Anwar: PH mahu perubahan di Sarawak

KUCHING, 29 Julai — Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu PH Sarawak menangani pengaruh negatif, perkauman dan pemikiran yang sempit, dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-12.

Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata PH ingin perubahan bukan sahaja di peringkat kebangsaan, tetapi juga di Sarawak, di mana PH Sarawak perlu dapat persetujuan untuk bergerak sebagai satu pasukan padu.

“Kita tidak akan dapat bergerak sebagai sebuah negara jika kita tidak boleh berfikir melangkaui rumah panjang kita, atau bangsa atau anutan agama kita hanya boleh berjaya jika kita mempunyai amalan keadilan dan timbang rasa yang mencerminkan sifat kemanusiaan kita.

“Dan Sarawak perlu bergerak sebagai satu pasukan untuk menolak apa-apa bentuk agenda rasis atau ketaksuban agama,” katanya pada majlis makan ‘Harapan Sarawak Baru’ di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Majlis Tertinggi Pusat DAP Lim Kit Siang, Parti Amanah Nasional Mohamad Sabu, Ketua Wanita PH Zuraidah Kamaruddin dan pemimpin PH negeri termasuk Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baru Bian yang juga Pengerusi PH Sarawak, serta Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen.

Terdahulu, Muhyiddin berkata rakyat Sarawak sendiri mampu membetulkan senario politik negeri yang diperintah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan negeri yang dijangka diadakan seawal hujung tahun hadapan.

“Rakyat Sarawak mempunyai cita cita dan harapan yang begitu tinggi, malangnya pada hari ini GPS di Sarawak bersendirian dan tidak mahu menubuh kerjasama demi kemajuan (dengan PH)” katanya.
Sementara itu Mohamad Sabu yakin Sarawak akan terus berkembang, kerana walaupun berbeza politik, masalah boleh diselesai dengan baik.

Oleh itu, beliau meminta pihak tertentu agar tidak mengimport isu perkauman, yang dimainkan di sebelah Semenanjung, khasnya oleh PAS dan Umno ke Sarawak. — Bernama
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan