Dakwaan ADUN ditahan: KPN sahkan 16 daripada 17 positif dadah, identiti tidak didedah

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan penahanan 17 individu dalam satu serbuan polis di sebuah kondominium di Jalan Puchong, di sini awal pagi Isnin.

Menurut Abdul Hamid, daripada 17 individu yang ditahan dalam serbuan polis di Puchong awal pagi tadi, 16 daripada mereka disahkan positif dadah.

Sementara ujian kencing ke atas seorang lagi pula, katanya, bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Didapati 10 lelaki Melayu, seorang lelaki Cina, tiga wanita Melayu, seorang wanita Iban, seorang wanita berbangsa Sulu dan seorang wanita dipercayai dari negara jiran sedang berhibur dan khayal dengan bunyi muzik menganggu ketenteraman penghuni,” kata beliau.

Abdul Hamid berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Isnin.

Kata Abdul Hamid, serbuan berkenaan dijalankan sekitar pukul 4.40 selepas pihaknya menerima aduan daripada penghuni kondominum terbabit mendakwa terdapat satu aktiviti dijalankan dengan bunyi muzik yang kuat sehingga menganggu ketenteraman awam.

“Anggota dari Ibu Pejabat Polis Brickfields menyiasat dan apabila sampai di situ (kondominium) mereka telah masuk ke premis berkenaan," jelas beliau.

Beliau berkata, pemeriksaan polis di premis berkenaan membawa kepada penemuan satu paket serbuk dadah lutsinar dipercayai jenis Ketamine seberat 0.95 gram, satu piring kaca yang mengandungi dadah Ketamine seberat 0.3 gram serta sebatang rokok ceraian daun kering disyaki Ganja.

Turut dirampas satu dek daun trup serta cip bernilai RM100 dipercayai digunakan untuk aktiviti perjudian.

“Kesemua suspek telah diambil kenyataan merek apada hari ini (Isnin) dan mereka telah dibebaskan dengan jamin polis kecuali wanita warga asing itu,” jelas Abd Hamid lagi.

Diminta mengesahkan dakwaan salah seorang suspek yang ditahan merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) seperti yang ditularkan di laman sosial, Abdul Hamid enggan berbuat demikian.

Katanya, beliau hanya akan membuat pengumuman lain selepas ujian saringan air kencing kali kedua ke atas semua individu yang ditahan dibuat dalam masa terdekat.

“Saya tidak akan mendedahkan nama mereka, proses saringan kali kedua untuk pihak polis dan apabila hasilnya didapati positif, kita akan ambil tindakan mendakwa mereka di mahkamah.”  Kata Ketua Polis Negara itu lagi.

Bagaimanapun, media pada Isnin melaporkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil, Adhif Syan Abdullah menafikan beliau ditangkap polis selepas didapati positif dadah dalam satu serbuan.

Ketika dihubungi Astro AWANI beliau memaklumkan akan membuat kenyataan dalam waktu terdekat bagi menjelaskan perkara berkenaan.

Dalam masa sama, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan ke atas Adhif Syan Abdullah dan beberapa individu lain.

Beliau turut menegaskan, tidak akan campur tangan dalam kes berkenaan.

"Susulan penahanan ini, saya menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan.

"Saya tidak akan campur tangan dalam kes ini dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan berdasarkan proses undang-undang," kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kenyataan media yang diedarkan pada Isnin.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan