Kerajaan Kedah belum terima cadangan Projek Bandaraya Baharu Langkawi

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, Kerajaan Negeri Kedah pimpinan beliau ketika ini belum menerima cadangan pembangunan Projek Bandaraya Baharu Langkawi yang bernilai kira-kira RM30 billion di pulau peranginan itu.

Akhbar semalam kata beliau, memetik pemaju hartanah, Tan Sri Ting Pek Khiing sebagai mengumumkan bahawa projek itu akan dilancarkan, merangkumi pembinaan kira-kira 30,000 unit kondominium mewah, pusat komersil dan dermaga kapal di kawasan seluas 81 hektar tanah yang ditebus guna di barat Pulau Langkawi.

Jelas Mukhriz, pengumuman itu menghairankan kerana projek berkenaan tidak dicadang, dibincang, dipertimbang, apatah lagi diluluskan oleh Kerajaan Negeri pimpinan beliau.

“Saya ingin jelaskan bahawa projek tersebut pernah dicadangkan sewaktu saya memegang jawatan Menteri Besar Kedah kali pertama, di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

“Tan Sri Ting Pek Khiing telah mengemukakan cadangan pembangunan tanah tambak laut bagi membina hartanah yang akan dijual kepada pembeli tempatan dan asing.

“Bagaimanapun, cadangan tersebut tidak disusuli dengan bayaran deposit yang menepati syarat Kerajaan Negeri bagi projek mega sebesar yang dinyatakan beliau.

“Maka, pada hemat Kerajaan Negeri, cadangan asal itu tidak lagi dipertimbangkan. Sebarang cadangan pembangunan baharu perlulah dikemukakan secara rasmi untuk pertimbangan Kerajaan Negeri,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

Katanya lagi, setakat ini, Tan Sri Ting Pek Khiing belum mengemukakan kepada Kerajaan Negeri cadangan baharu bagi projek pembangunan mega yang beliau umumkan itu.

Mukhriz menjelaskan bahawa pentadbiran beliau tidak berhasrat untuk menyulitkan sebarang inisiatif untuk melabur atau membangunkan negeri itu.

Sebaliknya kata beliau, kerjasama penuh diberikan, panduan dan nasihat ditawarkan sekiranya perlu untuk menjayakan usaha sedemikian.

“Namun begitu, Kerajaan Negeri berpendirian tegas terhadap pematuhan syarat dan garis panduan yang telah ditetapkan. Apa juga projek yang dicadangkan oleh mana-mana pihak perlu melalui proses saringan untuk mengenalpasti impak sosial, alam sekitar dan ekonomi.

“Walaupun Kerajaan Negeri amat mesra perniagaan dan pelaburan, namun ketiga-tiga aspek itu tidak akan dikompromi,” kata beliau.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan