Pertambahan ahli secara mendadak, bukti AMANAH ‘tidak layu

Pertambahan ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) secara mendadak selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), membuktikan AMANAH parti yang ‘tidak layu’ ke belakang.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memaklumkan jumlah keahlian parti itu telah meningkat kepada kira-kira 10,000 orang sebulan berbanding 1,000 pada sebelum ini.

“Semasa kita menubuhkan AMANAH pada 16 September 2015, setiap kali kami mengadakan mesyuarat bulanan, orang yang masuk parti ini secara puratanya lebih kurang 1,000 orang sehinggalah Mac 2018.

“Tetapi setelah kami memenangi PRU-14, angka itu secara puratanya menjadi lebih kurang 10,000 keahlian dalam sebulan. Ia satu pertambahan yang begitu mendadak.

“Situasi itu (pertambahan ahli mendadak) membawa maksud bahawa AMANAH tidak susut ke belakang. Ketika susah, orang melihat dan memerhatikan kita, namun kami konsisten dengan 1,000 orang sebulan.

“Selepas kami berjaya memenangi PRU-14, saya lihat keyakinan masyarakat bertambah kepada parti AMANAH. Ini membuktikan AMANAH tidak layu ke belakang seperti mana yang didoakan kepada kami,” katanya dalam rancangan bual bicara Agenda Awani, malam tadi.

Salahuddin mengulas demikian ketika ditanya pengacara adakah beliau melihat parti-parti politik seperti AMANAH mempunyai ‘sindrom layu’ selepas PRU-14.

Bual bicara selama setengah jam yang bertajuk ‘Menjelang Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara (AMANAH)’ itu dihoskan oleh Nazri Kahar
.
Ketika enam bulan pertama menjadi kerajaan, Salahuddin yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut mengakui pihaknya berhadapan dengan kekangan masa untuk memantau perkembangan parti.

“Ia disebabkan barisan kepimpinan utama parti telah duduk dalam kerajaan dan menjadi menteri serta timbalan menteri.

“Pegawai-pegawai daripada pejabat nasional AMANAH pula ada yang dilantik menjadi setiausaha politik, setiausaha akhbar, pegawai khas dan seumpamanya.

“Namun, selepas daripada itu dan penyusunan kembali organisasi pejabat, kami melihat AMANAH telah kembali ke landasan yang asal dan pada hari ini alhamdulillah perkembangan itu semakin baik,” ujar Ahli Parlimen Pulai itu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan