MKT UMNO dijangka bincang isu Lokman kritik Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat ini boleh membincangkan tindak tanduk Datuk Lokman Noor Adam yang mengkritik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan mendedahkan rahsia mesyuarat dalaman parti.

Beberapa pucuk pimpinan UMNO dan ahli MKT mengakui minit mesyuarat mesyuarat itu berkemungkinan besar akan memasukkan agenda bagi membincangkan tindakan Lokman yang disifatkan menjejaskan imej parti.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika ditanya perkara itu, tidak menolak kemungkinan tingkah laku Ahli MKT parti itu mungkin dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Saya pun tak pasti (tindakan Lokman), cuma dapat tahu melalui media sosial juga. Mesyuarat MKT Jumaat, mungkin akan bincangkan agaknya,” katanya kepada BH, hari ini.

Lokman dalam hantaran video di Facebook mendakwa Ahmad Zahid ‘mengaku ada perancangan UMNO untuk bekerjasama dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membentuk satu pakatan baharu’ ketika Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO, semalam.
Susulan itu, beliau dikecam kepemimpinan UMNO yang menganggap tindakannya mendahului keputusan parti dan menghina Presiden.

Lokman sebelum ini turut dikritik kerana tindakannya mempertikai keputusan dibuat pimpinan tertinggi parti berhubung siasatan Lembaga Disiplin UMNO terhadap bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Lokman secara terbuka menamakan Ahmad Zahid sebagai individu menghalang siasatan terhadap bekas Menteri Pertahanan itu, sekali gus mengundang gesaan daripada pemimpin UMNO supaya beliau dipecat.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menjelaskan, mesyuarat MKT berhak untuk membincangkan apa juga isu terutama yang menyentuh kepentingan parti serta kepemimpinannya seperti dibangkitkan Lokman.

“MKT boleh bincangkan apa juga isu termasuk yang membabitkan tindak tanduk Lokman. Setakat ini saya belum menerima agenda mesyuarat Jumaat ini. Kalau hendak bincang isu Lokman ini, memang MKT boleh,” katanya.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan