Tulisan Jawi: Beri kuasa kepada PIBG tanda Melayu mudah mengalah

Tindakan kerajaan yang menyerahkan kuasa kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk membuat keputusan dalam pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah, dianggap sebagai petanda orang Melayu sudah mula mengalah.

Pengerusi Majlis Dakwah Negara (MDN), Prof Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, ini secara tidak langsung menyerlahkan sikap orang Melayu yang terlalu bertolak ansur memberi apa sahaja yang diminta kaum minoriti lain.

“Saya berpendapat apabila diberi kuasa pada PIBG, ada kemungkinan besar sekolah Cina tidak akan menggunakan Jawi kerana kuasa dan pengaruh Dong Zong cukup besar dalam sekolah-sekolah.

“Saya menganggap ia sekadar satu kenyataan politik yang menunjukkan bahawa orang Melayu sudah beralah. Inilah terjadi. Orang Melayu terlampau akomodatif dan sanggup beri apa sahaja yang dipinta orang lain asalkan orang lain itu senang hati dan itulah kebaikan budi orang Melayu.

“Sekarang ini persatuan India sendiri telah menerima sepenuhnya program khat itu di sekolah-sekolah Tamil. Jadi saya nak tengok kenapa ada perbezaan antara dua politik kaum ini,” katanya kepada Malaysia Dateline selepas sidang media Anugerah Kecemerlangan Islam di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan mesyuarat jemaah menteri kabinet pada Rabu yang mengekalkan keputusan supaya pengenalan tulisan jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tahun empat di sekolah jenis kebangsaan mulai tahun 2020 diteruskan.

Bagaimanapun Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, ia hanya akan dilaksanakan jika dipersetujui oleh Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid sekolah jenis kebangsaan.

Tindakan kerajaan yang menyerahkan kuasa kepada PIBG untuk membuat keputusan dalam pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah, dianggap sesetengah pihak sebagai petanda orang Melayu sudah mula mengalah.

Ini susulkan tindakan tiga sekolah dikesan mengantungkan kain rentang membantah pelaksanaan tulisan jawi dan khat itu iaitu sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil dan dua lagi di SJK Cina.

Mahmood Zuhdi juga berpandangan generasi muda Islam tidak lagi berbicara dalam bahasa generasi lama iaitu mereka banyak memperkatakan tentang ketuanan Melayu dan perlembagaan.
“Ini cakap-cakap kosong sedangkan yang penting adalah kesatuan ummah.

“Daripada sibuk berkelahi sama ada mahu laksana atau tidak (tulisan jawi), lebih baik perkasakan Jawi itu. Kedudukan Jawi sekiranya mempunyai nilai begitu tinggi, kita tidak perlu memaksa orang menerima Jawi dari sebahagian yang patut dipelajari, bahkan mereka sendiri akan minta untuk belajar tulisan Jawi,” katanya.

Mengulas tentang beberapa desakan orang ramai untuk mengharamkan pertubuhan Dong Zong, beliau berkata, ia tidak seharusnya ke tahap itu.

“Tidaklah sampai ke tahap perlu haramkan Dong Zong. Tak perlu macam tu kerana ia sebahagian dari pembinaan tamadun kita,” ujarnya.











Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan