang, pentadbiran akan menjadi lebih lancar dan teratur.

Buat masa ini kita memahami tuntutan kerajaan ialah menguruskan hal-hal ekonomi terlebihi dahulu. Keutamaan perlu ditentukan dan kerajaan memilih untuk membetulkan kedudukan kewangan dan hutang negara dahulu sebelum mahu memikirkan soal-soal lain.

Maka tidak ada salahnya dengan keutamaan yang dipilih oleh kerajaan, namun ia bukanlah pula satu ruang untuk mengabaikan perkara-perkara lain.

Pelbagai kelompok masyarakat juga sudah tidak sabar lagi melihat rupa sebenar secara menyeluruh kerajaan ini. Apakah dasar kebudayaannya? Apakah bentuk sistem pengurusan sosialnya? Apakah bentuk pengalaman pendidikan yang akan dilalui oleh anak-anak dan guru-guru? Apakah itu dan apakah ini.

Rasa tidak sabar ini turut dirasai oleh golongan pembikin filem dan orang-orang yang terlibat dengan dunia sinema di Malaysia. Apakah nasib dan harapan sinema di Malaysia pasca 9 Mei 2018.

Kita sendiri mengetahui bagaimana penghasilan filem di Malaysia berdepan dengan pelbagai kekangan yang kadangkala menyekat kebebasan kreatif. Misalnya, ada isu yang tidak boleh disentuh atau ada perkara yang tidak wajar untuk dijadikan filem. Halangan-halangan seperti ini wujud disebabkan kekangan pemikiran yang wujud pada masa pemerintahan yang lalu.

Kita ingin mengetahui pada masa pentadbiran yang baru ini apakah sudah dibenarkan untuk menonjolkan kejelikan rasuah dalam politik? Atau apakah sudah dibenarkan untuk membikin filem tentang korupsi yang melibatkan kakitangan awam? Atau apakah kita sudah boleh membikin filem mengenai tokoh-tokoh tertentu secara lebih kritikal berbanding hanya membikin filem hanya untuk membodek.

Bagaimana agaknya rupa filem patriotik di Malaysia pasca 9 Mei? Kita tidak mahu filem patriotik masih menjadi satu eskapisme terpenting golongan tertentu demi mendapatkan dana bernilai jutaan ringgit dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan kemudiannya menghasilkan filem patriotik yang langsung tidak berkualiti. Ini antara perkara-perkara yang mahu kita lihat. Kita mahukan pembikin filem diberikan kebebasan kreatif yang munasabah dan tidak wajar untuk apa-apa sekatan bersifat menghalang kreativiti dikenakan.

Kebebasan akan jadi mulia sekiranya ia hadir dengan tanggungjawab. Di pihak pembikin pula ia sudah tentu bukan bersifat mutlak, namun ia penting dalam membina filem berbentuk kritikal. Aspek ini amat kurang dalam budaya filem di Malaysia, malah filem masih dilihat sebagai lambang hiburan semata-mata, filem tidak dilihat sebagai cabang seni yang membina.

Ini semua berlaku kerana berlaku sesuatu yang tidak kena dalam aspek penghargaan sinema di Malaysia. Kita tidak mahu perkara-perkara lapuk berulang kembali. Karyawan harus diberikan hak yang besar untuk menggunakan kreativiti mereka demi memberikan lebih penghayatan dan kebanggaan terhadap sinema nasional.

Alang-alang kerajaan hari ini bercakap tentang ketelusan, kita juga mahu melihat dana-dana pembikinan filem yang dipegang oleh beberapa agensi kerajaan seperti Finas dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) harus diselaraskan dan diuruskan dengan baik serta teliti. Amalan memberi tanpa melihat hasil boleh dihentikan.

Sebarang dana yang disalurkan harus mempunyai mekanisme pemantuan yang berkesan, mungkin selepas ini jika anda menerima dana RM2 juta untuk membikin filem dan kemudian hasil filem anda seperti menggunakan peruntukan RM2,000, maka anda akan disyaratkan untuk membayar semula jumlah dana RM2 juta yang anda terima.

Pemantauan ini harus dibuat oleh sekumpulan panel pakar dalam menilai kualiti fizikal sesebuah filem. Ia bukan lagi soal idea semata-mata, tetapi jumlah dana yang diterima harus sepadan dengan kualiti yang anda hasilkan. Kita tidak mahu lagi melihat bagaimana banyaknya filem-filem teruk dihasilkan menggunakan dana kerajaan. Dana awam seperti ini layak diberikan kepada pembikin-pembikin filem yang membikin filem yang mempunyai rupa, bentuk dan idea baik.

Pembikin filem muda ialah golongan yang wajib diberikan perhatian. Cita-cita mereka untuk menghasilkan filem-filem berkualiti harus diraikan. Dana mencukupi harus disalurkan kepada golongan pembikin filem muda kerana mereka mempunyai daya dan idea yang mampu memberikan kita sesuatu yang segar. Lupakan buat sementara waktu pembikin-pembikin filem tua yang terbukti gagal walaupun telah menghasilkan lebih 40 filem.

Pembikin filem muda, Muzzamer Rahman misalnya baru selesai menjalani penggambaran filem cereka pertamanya berjudul ‘Prebet Sapu’. Saya mendengar sendiri bagaimana peritnya pengalaman Muzzamer berdepan dengan kekangan dana dalam menyiapkan filemnya. Saya membaca skrip filem berkenaan dan saya menganggap ia satu idea segar dalam memaparkan pergelutan hidup masyarakat Kini filem Muzzamer dalam fasa pasca produksi dan saya doakan beliau berjaya muncul sebagai pembikin filem bersemangat tinggi.

Organisasi kerajaan yang berkaitan dengan filem di Malaysia harus dipenuhi dan diketuai oleh individu yang benar-benar memahami sinema sebagai industri dan sebagai cabang seni. Kita tidak mahu orang yang tidak meminati filem berada dalam organisasi seperti Finas. Organisasi ini penting kerana ia menggerakan dasar secara menyeluruh.

Bayangkan orang yang tidak mempunyai minat dalam filem tetapi diambil bekerja dan dilantik sebagai ketua, sudah tentu organisasi seperti ini tidak berjaya bergerak dengan baik dan sekali gus menjejaskan industri filem di Malaysia secara menyeluruh.

Seperti kata pembikin filem tempatan, Al Jafree Md Yusop, bukan sahaja bola sepak, filem yang baik juga boleh menyatukan rakyat. Untuk memastikan kita dapat menghasilkan filem yang baik, kita harus memiliki kebebasan kreatif yang signifikan, pengurusan industri filem yang baik dan ruang sewajarnya kepada pembikin filem muda. Jadi, harapan terhadap kerajaan kini terhadap pembangunan sinema sememangnya besar.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan