Oleh Dr Asri Zainul Abidin
BEBERAPA wartawan, rakyat Malaysia; Muslim dan non-Muslim bertanya
saya apakah benar dakwaan yang menyatakan Nabi S.A.W tidak membenarkan
orang politik mengisytiharkan harta?
Bagi yang non-Muslim mereka nampak
semacam begitu kecewa jika demikian ajaran Islam.
Saya rasa saya perlu berikan penjelasan tentang hal ini agar agama
Islam tidak disalahfahami sehingga memberikan imej yang salah terhadap
Islam. Di sini saya ingin jelaskan hal ini pada nota-nota;
Nabi S.A.W sendiri dalam pentadbiran kerajaan baginda memastikan para
petugas atau pegawai yang dilantik tidak memiliki harta atas salah guna
kedudukan. Baginda menegur harta yang dimiliki oleh para petugas yang
diperolehi dengan cara yang tidak betul. Ertinya, baginda memeriksa
dakwaan harta yang mereka miliki. Sabda Nabi S.A.W:
فَمَا بَالُ العَامِلِ نَسْتَعْمِلُهُ، فَيَأْتِينَا فَيَقُولُ: هَذَا
مِنْ عَمَلِكُمْ، وَهَذَا أُهْدِيَ لِي، أَفَلاَ قَعَدَ فِي بَيْتِ أَبِيهِ
وَأُمِّهِ فَنَظَرَ: هَلْ يُهْدَى لَهُ أَمْ لاَ، فَوَالَّذِي نَفْسُ
مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لاَ يَغُلُّ أَحَدُكُمْ مِنْهَا شَيْئًا إِلَّا جَاءَ
بِهِ يَوْمَ القِيَامَةِ يَحْمِلُهُ عَلَى عُنُقِهِ
“Apa jadi dengan pegawai yang kita utuskan, kemudian pulang dan
berkata: “Ini bahagian kamu, ini bahagian aku. Silakan dia duduk di
rumah ayah dan ibunya, lalu tunggu adakah akan diberikan hadiah
kepadanya atau tidak?! Demi Allah, dia (pegawai berkenaan) tidak
mengambil sesuatu melainkan pada Hari Kiamat nanti dia akan menanggung
pemberian itu atas tengkoknya.” (Riwayat al-Bukhari).
Dalam Islam, Muslim diwajibkan membayar zakat. Zakat yang wajib
dibayarkan oleh Muslim membabitkan pelbagai harta; tanaman, ternakan,
emas (wang) dan selainnya. Jumlah zakat wajib seseorang berdasarkan
kadar harta yang dimiliki. Bagi ternakan ada kiraannya, bagi emas ada
kiraannya, bagi tanaman ada kiraannya, bagi galian ada kiraannya dan
seterusnya. Lebih banyak harta, pasti lebih banyak kadar yang wajib
dibayar.
Ulul Amri (pemerintah) merupakan amil zakat yang berkewajipan
memastikan mereka yang wajib membayar zakat, menunaikan tanggungjawab
mereka. Jika agama melarang Muslim mengistiharkan harta, pastilah Muslim
tidak boleh membayar zakat kepada amil zakat kerana itu menyebabkan
jumlah hartanya diketahui.
Maka, dakwaan bahawa Islam tidak membenarkan jumlah harta seseorang
dimaklumkan kepada pihak pemerintah adalah batil dan tidak berasas.
Antara pendekatan memastikan intigriti urustadbir pemerintahan
Khalifah Umar bin al-Khattab ialah memeriksa harta pegawai-pegawai yang
dilantik dan mencatatkanNya. Ini bagi mengawal supaya mereka tidak
mengambil kesempatan mengumpul harta dengan cara yang salah melalui
jawatan yang dipegang.
Polisi ini telah lama dijalankan oleh Saidina Umar bin al-Khattab
dalam pentadbiranNya. Dalam al-Tabaqat al-Kubra oleh al-Imam Ibn Sa’d
(meninggal 230H) dan juga dipetik oleh al-Imam al-Sayuti (meninggal
911H) dalam Tarikh al-Khulafa:
أَنَّ عُمَرَ كَانَ إِذَا اسْتَعْمَلَ عَامِلًا كَتَبَ مَالَهُ
“Sesungguhnya Umar apabila melantik pegawai, beliau mencatatkan hartanya” (Tabaqat Ibn Sa’d 3/307 Beirut: Dar Sadir)
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) menyebut dalam
karyanya tentang polisi Umar tersebut dengan berkata: “‘Umar memeriksa
harta para pegawainya. Dia mengambil separuh harta mereka jika itu
mereka perolehi melalui jawatan mereka yang bercampur dengan kedudukan
istimewa mereka. ‘Umar membahagikan harta itu kepada dua bahagian,
separuh untuk mereka, separuh untuk kaum Muslimin (rakyat)” (Ibn Qayyim
al-Jauziyyah, al-Turuq al-Hukmiyyah, m.s 17)
Justeru itu al-Syeikh Dr Ali Muhammad al-Sallabi menyebut dalam
karyanya “‘Umar bin al-Khattab: “Umar itu menghitung (jumlah) harta para
pegawai dan gabenor sebelum perlantikan. Ini bertujuan untuk mengira
harta mereka yang bertambah selepas perlantikan yang tidak termasuk
dalam penambahan yang munasabah” (Ali Muhammad al-Sallabi, Umar bin
al-Khattab, m.s 356).
Kemudian, kita hendaklah faham bahawa dalam soal pentadbiran, Islam
itu sifatnya begitu luas. Apa sahaja yang membawa kemaslahatan kepada
rakyat, diiktiraf sebagai politik atau urus tadbir yang selaras dengan
syarak. Ini termasuklah soal pengisytiharan harta.
Pemerintah berhak menentukan kaedah yang diyakini terbaik dalam
memastikan intigriti dan urustadbir yang baik. Jangan kita jumud dan
mempergunakan dalil-dalil agama sehingga menyempitkan ruang politik yang
diluaskan oleh syarak.
Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam hal ini: “Jika engkau
maksudkan dengan perkataanmu “Tiada siyasah melainkan apa yang menepati
syarak” iaitu tidak menyanggahi apa yang syarak sebut, maka itu betul.
Jika engkau maksudkan tiada siyasah melainkan apa yang syarak sebut maka
itu salah. Itu juga bererti menyalahkan para sahabah…apabila zahirnya
tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam apa jalan
sekalipun, maka di situlah syariat Allah dan agama-Nya.
Allah itu lebih mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk
hanya membataskan jalan-jalan keadilan dan tanda-tanda serta
alamat-alamatnya dengan sesuatu perkara (sahaja) kemudian menafikan
(kewujudan keadilan) yang lebih nyata daripada itu, lebih kuat dalilnya,
lebih jelas tandanya dan (mustahil) Allah tidak menerima dan mengambil
kira kewujudannya serta menegakkan tuntutannya.
Bahkan Allah telah menjelaskan bahawa tujuan DIA mensyariatkan
mengenai jalan-jalan (hukum agama) ialah untuk menegakkan keadilan dalam
kalangan hamba-hamba-Nya dan membolehkan manusia (hamba-hamba-Nya)
menegakkan keadilan. Apa sahaja jalan yang dapat menghasilkan keadilan
dan kesaksamaan maka itu daripada (ajaran) agama ini, dan ia tidak
menyanggahi-Nya.
Maka tidak boleh untuk dikatakan bahawa siyasah yang adil itu
menyanggahi apa yang ungkapkan oleh syarak. Sebaliknya ia (siyasah yang
adil) itu menepati syarak. Bahkan siyasah yang adil itu satu juzuk dari
syarak.
Kita menamakannya siyasah (politik) mengikut istilah mereka, padahal
sebenarNya ia adalah keadilan Allah dan rasul-Nya yang zahir menerusi
tanda-tanda dan bukti-bukti” (Ibn Qaiyim al-Jauziyah, al-Turuq
al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar’iyyah, 19-20. Beirut: Dar Ihya
al-‘Ulum (t.t).
Adapun hadis yang digunakan oleh pihak berkaitan:
اسْتَعِينُوا عَلَى نَجَاحِ الْحَوَائِجِ بِالْكِتْمَانِ لَهَا فَإِنَّ كُلَّ ذِي نِعْمَةٍ مَحْسُودٌ
“Bantulah menjayakan hajat-hajat dengan menyembunyikan (hajat-hajat tersebut) kerana setiap yang mempuNyai nikmat itu didengki”
Dari kedudukan hadis, secara paling ringkas hadis ini diriwayatkan
daripada Muaz bin Jabal, Ali bin Abi Talib, Ibn ‘Abbas, Abi Burdah dan
Abu Hurairah. Hampir keseluruhan jalur periwayatan mempuNyai ‘illah
(penyakit yang mencacatkan kekuatan riwayat). Al-Imam Ibn Jauzi
(meninggal 567H) menghukumnya sebagai palsu. Demikian al-Imam Ahmad
(meninggal 241H) dan Yahya bin Ma’in (meninggal 233H). Al-Hafiz
al-‘Iraqi (meninggal 806H) ketika mentakhrij hadis-hadis Ihya Ulum
al-Din mendaifkan sanad hadis ini.
Namun al-Albani dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah telah menilai
sahih sanad yang datang melalui Sahl bin ‘Abd al-Rahman al-Jurjani
daripada Muhammad bin Mutarrif daripada Muhammad bin Munkadir daripada
Urwah bin al-Zubair daripada Abu Hurairah. (lihat: al-Silsilah
al-Sahihah hadis 1453)
Dari segi maksud, hadis tersebut bukan seperti yang difahami oleh
pihak berkaitan. Hadis ini menggalakkan menyembunyi perkara-perkara yang
membawa kepada hasad dengki. Namun, jika ada keperluan maka hajat serta
nikmat boleh bahkan mungkin wajib didedahkan.
Ini terutama kepada pihak yang mempunyai kepentingan. Jika tidak,
maka pasti orang ramai akan mengelakkan membayar zakat harta atas alasan
hadis ini.
Demikian juga, akan ada yang menyembunyikan perkahwinan kerana
bimbang orang lain dengki. Sedangkan Nabi S.A.W suruh mengiklankan
nikah. Demikian juga mungkin ada yang tidak mahu membayar cukai
pendapatan, cukai jalanraya dan lain-lain kepada pemerintah atas alasan
bimbang pihak lain tahu harta mereka. Ini semua tafsiran yang salah.
Diharapkan semua pihak tidak sewenang-wenangnya menggunakan nama Nabi S.A.W dalam mencapaikan hasrat mereka.
Islam akan disalahfahami jika tidak berhati-hati menyandarkan hal-hal yang tidak tepat kepada Nabi S.A.W.
*Dr Asri Zainul Abidin adalah mufti Perlis.
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Allah tak suruh pun dibuat parti2 perkauman seperti UMNO dan parti2 menunggang agama seperti PAS tapi apabila keadaan memerlukan ianya dibuat ataupun apabila keperluan timbul maka adalah munasabah diwujudkan parti2 seperti itu. Maka hujah2 dunggu dari lulusan "tourism PAS" yang dilantik jadi ulamak bahawa Allah tak suruh umat islam ishtihar harta tu adalah hujah bangang yang tak sepatutunya keluar dari mulut seorang "ulamak". Ini adalah bukti dan kewajipan utama kenapa pemimpin2 dan ulamak itu WAJIB dilantik dari kalangan orang2 yang layak dan berilmu, bukannya dipilih dari kalangan2 kroni2 dan geng2 tali barut yang tak berilmu dan tak berkelayakan. Tidak hanya dilantik sebab rapat dan walak membuta tuli kepada tuang Presideng yang jahil lagi "blur"! Tang tu memang Allah SWT haramkan melantik sesapa yang takde ilmu dan bakat jadi pemimpin! Sekarang ni amat jelas bahawa Hadi dan Tuan Ibrahim memang tak patut di angkat sebagai ulamak mahupun pemimpin.
BalasPadamNick.
Cape Tiger.