KOTA BHARU – Pas tidak sepatutnya memandang remeh pelawaan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa yang mengajak parti itu menyertai PH.
Pemerhati Politik, Mohd Sayuti Omar berkata, pelawaan Husam adalah berdasarkan pandangan jauh yang dibuat atas kepentingan politik Melayu itu sendiri.
“Pelawaan Husam itu tidak sepatutnya dipandang remeh apa lagi diejek kononnya PH kini tersepit atau takut dengan ura-ura penggabungan UMNO dengan Pas, sebaliknya disambut dengan penuh keterbukaan.
“Jika selama ini Pas bimbang dan sedih dengan penguasaan DAP dalam PH, ia boleh diatasi dengan Pas sertai PH.
“Bila Pas sertai PH, ia dapat mengimbangkan pengaruh DAP dalam PH dan 18 kerusi milik Pas boleh membentuk kekuatan Melayu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Menurutnya, kenyataan Pas yang memperlihatkan ‘kekuatan’ Gagasan Sejahtera tidak berasas kerana gagasan itu bagaikan ‘hidup segan mati tidak mahu’ dan hampir sudah lenyap.
Beliau berkata, sewajarnya Pas lebih rasional dalam percaturan politik dan memposisikan parti itu sendiri dalam hegemoni Melayu.
“Sekiranya Pas menerima seruan Husam itu, Pas akan dilihat lebih matang dan telah memperbetulkan semula kompas politiknya yang kini dilihat terpesong kerana mahu bersama UMNO yang menjadi musuhnya selama ini.
“Saya yakin sekiranya Pas bersedia bersama PH, parti itu bukan sahaja sekadar mampu mengimbangkan kuasa Melayu seperti disebut Husam, tetapi ia juga bakal menjadi parti yang dominan kerana integritinya selama ini.
“Harap pemimpin Pas tidak memandang seruan dan formula dikemukakan Husam itu sebagai satu ajak-ajak ayam, Pas perlu lebih berpandangan jauh dan bijaksana dalam berpolitik,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan