MP sokong Mahathir: Jangan gadai maruah Umno

Oleh Shahrul Nasrun Kamaruddin

Saya terpanggil untuk memberi pandangan berhubung tindakan enam ahli Parlimen Umno iaitu Shahar Abdullah (Paya Besar), Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut) yang membuat sidang media pada 24 Oktr lalu, yang memberi sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad kekal sebagai PM sehingga habis penggal.

Bagi saya tindakan mereka telah mendahului kepimpinan tertinggi Umno kerana Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sendiri mengatakan sokongan mereka bukannya pendirian Umno, malah pada saya satu tindakan memalukan kerana secara terbuka Umno dilihat memberi sokongan kepada Mahathir menjelang pilihan raya kecil Tanjung Piai.

Selain memalukan parti, tindakan tersebut telah mengelirukan pengundi Tanjung Piai yang majoritinya merupakan pengundi Melayu.
Bagi saya MP Umno mesti jelas matlamat sebagai pembangkang di mana tiada keperluan untuk Umno menjadi sebahagian dari kerajaan melalui ‘pintu belakang’.

Ini kerana Umno sebuah parti yang banyak berjasa dan rakyat sedang membuat penilaian selain mengharapkan supaya Umno bertindak pembangkang yang berkesan.

MP Umno jangan terikut menari tarian PH di mana umum sedia maklum Presiden PKR, Anwar Ibrahim kini sudah tak sabar mengambil alih setelah dua tahun PH menerajui kerajaan dan Mahathir sebagai perdana menteri.

MP Umno sepatutnya fokus dan terus aktif membawa isu yang menghimpit rakyat seperti kos sara hidup, kekurangan peluang pekerjaan, nilai ringgit jatuh mendadak, jumlah pelaburan merosot serta isu bebanan hutang negara yang mencecah RM1 trilion.

Tindakan enam MP Umno ini juga tak boleh disamakan dengan 16 MP PAS yang memberi sokongan kepada Mahathir kerana semua MP PAS membawa pendirian parti.

Dengan situasi politik ketika ini, asasnya kini rakyat mula menolak dan tidak mahu PH untuk terus menerajui kerajaan.

Justeru, sekiranya Mahathir merasakan dirinya kehilangan sokongan ahli Parlimen PH untuk terus kekal sebagai perdana menteri.

Beliau harus menyerahkan kuasa kepada Anwar dan, sekiranya Mahathir enggan menyerahkan jawatan kepada Anwar, maka jalan terbaik adalah beliau segera mengadap Yang di-Pertuan Agong dan mohon perkenan baginda untuk membubarkan parlimen bagi membolehkan satu pilihan raya umum diadakan.

Mandat mesti dikembalikan kepada rakyat dan jika rakyat sememangnya mahu Anwar sebagai perdana menteri kelapan, rakyat pastinya akan mengekalkan PH sebagai kerajaan.

MP Umno tidak perlu terhegeh-hegeh buat sidang media memberi sokongan kepada Mahathir kerana tindakan tersebut seolah-olah Umno mengiktiraf semua kelemahan menteri PH terutama daripada PPBM kerana mereka semua dilantik oleh Mahathir.

Sekiranya penyokong Umno fikir tindakan enam MP tersebut adalah strategi memecahbelahkan PH.

Saya sarankan Muafakat Nasional atau pun Barisan Nasional (BN) tidak perlu lagi hendak buang keringat jentera parti dengan meletakkan calon Umno/BN bertanding dalam PRK Tanjung Piai sebaliknya semua turun dan berkempen untuk calon PPBM-PH.

Saya juga ingin menggesa presiden Umno mengambil tindakan dan mendisiplinkan semua ahli Parlimen Umno dan bertindaklah sebagai satu pasukan pembangkang yang konstruktif.

Umno perlu dilihat parti bermaruah bukan sebuah parti yang mengharapkan simpati Mahathir demi menjadikan Umno sebahagian parti yang menerajui kerajaan.

Ini kerana rakyat telah menjatuhkan Umno/BN dan menaikkan PH. Oleh itu saya yakin dan percaya rakyat pastinya akan menjatuhkan PH dan kembalikan kuasa kepada Umno/BN.

Akhir sekali, janganlah tampil dengan hujah kononnya tidak salah enam MP Umno sokong Mahathir kekal sebagai PM sehingga habis penggal.

Ini kerana sepanjang PH atau dahulu Pakatan Rakyat menjadi pembangkang, tidak pernah sekali saya melihat wakil rakyat mereka mengadakan sidang media di parlimen memberi
sokongan kepada Pak Lah atau Najib Razak untuk kekal sebagai PM.

Shahrul Nasrun Kamaruddin adalah Exco Pemuda Umno.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan