Janji Manifesto, Sudahkah Pemimpin Umno Mencermin Diri Sendiri?

Oleh Shahbudin Husin

Kelompok UMNO dan BN sekarang ini begitu ghairah membangkitkan soal janji dalam manifesto pilihanraya Pakatan Harapan yang kononnya telah gagal dipenuhi.

Di mana-mana mereka bercakap mengenainya, bahkan dalam kempen pilihanraya Sungai Kandis yang sedang berjalan sekarang pun, isu menuntut janji itu turut dimainkan dengan ganas sekali.

Dikatakan, pilihanraya kecil ini harus dijadikan referendum menuntut janji-janji dalam manifesto berkenaan dan kemenangan calon BN juga dibayangkan akan meningkatkan suara desakan UMNO dan BN ke arah itu.

Kenapa UMNO dan BN terlalu sibuk dengan janji manifesto Pakatan Harapan berbanding penyokong Pakatan Harapan sendiri yang tampak lebih tenang dan boleh bersabar?

Adakah mereka memberi undi kepada Pakatan Harapan?

Hakikatnya, manifesto Pakatan Harapan terbahagi kepada dua - satu ialah berkenaan 10 perkara yang akan ditunaikan dalam tempoh 100 hari, manakala satu lagi akan dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun akan datang.

Berdasarkan perkembangan semasa di mana sehingga lebih kurang 70 hari memerintah negara setakat ini, dua daripada 10 janji itu sudah pun dilaksanakan, enam sedang dalam proses perlaksanaan dan dua lagi belum dilaksanakan kerana terikat dengan halangan-halangan tertentu.
Tidakkah ini sudah merupakan sesuatu yang memberangsangkan?

Berdasarkan itu juga, secara umumnya, kerajaan baru Pakatan Harapan memang sedang berusaha keras menunaikan janji-janjinya kepada rakyat, di sebalik bebanan hutang, pembaziran, sikap suka bermewah dan kerosakan yang ditinggalkan oleh regim Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor sejak 2009 yang lalu.

Bagi janji-janji dalam manifesto Pakatan Harapan yang tarikh hayatnya selama 5 tahun sehingga tahun 2023, semua pihaknya seharusnya bersikap lebih bersabar dan tidak tergesa-gesa menuntutnya.

Kerajaan masih banyak masa lagi untuk menunaikan semua janji-janji itu dan jangan terburu-buru menuduh Pakatan Harapan gagal menunaikannya.

Begitu pun, di sebalik keghairahan UMNO dan BN siang malam bercakap membangkitkan soal janji Pakatan Harapan dalam manifesto PRU14, mereka juga tidak harus lupa lupa manifesto PRU13 lalu yang tempohnya antara 2013 hingga 2018.

Berdasarkan info grafik yang disertakan, apakah janji menurunkan harga kereta, menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan, mewujudkan persekolahan satu sesi dan sebagainya sudah ditunaikan sebelum UMNO dan BN tumbang pada 9 Mei lalu?

Jika diselak sejak berkuasa selama lebih 61 tahun, barangkali lebih banyak lagi janji-janji UMNO dan BN itu yang hanya tinggal janji saja.

Kepada pemimpin serta penyokong UMNO dan BN, cerminlah diri sendiri berkenaan manifesto PRU13 dan sejak 61 tahun berkuasa terlebih dahulu sebelum cuba mencari kesalahan kerajaan baru yang belum pun sampai 100 hari menjalankan tugasnya.

Lagi pula, kegembiraan terbesar bagi rakyat Malaysia sekarang ialah tiada lagi Najib yang memerintah dan Rosmah yang suka bermewah.














Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan