Bubarkan agenda sempit bukan Parlimen, bidas Mujahid

Oleh Arif Atan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menegaskan perkara paling penting pada masa ini adalah ‘membubarkan’ agenda sempit bukannya Parlimen.

Mengulas desakan Pas supaya Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH menganggap agenda sempit yang cuba memusnahkan tanah air ini perlu dihapuskan.

“Kenapa perlu bubar sedangkan ia berjalan dengan baik? Apa yang perlu dibubarkan adalah agenda sempit yang cuba merosakkan negara,” bidasnya.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Pendidikan dan Kesihatan anjuran Pusat Khidmat Parlimen diwakilinya dan Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms) di Parit Buntar hari ini.

Beliau berpendapat sistem Parlimen masih berfungsi dengan baik sekali gus gesaan pembubaran supaya PRU15 berlangsung lebih awal sebagai tidak relevan.

Jelasnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih mempunyai tempoh selama empat tahun untuk meneruskan pentadbiran negara ini selepas memenangi PRU14 pada tahun lalu.

Pada 19 Julai lalu, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa PH membubarkan segera Parlimen kerana didakwa terbukti gagal memastikan kestabilan politik dan keharmonian dalam negara.

Mengulas lanjut, Mujahid berpendapat pilihan raya juga tidak perlu diadakan kerana kerajaan seolah-olah terpalit dengan dengan politik kotor dan menjijikkan terutama dalam dakwaan kes video lucah, rogol dan rasuah.

“Isu video lucah dan rasuah untuk menjatuhkan seseorang telah memberikan impak dan membuatkan orang ramai menjadi mual dan sudah tentu memberikan kesan secara tidak langsung kepada kerajaan.

“Saya tidak berpihak kepada sesiapa kerana politik kotor dan jijik modalnya cuba untuk mendedahkan perkara yang mengaibkan dan menjatuhkan seseorang,” tambahnya lagi.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan