Hadi yang menambah kekeliruan

Oleh Pujangga Ramadzan

Dahulu - beberapa tahun lalu - ada beberapa pemimpin atasan Parti Islam Semalaysia yang sentiasa bimbang jika mikrofon dihulurkan kepada mursyidul am mereka, Nik Abdul Aziz Nik Mat rahimahullah, oleh media.

Mereka bimbang jika Nik Aziz mengeluarkan pandangan politik yang bercanggah atau merugikan parti. Namun biasanya beliau tidak menghampakan. Akhirnya, semua adalah sejarah.

Hari ini, bukan sahaja pemimpin atasan parti tersebut bimbang, sebaliknya rasa itu dikongsi pemimpin di peringkat parti. Malah tokoh-tokoh agama luar parti tersebut juga sering bimbang dan kecewa jika presiden PAS berkata-kata di hadapan media.
(Ini hasil pertimbangan dan renungan penulis yang tiada siapa dipaksa mempercayainya.)

Apabila Abdul Hadi selaku orang ada ilmu fiqh dan usul fiqh mengulas isu perisytiharan harta, apakah ia dikira sudah selesai dan masyarakat Malaysia boleh terus mempraktikkan pandangannya?
Sama sekali tidak. Ia hanya menambahkan kekeliruan semata-mata.

Berapa kerap isytihar

Malah, sebahagian kata-katanya telah menjadi bahan gurauan dan sindiran komuniti siber. Ia suatu keadaan yang tidak pernah dialami oleh almarhum Nik Aziz.

Malang sekali bagi parti tersebut. Malang juga bagi anggota parti yang sedar kekeliruan terhasil daripada Abdul Hadi tetapi tidak dapat berbuat apa-apa. (Sebenarnya mereka boleh buat sesuatu. Tukar sajalah.)

Sebagai pemimpin yang sudah puluhan tahun berkecimpung dalam politik Malaysia, sepatutnya beliau tahu dengan baik bagaimanakah proses pengisytiharan harta dilakukan.

Siapakah yang selama ini terikat dengan peraturan tersebut dalam kalangan penjawat awam? Berapa tahun sekali mereka perlu isytihar?

Setelah memahami dan meneliti dengan baik praktis semasa, barulah beliau - selaku orang berilmu fiqh dan usul fiqh - menilai amalan tersebut dari sudut hukum. Bukannya dengan menulis 'cek terbuka' bahawa hukum isytihar itu terikat kepada hukum wajib, haram, makruh, sunat dan harus.

Jika semudah itu jawapannya, media tidak perlulah bersusah payah mencari beliau. Orang-orang media juga tahu. Melainkan media memang ingin mencipta 'bahanlah.'
Gambar fail
Jika ada kemungkinan berlakunya rasuah, Abdul Hadi berpandangan, bahawa wajib perisytiharan dilakukan. Apakah beliau mahu membeza-bezakan hukum isytihar ini antara anggota parlimen Malaysia?

Seakan-akan beginilah: "Ok, si fulan ini ada kecenderungan melakukan rasuah, maka dia wajib isytihar. Si fulan dari parti agama itu yang miskin dan tiada sebab orang nak merasuah dia, maka tidak wajib isytihar. Ini pula presiden parti agama yang hidupnya zuhud tapi banyak harta, haram isytihar kerana jika isytihar maka timbul buruk sangka atau merosakkan imej perjuangan Islam..."
Begitukah akhirnya praktis perisytiharan harta jika parti agama mentadbir, duhai penasihat-penasihat politik Abdul Hadi?
(Sekali lagi diingatkan, para pembaca tidak dipaksa mempercayai andaian-andaian penulis ini.)

Cuba renung sekejap

Lebih malang apabila beliau mengaitkan amalan perisytiharan harta dengan teori komunis dan sosialis. Tiba-tiba masyarakat siber lupa seketika fitnah usia emas terhadap menteri belia dan sukan.

Mereka beraya dengan kenyataan Abdul Hadi.

Terdapat seorang penulis yang dipercayai ahli parti tersebut cuba mempertahankan pandangan Abdul Hadi dengan menyokong kononnya idea isytihar secara terbuka dimulakan oleh sosialis di United Kingdom.

Namun beliau gagal mendedahkan amalan perisytiharan itu bagi tempoh masa sebelumnya sehingga ke era zaman pertengahan dan era khilafah Islam dan sahabat Nabi SAW.

Cuba para pembaca renung sejenak - bagaimanakah kita pada hari ini tahu sahabat nabi yang mana kaya dan yang mana miskin sedangkan semua mereka bukan orang yang menunjuk-nunjuk harta, dan bukan pula pengejar kemasyhuran nama dan pangkat seperti Datuk dan Datin.

Maksud penulis, kalau ada pangkatlah. Bukan pula penulis nak menyindir sesiapa.

Bukankah sahabat-sahabat yang kaya tadi mendedahkan harta mereka kepada umum sehingga akhirnya kekayaan mereka dicatatkan oleh penulis sejarah Islam kemudiannya.
Gambar fail
Umat Islam juga maklum dengan amalan yang dilakukan oleh Sayidina Umar terhadap pembesar di bawah penguasaannya.

Habis, kenapakah Abdul Hadi mahu mengaitkan amalan itu dengan teori komunis dan sosialis?

Beliau seorang ustaz dan ahli agama yang ada sijil sarjana dalam bidang siasah syariyyah (politik dan pentadbiran menurut syariat), tahu kedudukan sesebuah kerajaan memiliki kekuatan untuk menentukan amalan terbaik bagi pencegahan kemungkaran rasuah dan seleweng wang di bawah kaedah sad zara'ie, masih mahu berhujah dengan teori komunis dan sosialis?

Bukankah itu hanya mahu menambah kekeliruan. Lebih daripada itu - seperti biasa yang beliau lakukan - ia hanyalah untuk memburukkan parti lawan, memperlekeh kerajaan dan menganggap orang lain tidak sebaiknya dalam serba-serbi.

(Pembaca tidak diwajibkan mempercayai kesimpulan yang dibuat penulis ini.)

Sebaliknya lihatlah bagaimana beliau mengaitkan perisytiharan harta dengan sosialis dan komunis, kemudian menuduh - dengan beralas kalimah "mungkin" - bahawa ianya dibayangi DAP yang mempengaruhi kerajaan.

Asas sesuatu adalah harus

Orang politik tetap orang politik walaupun beliau seorang pemegang sarjana siasah syariyyah. Beliau hanya mahu menetapkan satu perisytiharan bahawa kerajaan PH dikuasai DAP. Itu sahaja.

Sekilas ikan di pantai Marang, sudah kutahu itu nelayan berintegriti atau korup.

Akhirnya, penjawat awam dan masyarakat umum semakin keliru dengan ayat yang keluar dari lidah Abdul Hadi itu.

Mereka tertanya-tanya, apakah amalan mengisytiharkan harta dalam kalangan penjawat awam adalah warisan daripada komunis dan sosialis? 

Bagaimana pula ketika beliau sendiri - beberapa tahun lalu - mendesak agar pemimpin negara mengisytiharkan harta masing-masing? Apakah ketika itu beliau beriman - opps maaf - percaya dengan pandangan sosialis dan komunis?

Kalau tidak, kenapa orang lain dituduh sedemikian, tetapi beliau pula, tidak. Bukankah itu namanya munafik pendirian?

Beliau boleh sahaja mengulas dengan khusus amalan perisytiharan harta untuk semua anggota parlimen sahaja, melihat daripada sudut kaedah fiqh al-aslu fil asyya' al-ibahah iaitu asal sesuatu perkara adalah harus.

Kemudian ditambah dengan kaedah pencegahan mungkar dan disokong dengan amalan isytihar oleh para sahabat dan khilafah.

Malangnya, beliau mahu berpolitik. Tetapi silap percaturan. Sendiri kena checkmate. 

Tiada apa yang selesai jika Abdul Hadi berkata-kata dalam isu ini. Ramai yang menyuruh pembantu beliau menghulurkan ubat kepadanya. Itu saya tidak setuju pula. Jangan kita menghina beliau.

Cukuplah kita simpulkan, sejak kebelakangan ini, Abdul Hadi gagal menjadi tokoh penyelesai masalah negara melalui perspektif syariat. Hanya menambah kekeliruan.

Cadangan penulis: beliau perlu berundur. Kekal sebagai tuan guru ilmu tafsir dan fiqh di Rusila dengan pengajiannya yang amat baik itu, dipancarkan ke seluruh dunia. Gobind Singh Deo rasanya boleh membantu.

PUJANGGA RAMADZAN ialah pelayar laman sosial yang memiliki minda kritis terhadap walak melampau, selain menolak amalan taasub yang tebal dalam masyarakat Muslim
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan