Baru-baru ini, Najib Razak, bekas perdana menteri yang sedang dihadapkan ke mahkamah kerana pelbagai skandal rasuah, berseloroh ketika mesyuarat agung tahunan Umno Gombak.
Menurutnya, Umno pernah berjaya mengalahkan komunis, masakan hari ini mereka takut untuk melawan Pakatan Harapan (PH).
Betul lah, sejak membadutkan diri, Najib memang sering berkelakar.
Saya ingin menyorot kertas yang dibentangkan Mohd Nordin Ahmad, seingat saya beliau pernah menjawat timbalan ketua pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Nordin, amalan rasuah yang membarah dalam kalangan masyarakat hari ini adalah “ekoran budaya memberi hadiah yang telah ditafsirkan sebagai satu cara menyatakan terima kasih pada masa dahulu”.
Inggeris, yang mungkin rimas dengan amalan yang tidak patut ini berusaha membetulkannya. Maka pentadbiran British mengambil tindakan segera pada 1871 dengan mengkanunkan ia sebagai satu kesalahan undang-undang menerusi Kanun Kesiksaan 1871 (F.M.S. Penal Code).
Akan tetapi, pada 2018 ada segelintir orang Melayu, mungkin seperti Najib dan para lebai tidak melihat “budaya memberi hadiah” itu sebagai tidak patut, malah mungkin melihat ia sebagai amalan Melayu yang mulia.
Lagi pun, menerima dan memberi hadiah serasa Islami dan senang untuk mencari mana-mana hadis bagi dipetik sebagai dalil tunggangan.
Oleh sebab rasuah itu dilihat sekadar hadiah oleh sesetengah Melayu, ada yang tidak malu mengaitkan proses menerima dan mempertahankan rasuah itu sebagai satu perjuangan atau jihad sambil dihiasi foto mengenakan jubah, dengan tangan bertasbih atau gambar sedang mengaji kitab suci.
Terdapat pelbagai jenis rasuah, antara lain dijeniskan jantinanya sehingga 7 jenis berasaskan sebab rasuah itu dilakukan; iaitu transactive (suka sama suka), extortive (didesak), defensive (takut tindakan), nepotistic (pilih kasih), supportive (bersubahat), antegenic (ambil kesempatan) dan investive (kononnya pelaburan).
Saya akan mengatakan di sini, LGBTIQA2S tidak mengancam masyarakat, tetapi 7 jenis rasuah tersebut jauh lebih bahaya dari seorang penganut komunis.
Kita kembali kepada kepala poin tulisan ini, iaitu kenyataan Najib betapa Umno dahulu berjaya mengalahkan komunis dalam memberikan motivasi kepada pengikutnya agar jangan takut untuk melawan PH.
Dalam kertasnya, Nordin sudah pun menjawab Najib, iaitu 25 tahun lalu.
Betul, 25 tahun sebelum Najib sedang dibicarakan kerana skandal rasuah, atau 25 tahun sebelum Najib mengatakan PH boleh dikalahkan seperti komunis, Nordin sudah pun menjawab Najib.
“Rakyat Malaysia perlu ingat bahawa ancaman rasuah haruslah dipandang serius sama seperti ancaman komunis, pertelingkahan kaum dan penagihan dadah.”
Beliau sempat menyorot senario masa hadapan, meminta kita membayangkan apa yang akan berlaku 25 tahun kemudian dari pembentangan beliau itu, jika budaya rasuah dalam kalangan pemimpin menjadi-jadi.
Nordin mengarang: “Sesungguhnya pada tanggal 1.1.2020, seorang anak Melayu akan bangun dari tidur pada waktu pagi dan melihat di luar rumahnya dan mendapati negara ini maju dan bangsanya menjadi tonggak pembangunan negara. Anak kecil ini akan bercakap dalam hatinya, [Betapa bertuahnya aku dilahirkan sebagai Melayu, kerana pemimpin-pemimpin lampau adalah mereka yang tinggi maruahnya. Dengan kejujuran dan amanah mereka menjadikan Melayu maju dan sejahtera. Semoga Tuhan memberi rahmat kepada mereka.]
“Sebaliknya sekiranya rasuah menjadi pembalut pembangunan, maka anak kecil ini akan bangun pada tanggal 1.1.2020, sambil bermenung di tangga usang di hadapan pondok yang hampir roboh sambil berkata [Kenapa aku dilahirkan sebagai anak Melayu?].”
“Sebagai orang Melayu, kita harus bertekad supaya keluhan ini tidak wujud pada kemudian hari. Perbuatan kita pada masa sekarang akan diwarisi oleh generasi Melayu pada masa depan. Mungkin kita ketawa pada hari ini tetapi generasi hadapan kita akan menangis akibat perbuatan kita.”
Nordin mengucapkan kata-kata yang jitu di atas 25 tahun lalu. Segelintir anak-anak muda Melayu yang lahir tahun tersebut kini turun menolak Najib dan kawan-kawannya.
Memang, terdapat segelintir lagi Melayu yang masih tidak nampak. Mereka hidup dalam kabut feudalisme.
Kerana mereka ingin mempertahankan budaya Melayu yang salah, yang sudah dibanteras British (tetapi kan British hanyalah penjajah dan nasionalisme-patriotisme sudah menjadi satu bentuk ancaman yang sama hodoh dengan komunisme).
Ada lebai yang menghubungi saya dan mengatakan bahawa jangan terlalu melawan, banyak peluang terlepas dan bahawa saya perlu memikir masa hadapan yang mungkin akan terbalik.
Tidak semua pujangga Melayu yang beroleh RM5,000 sebulan daripada kerajaan akan mengatakan ini, tetapi saya akan memberitahu anda.
Saya tidak bimbang memberitahu pujangga Melayu atau siapa pun, meskipun ada yang mengatakan kepada saya; “Jangan-jangan Umno dan PAS berkuasa setelah bersekongkol, maka keselambaan dan sikap berterus terang kamu akan kelak meletakkan kamu dalam keadaan sulit, berhati-hatilah.”
Saya tidak tahu apakah saya akan hidup sehingga satu lagi pilihan raya untuk melihat itu, tetapi memadai saya berjujur sekarang kalau-kalau memang tidak sempat hidup lama bahawa rasuah lebih dahsyat dari komunis.
Jika ditakdir hidup lama, saya akan terus melawan.
Duhai anak-anak masa hadapan, meskipun tidak semua pujangga berani mengatakan, ketahuilah yang lebih jahat dari semua penjahat di negara ini adalah perasuah. Jangan beri mereka tempat di negara kita.
Kita perlu tamatkan jenaka Najib ini dan memberitahunya langsung, malah bolehlah pautkan beliau di media sosial kata-kata ini: “Duhai Najib, kami tidak lupa. Kami bukan anak Melayu di tangga usang. Dan kami berjujur seraya melihat di luar laman rumah untuk memberitahukan kamu Najib, bahawa sesungguhnya rasuah lebih dahsyat dari komunis.”-https://www.freemalaysiatoday.com
0 comments:
Catat Ulasan