14 sekolah di Pasir Gudang ditutup hingga Khamis

PASIR GUDANG - Kerajaan Johor hari ini mengeluarkan arahan untuk menutup sementara 14 lagi sekolah di Pasir Gudang susulan gelombang kedua pencemaran udara pagi tadi.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat susulan tiga lagi sekolah dilanda simptom sesak nafas dan muntah-muntah pada jam 11 pagi tadi.

"Pihak Bomba terima panggilan jam 11 pagi tadi dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia dan SK Kopok. Setelah saringan dibuat, 20 dikesan mengalami sesak nafas dan muntah-muntah.

"Jadi Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik buat ketetapan supaya sekolah yang berada dalam jajaran lokasi kejadian ditutup empat hari sehingga 27 Jun ini," katanya pada sidang media di Stadium Tertutup Pasir Gudang, hari ini.

Menurutnya, sekolah terlibat ialah SK Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok, SK Kota Masai 3, SK Taman Cendana.

"Selain itu, SMK Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang, SMK Kota Masai, SJK(T) Pasir Gudang, SK Taman Scientex, SMK Taman Scientex serta dua sekolah ditutup sebelum ini, SK Pasir Gudang 4 dan SMK Pasir Gudang 2.

"Institusi pengajian awam, sekolah agama kerajaan Johor, pra sekolah dan Tadika turut terlibat," katanya.

Sehingga jam 3.30 petang tadi seramai 13 orang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan 49 orang menerima rawatan di klinik sementara di Stadium Tertutup dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan