“Oleh kerana laporan telah dibuat, kita serah kepada SPRM sahaja. Ada dua isu iaitu tuduhan rasuah dan kebocoran (maklumat),” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung dakwaan berkenaan sama ada dari pihak yang melaporkan iaitu bekas pegawai khas exco terbabit mahupun Exco yang didakwa iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri.
Kelmarin, Ahli Jawatankuasa PKR Parit Buntar, Beh Yong Kean yang juga bekas pegawai khas Abdul Yunus, membuat laporan polis di IPD Ipoh mendakwa Exco berkenaan telah membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, bagi mendapatkan komisen daripada dua syarikat pertanian.
Berikutan itu, Abdul Yunus yang dilaporkan sebagai menjelaskan perkongsian pelbagai maklumat dan data kerajaan negeri dibuat atas kapasiti sebagai wakil rakyat, dan penting untuk menyelesaikan pelbagai aduan, serta masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain mengenai kenyataan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berhubung dalang yang dikenal pasti di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri, Anwar yang juga Ketua Umum Pakatan Harapan menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.
“Ya, saya baca kenyataan Ketua Polis Negara. Kita tunggulah laporan lanjut sama ada video itu benar bukan rekaan dan siapa yang dalangi serta siapa yang sebarkan. Pastinya itu dalam siasatan polis. Jadi tidak payahlah kita buat jangkaan yang terlalu banyak,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan Abdul Hamid tidak menolak kemungkinan bahawa ahli politik dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam kes itu.
Baru-baru ini, media melaporkan terdapat klip video seks membabitkan dua lelaki, tular dalam media sosial dan pada 12 Jun, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz mengaku dirinya seorang daripada lelaki dalam video itu.
Terdahulu, Anwar meluangkan kira-kira empat jam mengadakan pertemuan bersama Majlis Pimpinan PKR Negeri (MPN) Melaka di sini.
Beliau sebelum itu turut mengadakan pertemuan dengan komuniti nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Linggi dan turut bertemu dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri. — Bernama
0 comments:
Catat Ulasan