Oleh Oleh ZULKIFLI SULONG
Pada hari ini 3 Julai 2019 genaplah sudah satu tahun saya bertugas sebagai seorang setiausaha akhbar. Banyak dugaan dan pelajaran yang diperolehi dari tugas ni. Apatah lagi, ini adalah kali pertama bertugas bersama kerajaan berbanding dengan hampir 30 tahun bersama media pembangkang.
Dugaan paling besar yang kami hadapi, khasnya petugas media Pakatan Harapan adalah membuktikan tohmahan dan kempen pembangkang bahawa kami semua adalah kuda tunggangan dan alat kepada DAP adalah tidak benar.
Alhamdulillah, selepas setahun berlalu, terbukti ianya hanya satu mainan politik pembangkang selepas kalah teruk dan hilang kerajaan dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.
Yang paling manis adalah ia dibuktikan oleh menteri tempat saya bertugas sendiri. Semua tahu, tugas utama Khalid Samad sebagai Menteri Wilayah Persekutuan adalah mengendalikan isu-isu yang berkaitan tanah dan pembangunan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Siapa tidak dengar cerita tentang Taman Rimba Kiara (TRK). Saban hari media melaporkan pertembungan antara penduduk Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang mahu mempertahankan TRK dari disentuh oleh pembangunan dengan Khalid Samad selaku menteri yang menjaga urusan DBKL.
Sikap tegas Khalid mempertahankan prinsip dan kepentingan semua pihak selaku kerajaan membuktikan PH, dan Amanah khasnya, bukan diperkudakan oleh mana-mana pihak apatah lagi DAP.
Jelas Khalid tidak mengikut sahaja kehendak dan pandangan ahli parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh dan kawan-kawannya yang mempertahankan kehendak penduduk khasnya persatuan penduduk TTDI.
Akibat perbezaan pandangan beginilah menyebabkan isu ini saban hari menjadi mainan media kerana media sememangnya suka melaporkan pertembungan sebegini. Saya berbangga selaku pegawai kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid bertegas dengan kepentingan yang hendak dijaganya iaitu semua pihak bukan satu pihak sahaja.
Kalau hendak dikira, jalan mudah bagi Khalid adalah ikut sahaja apa yang dijanjikan Hannah Yeoh semasa kempen pilihan raya umum ke 14 lalu iaitu membatalkan projek TRK dan membayar wang pampasan kepada pemajunya.
Namun bagi Khalid, daripada membayar pampasan sehingga RM150 juta kepada pemaju dan isu rumah panjang di situ yang dijanjikan rumah sejak 37 tahun lalu tidak selesai, beliau rela mempertahankan prinsipnya dan terpaksa bertembung dengan Hannah dan kawan-kawannya.
Terbukti ada baiknya sikap beliau itu. Selepas setahun terbukti, PH dan Amanah khasnya dilihat bukan kuda tunggangan DAP tetapi sedia mempertahankan prinsip yang diperjuangkan sejak sekian lama.
Bagi Khalid, jika projek TRK dibatalkan, DBKL terpaksa membayar pampasan yang banyak dan penantian 37 tahun hampir 100 keluarga yang menghuni rumah panjang di situ tidak kesampaian.
Bagi saya ini kejayaan paling besar Khalid. Beliau berjaya membuktikan bahawa Amanah adalah sebuah parti Islam yang ditubuhkan oleh pemimpinnya sendiri, ada wawasan dan perjuangan sendiri dan tidak akan menjadi kuda tunggangan mana-mana pihak.
Selain Khalid, Naib Presiden Amanah Datuk Husam Musa juga membuktikan di mahkamah bahawa dakwaan pemimpin dan penyokong Pas bahawa Amanah hanya kuda tunggangan dan ditubuhkan oleh DAP terbukti tidak benar.
Husam menang dalam kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Dr Wan Zawawi Wan Ismail di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, 26 Jun 2019 lepas.
Saman itu berkenaan kenyataan di laman Facebook Wan Zawawi dua tahun lalu yang mendakwa Amanah Kelantan menerima dana daripada DAP untuk menjatuhkan kerajaan Pas Kelantan.
Zawawi di dalam status facebooknya menuduh Amanah Kelantan menerima duit daripada seorang taukeh judi dari DAP untuk digunakan bagi menjatuhkan Kerajaan Pas Kelantan dengan gambar Husam bersama tulisan tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kota Bharu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan Husam selaku plaintif berjaya membuktikan kesnya dan memenuhi kriteria kes fitnah.
Padahal Wan Farid sendiri adalah pemimpin, calon dan aktivis Umno sebelum beliau dilantik menjadi hakim.
Hakim memerintahkan Wan Zawawi membayar ganti rugi dengan jumlah yang akan diputuskan mahkamah nanti.
Beliau turut mengarahkan Wan Zawawi menarik balik artikel berkenaan, menyiarkan permohonan maaf di akhbar nasional selama sehari dan membayar kos perbicaraan berjumlah RM50,000.
Wan Zawawi pada masa (mengeluarkan kenyataan itu) merupakan ahli Lajnah Politik dan Pilihan Raya Pas Kelantan dan juga Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).
DAP sememangnya menjadi ‘punching bag’ kepada Pas dan Umno. Pas menggunakan hujjah agama dalam serangannya manakala Umno pula menggunakan hujjah kaum ketika menyerang PH.
Bahkan perkara yang tidak ada kaitan sama sekalipun dengan apa yang berlaku di Malaysia dikaitkan dengan DAP.
Saya terbaca dalam satu kumpulan whatapps tentang satu video yang memaparkan seorang wanita Cina membawa anjing di sebuah masjid. Wanita itu dipukul oleh lelaki di masjid itu dan anjingnya terlepas dari pegangannya dan berlarian di dalam masjid berkenaan.
“Bangsa DAP bawa anjing masuk masjid,” tulis seorang ahli kumpulan whatapps itu selepas memasukkan video itu dalam kumpulan wha
tsapps berkenaan.
Padahal isu ini berlaku di sebuah masjid di Indonesia dan tidak ada kaitan langsung dengan DAP. Tetapi kerana DAP menjadi sasaran, segala yang berlaku semuanya kerana DAP.
Ramai setuju semua ini berlaku di zaman semua orang boleh jadi wartawan, penyunting dan editor serta penerbit sekali. Kebebasan yang maksima.
Di pihak pegawai kementerian semacam saya, kami berusaha membuat laporan kepada pihak yang berwajib supaya mengawal tindakan penyebaran berita palsu atau fitnah sebegini. Ini kerana, ia dengan mudah memarakkan api permusuhan kaum dan agama yang sememangnya super sensitif.
Namun sehingga kini kita merasai tindakannya amat perlahan. Bahkan kadang-kadang kita terasa, apakah aparat penguatkuasaan kita ini mahu melihat negara terbakar dengan isu-isu ini.
Kadang-kadang kita juga terasa, apakah mereka masih belum sedar bahawa kepimpinan negara sudah bertukar tangan dan mereka perlu berkhidmat dengan penuh wibawa dan memenuhi arahan dan panduan dari ‘kerajaan semasa’ bukan ‘pemimpin kerajaan’ yang sudah diguling oleh rakyat.
Penulis adalah setiausaha akhbar Menteri Wilayah Persekutuan. Namun tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak ada kaitan dengan sikap atau pandangan Menteri Wilayah Persekutuan tempat beliau bertugas.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan