Detik News yang memetik Jokowi sebagai berkata, adalah sesuatu yang lumrah bagi pihak yang kalah tidak berpuas hati dengan keputusan. 

“Yang namanya kalah ya mesti tidak berpuas hati. Tidak ada pihak yang kalah itu akan puas.
“Kalau benar wujud peni­puan, sila buat laporan kepada kepada Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu),” katanya di Hotel Sultan, di sini semalam. 

Perkara itu kata Jokowi telah dipersetujui dalam Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) sebelum ini dengan syarat sebarang tindakan di luar Perlembagaan negara tidak dibenarkan. 

Ditanya mengenai risiko serangan keganasan pada 22 Mei ini ketika keputusan Pemilu diumumkan, Jokowi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada polis dan tentera.

Tanpa menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai isu itu, Jokowi memuji kecekapan pasukan keselamatan dalam mena­ngani isu tersebut dengan cepat apabila menahan 29 pengganas yang dipercayai merancang untuk meletupkan bom ketika demonstrasi politik selepas pe­ngumuman keputusan pilihan raya. 

Sehubungan itu, beliau sekali lagi meminta orang ramai supaya tidak menyertai mana-mana demonstrasi atau perhimpunan pada tarikh tersebut. 

Sementara itu, seorang juruterbang sebuah syarikat pener­bangan ditahan polis, kelmarin kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat kebencian dalam media sosial.

Dalam status itu, suspek yang dikenali sebagai IR turut mengajak orang ramai untuk menyertai rusuhan pada 22 Mei ini bagi membantah keputusan Pemilu nanti. – AGENSI