KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta tidak
terlalu banyak berbicara mengenai jawatan pengganti perdana menteri
untuk mengelakkan rakyat membuat rumusan seolah-olah Presiden PKR itu
gila jawatan tersebut.
Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri
Khairuddin Abu Hassan berkata, Anwar juga diharap tidak terlalu melayani
isu bakal perdana menteri kelapan kerana sudah tahu pendirian Tun Dr
Mahathir Mohamad mengenainya.
“Tidak perlu langsung Anwar
mengulangi peristiwa silam kerana kini kita semua sudah berada di bawah
satu bumbung Pakatan Harapan (PH).
“Tidak perlu untuk kita
menoleh ke belakang lagi. Kita semua harus pandang ke hadapan secara
positif dan meneruskan agenda untuk membina semula negara yang telah
dirosakkan oleh kerajaan kleptokrasi pada suatu masa dahulu.
“Kurang baik bagi Anwar berbicara mengenai isu bakal perdana menteri
kelapan secara berterusan kerana sedikit sebanyak ia boleh meninggalkan
kesan negatif terhadap dirinya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan di
sini, pada Ahad.
Anwar sebelum ini dilaporkan memberi jaminan kepada ahli parti bahawa
perjanjian antara komponen PH berhubung pelantikannya sebagai perdana
menteri kelapan tidak berubah.
Dalam pada itu tegas Khairuddin,
semua pihak harus berhenti berbicara mengenai isu yang disifatkan hanya
membuang masa dibincangkan.
“Kita sudah tahu jawapannya.
Sepatutnya kita semua harus akur dengan beberapa kenyataan Dr Mahathir
mengenai bakal penggantinya.
“Takkan hari-hari perdana menteri
hendak kena sebut mengenai perkara ini? Terlalu banyak bercakap mengenai
isu bakal pengganti perdana menteri akan buatkan rakyat merasa bosan
dengan PH.
“Rakyat melihat kita seolah-olah lebih pentingkan
jawatan dari bekerja secara ikhlas. Jangkaan rakyat terhadap janji-janji
manifesto PH terlalu tinggi. Sebab itu kita harus mengetepikan bercakap
mengenai perkara yang sudah ada jawapannya dan hanya tumpu untuk terus
memperhambakan diri kepada keseluruhan rakyat di tanah air demi
kesejahteraan masa depan mereka,” jelasnya.
Tegasnya lagi, semua pihak perlu yakin dengan jaminan yang sudah diberi Dr Mahathir mengenai isu berkenaan.
“Kemudian, kita kena pasrah pada Allah kerana sebagai hambaNya, kita
hanya mampu merancang tetapi segala-galanya adalah ketentuan Yang Maha
Esa. Allah yang bakal menentukan segalanya.
“Seperti ungkapan
Anwar sendiri baru-baru ini, kalau ada ketentuan Allah, jika ditakdirkan
menjawat jawatan perdana menteri maka pada waktu itu, Anwar yang akan
mengganti Dr Mahathir.
“Seandainya ketentuan Allah adalah sebaliknya, maka semua pihak pun kena terima dengan hati yang terbuka,” ujarnya.
Jelas Khairuddin, seringkali orang di sekeliling dilihat lebih sudu
dari kuah berbanding pemimpin dan faktor itu kadangkala memudaratkan
tokoh pemimpin itu sendiri.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan