Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan orang ramai yang hanya menggunakan medium media sosial untuk memberi respon berkaitan perkara itu bukan hanya merugikan mereka tetapi juga pihak PTPTN sendiri.

Menurutnya, PTPTN akan mengambil kira kesemua pandangan yang dikemukakan terutamanya idea-idea bernas yang memberi kebaikan kepada semua pihak sekiranya maklumat tersebut disalurkan di platform sepatutnya.

“Saya minta semua dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp, Twitter dan lain-lain media sosial pergi ke laman web (PTPTN) dan salurkan pandangan sama ada nak maki hamun, sumpah seranah atau cadangan.

“(Sekiranya) bagi di WhatsApp, PTPTN tak baca, bagi di Facebook pun PTPTN tidak akan baca, (jadi) salurlah ke laman web rasmi kita akan baca, analisis, mengkaji serta mempertimbangkan dan mana yang baik kita akan laksanakan,” katanya dalam Program Jelajah Ramadan PTPTN Prihatin, di sini hari ini.

Baru-baru ini, isu melibatkan PTPTN kembali menjadi polemik apabila terdapat pihak yang mencadangkan agar kerajaan mengenakan sekatan semula perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang culas membayar pinjaman.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Wan Saiful berkata, pihaknya bukan berniat menyekat orang ramai memberi pandangan mereka di media sosial, namun berharap mereka tidak mensia-siakan KKR yang menyediakan pelbagai data dan fakta serta peluang memberi idea.

“Boleh untuk keluarkan pandangan melalui media sosial namun kita ada saluran rasmi yang ada faedahnya untuk mereka beri komentar dan mencetuskan perdebatan tetapi maklumat itu tidak sampai (kepada PTPTN), jadi ia satu kerugian. 

“Malah, bukan sahaja kita nak orang dengar dan bahas di peringkat akar umbi tapi mahu idea dari seluruh negara dapat dilaksanakan, jadi saya minta sangat dalam tempoh tiga minggu sehingga 13 Jun ini tolong guna sebaiknya (saluran KKR),” katanya. - UTUSAN ONLINE