ROS perlu ambil tindakan terhadap UMNO - PH

KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Harapan (PH) akan membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung dakwaan UMNO menerima dana berjumlah RM212 juta yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata UMNO harus dihukum kerana sebagai parti politik, ia tidak boleh menerima wang haram demi kepentingan parti itu.

“Pendedahan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya baru-baru ini amat mengejutkan rakyat Malaysia yang diperdaya UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Dana 1MDB yang seharusnya digunakan untuk pelaburan dan memberi pulangan ekonomi kepada negara sebaliknya digunakan untuk tujuan politik kepartian dan faedah UMNO semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SPRM baru-baru ini sudah memfailkan permohonan terhadap 41 individu dan entiti, bagi mendapatkan balik wang berjumlah lebih RM270 juta yang dikaitkan dengan dana diseleweng daripada 1MDB.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 56, Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, bagi mendapatkan semula wang berkenaan, yang dipercayai dipindahkan dari satu akaun AmBank milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata ROS perlu menjatuhkan hukuman tegas terhadap UMNO yang menerima wang haram RM212 juta dan diperakui sendiri oleh SPRM.

“Jika dulu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terpaksa dibubarkan oleh ROS pada saat akhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) kerana isu teknikal.

“Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, ROS perlu menjatuhkan hukuman yang tegas kepada UMNO,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan